Friday, November 13, 2009

Nik Aziz: antara hadiah dan rasuah

Nik Aziz mungkin kecewa kerana rancangannya untuk menunaikan ibadat haji dengan tajaan sebuah syarikat telah dihebohkan dan dipertikaikan oleh banyak pihak.

Beliau pada mulanya ingin mempertahankan wang tajaan itu sebagai "hadiah" dan diberikan kepadanya untuk mendapatkan keberkatan.

Malangnya syarikat yang menaja kepergiannya ke Tanah Suci itu adalah syarikat yang mempunyai kepentingan, iaitu syarikat yang sebelum ini telah diberi kontrak untuk memasang papan tanda di negeri itu.

Jadi mengikut tafsiran undang-undang saya rasa syarikat itu telah memberi "rasuah", dan bukan hadiah.

Syarikat itu mungkin boleh dianggap memberi hadiah, jika ia tidak mempunyai apa-apa kepentingan, khasnya jika tidak mempunyai apa-apa hubungan perniagaan dengan kerajaan negeri.

Akan tetapi, apabila ia telah mendapatkan kontrak daripada kerajaan negeri dan mungkin mengharapkan kontrak lagi pada masa hadapan, itu jelas rasuah, dan bukan lagi hadiah.

Jika hendak mendapatkan keberkatan, syarikat itu mungkin boleh menaja golongan fakir miskin pergi menunaikan haji, dan bukan menaja Nik Aziz yang mengaku dia pun ada wang sendiri, atau kerajaan negeri boleh memberinya wang untuk mengerjakan haji.

Oleh itu, Nik Aziz tentunya wajar menginsafi bahawa syarikat itu sebenarnya memberi beliau rasuah dan bukan hadiah, dan beliau tidak wajar menerimanya.

Sehubungan itu, tidaklah wajar beliau menuduh golongan yang menimbulkan isu rasuah itu sebagai sama dengan golongan Quraisy yang menghalang Nabi Muhammad SAW melakukan ibadah.

Nik Aziz boleh pergi dan tidak ada sesiapa yang akan menghalang jika beliau pergi dengan wang sendiri. Tapi janganlah pergi dengan wang rasuah.

Adakah beliau tidak boleh membezakan antara hadiah dan rasuah?

Saturday, November 7, 2009

PRU 13: "Undi protes" akan lari daripada PAS?

Kita semua tahu PAS memang mempunyai penyokong tegar di Kelantan, di Terengganu, di Kedah dan beberapa negeri lain.

Di kampung atau kawasan tertentu ada cawangan PAS dengan keahlian yang agak mantap dan telah wujud dalam masa yang agak lama: lima tahun, sepuluh tahun atau lebih. Di kampung tertentu penyokong tegar PAS ini mungkin sama ramai, kalaupun tidak lebih ramai daripada penyokong tegar UMNO.

Akan tetapi, dalam konteks Malaysia penyokong tegar PAS saya rasa tidaklah seramai penyokong UMNO. Ini terbukti apabila jumlah cawangan dan ahli PAS memang masih tidak sebanyak cawangan dan ahli UMNO.

Jika PAS mempunyai cawangan dan ahli yang tidak begitu banyak berbanding dengan cawangan dan ahli UMNO, bagaimana PAS boleh menang besar dalam pilihan raya 1998 dan 2008, dan bagaimana PAS boleh mengalahkan calon UMNO di kawasan majoriti Melayu?

Jawapannya saya kira tidak lain, kerana pada tahun yang berkenaan para pengundi memberikan undi mereka kepada PAS sebagai "undi protes" kepada UMNO/BN kerana pelbagai sebab.

Pada tahun 1998 banyak orang Melayu marah kepada UMNO/BN kerana tindakan Mahathir memecat Anwar Ibrahim, yang mereka sifatkan sebagai satu kezaliman. Pada tahun 2008 pula banyak orang Melayu (dan bukan Melayu juga) marah kepada UMNO/BN kerana kelemahan pentadbiran Pak Lah (dan peribadi Pak Lah) , di samping keadaan ekonomi yang kurang baik.

Di samping itu, kewujudan Pakatan Rakyat yang dipimpin oleh Anwar Ibrahim dan konsep "politik baru" yang diwar-warkan oleh Anwar Ibrahim mungkin ada juga pengaruhnya dari segi menarik sokongan orang Melayu dan bukan Melayu kepada PAS sebagai satu komponen Pakatan Rakyat.

Jadi sokongan para pengundi ini kepada PAS sebenarnya bukanlah sokongan yang tulen, malah boleh dianggap masih rapoh. Bila-bila masa saja sokongan itu boleh ditarik kembali oleh UMNO, jika UMNO dapat memperbaiki kelemahannya dan mempelbagaikan strategi baru untuk menarik kembali sokongan pengundi Melayu dan bukan Melayu.

Berdasarkan senario ini, saya rasa memang besar kemungkinannya dalam pilihan raya yang akan datang (PRU 13) sokongan terhadap PAS akan menurun, dan orang-orang yang mengundi PAS dalam PRU 12 akan berbalik semula menyokong UMNO.

UMNO di bawah pimpinan Najib sudah melakukan pelbagai usaha untuk menarik kembali sokongan orang Melayu dan bukan Melayu. Pelbagai program yang pada asasnya akan memberi kesenangan kepada rakyat telah diperkenalkan. Yang paling baru ialah pemberian wang ehsan kepada negeri Kelantan.

Kita tahu wang ehsan itu memang merupakan umpan besar untuk menawan Kelantan. Hanya kita belum tahu sama ada rakyat Kelantan akan termakan umpan itu atau tidak.'

Akan tetapi, pada asasnya kedudukan undi protes memang tidak mantap dan tidak kekal. Jadi PAS tentunya tidak boleh berharap kepada undi protes saja untuk mengekalkan kedudukan dan kemenangannya.

Sunday, October 18, 2009

Orang bukan Melayu sudah meninggalkan PAS?

Petang semalam, 18 Oktober 2009, saya terjumpa seorang kawan yang baru pulang dari menghadiri rumah terbuka hari raya PAS di Taman Melewar.

Katanya rumah terbuka hari raya PAS pada kali ini mempunyai satu kelainan yang penting berbanding dengan rumah terbuka hari raya PAS pada tahun sebelumnya.

Kelainan yang dimaksudkannya ialah ketiadaan orang bukan Melayu/bukan Islam yang menghadiri rumah terbuka tersebut. Malah orang-orang yang selama ini mendakwa sebagai ahli Kelab Penyokong PAS pun tidak kelihatan.

Bagi saya, ketiadaan orang bukan Melayu/bukan Islam yang menghadiri rumah terbuka hari raya PAS ini membayangkan satu perkara yang amat penting, iaitu orang bukan Melayu/bukan Islam mungkin sudah menjauhi PAS dan tidak lagi mahu bersama PAS.

Implikasi politiknya ialah orang bukan Melayu/bukan Islam nampaknya sudah tidak menyokong PAS dan dengan itu tidak akan mengundi PAS dalam pilihan raya yang akan datang.

Hal ini memang sudah terbukti dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang baru-baru ini, apabila pengundi India dan Cina yang dahulunya menyokong PAS sudah bertukar haluan menyokong BN.

Bagaimanakah nasib PAS dalam pilihan raya umum akan datang? Adakah PAS sudah benar-benar ditinggalkan oleh orang bukan Melayu/bukan Islam, dan tidak akan mendapat undi dan sokongan daripada mereka?

Marilah sama-sama kita saksikan.

Monday, October 12, 2009

Implikasi Bagan Pinang: PAS akan terus jadi pembangkang?

Saya memang tidak menduga calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar boleh memenangi pilihan raya kecil Bagan Pinang. Dengan populariti Isa Samad, calon BN dan dengan undi pos dari kalangan tentera yang begitu besar, yang dijangka akan berpihak kepada calon BN, kemungkinan calon PAS akan menang adalah tipis sekali.

Namun, saya tidak menduga calon PAS hanya mampu meraih 2,525 undi. Undi yang diperolehi calon PAS begitu rendah berbanding dengan 8, 013 undi yang mampu diraih oleh calon BN.

Nampaknya, sebagaimana yang diduga, Isa ialah calon yang popular, yang menjadi penyumbang kepada kemenangan BN. Majoriti undi pos dari kalangan tentera pula memang dapat dipegang terus oleh BN.

Bagaimanapun, apa yang lebih menarik , berbanding dengan pilihan raya Mac 2008, undi orang bukan Melayu, khasnya orang India, nampaknya bukan lagi untuk calon PAS.

Dengan perkataan lain, orang India sudah kembali menyokong BN, dan tidak lagi menyokong PAS.

Dalam keadaan demikian, memang tidak menghairankan, jika calon PAS mendapat undi yang begitu kecil, kerana PAS hanya mampu meraih undi dari sebahagian orang Melayu.

Apakah implikasi hal ini terhadap kedudukan PAS pada masa yang akan datang?

Tanpa mendapat sokongan daripada orang bukan Melayu dan majoriti orang Melayu, harapan dan cita-cita PAS untuk menjadi parti pemerintah pada peringkat pusat jelaslah akan tinggal harapan saja.

PAS mungkin tidak akan mati, kerana PAS memang mempunyai penyokong daripada sebahagian orang Melayu. Namun, dengan hanya mendapat sokongan daripada sebahagian orang Melayu, PAS yang hanya boleh menang di kawasan Melayu tentunya akan terus jadi pembangkang.

Islam yang ditawarkan oleh PAS, dan matlamat untuk menegakkan negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS mungkin menarik bagi sebahagian orang Melayu.

Akan tetapi, tanpa sokongan bangsa bukan Melayu dan tanpa sokongan majoriti bangsa Melayu, PAS tidak akan ke mana-mana.

PAS boleh mendakwa ingin melaksanakan hukum Islam dan menegakkan negara Islam. Akan tetapi, semua itu adalah mimpi yang masih jauh.

Saturday, October 10, 2009

Yuran seumur hidup RM2? Buat malu saja

Saya harap saya tidak tersalah baca apabila dikatakan bahawa antara cadangan perubahan pentadbiran yang akan dikemukakan dalam Perhimpunan Agung Khas UMNO Khamis ini ialah ahli UMNO hanya dikehendaki membayar yuran sekali RM2 sebagai yuran seumur hidup.

Saya tidak tahu apakah alasan cadangan itu dikemukakan. Adakah kerana ahli UMNO tidak mampu membayar yuran tahunan sebanyak RM2 ataupun kerana selama ini urusan mengutipnya adalah satu kerja yang leceh dan tidak beres?

Saya kira yuran RM2 setahun itu tidaklah tinggi dan tentu bukan di luar kemampuan ahli UMNO untuk membayarnya. Akan tetapi, usaha memungutnyalah agaknya ada yang tidak beres.

Di sesetengah cawangan pula, saya dapati yuran itu dibayarkan oleh Ketua Cawangan yang berkemampuan, dan sebagai satu cara untuk beliau mengekalkan jawatannya. Ini sudah jadi amalan biasa, dan tak ada sesiapa yang mempersoalkannya.

Bagaimanapun, yuran RM2 sebagai yuran seumur hidup saya kira terlalu rendah, dan memalukan orang Melayu saja. Adakah orang Melayu terlalu papa sehingga hanya mampu membayar RM2 sebagai yuran seumur hidup?

Bagaimana kalau yuran seumur hidup itu RM100 atau RM200? Ini untuk menunjukkan keahlian UMNO adalah sesuatu yang bernilai atau ada nilainya.

Akan tetapi, tentu ramai pula ahli UMNO yang tidak bersetuju; bukan kerana tidak mampu, tapi kerana tidak mahu.

Kalau begitu, bagaimana kalau untuk jadi ahli UMNO tidak perlu bayar yuran langsung, sama ada yuran tahunan atau yuran seumur hidup?

Mungkin ini lebih baik daripada bayar yuran RM2 untuk jadi ahli seumur hidup, yang hanya menunjukkan ahli UMNO terlalu papa dan memalukan orang Melayu saja.

Tuesday, September 29, 2009

Pemilihan Isa membayangkan dilema UMNO?

Di samping orang yang bersetuju, tentu ada orang yang tidak bersetuju Isa Samad dipilih menjadi calon BN dalam PRK Bagan Pinang.

Bagaimanapun, sama ada pemilihan Isa Samad itu tepat atau tidak, saya kira ia menggambarkan sedikit banyak dilema yang sedang dihadapi oleh UMNO sekarang.

Sesetengah pemimpin dan ahli UMNO mungkin mahu orang lain menjadi calon BN. Akan tetapi, pucuk pimpinan UMNO terpaksa memilih Isa, kerana mematuhi kehendak UMNO tempatan dan mungkin kehendak penduduk tempatan juga .

Sekiranya Isa tidak dipilih sebagai calon, orang-orang UMNO di kawasan itu dikatakan mahu memboikot pilihan raya tersebut.

Sesetengah pemimpin dan ahli UMNO, termasuk Tun Mahathir, tidak bersetuju Isa dipilih sebagai calon kerana Isa pernah terlibat dengan kes rasuah (politik wang)

Memilih Isa sebagai calon sebenarnya membayangkan UMNO tidak serius dalam usaha membanteras politik wang, dan ini memberi peluang kepada pihak pembangkang untuk mempertikaikan kewibawaan calon BN.

Namun, kita semua tahu kemampuan UMNO dalam membanteras politik wang ini sememangnya terhad, kerana politik wang itu sudah jadi "budaya UMNO" dan dengan itu "tidak dianggap salah" oleh sesetengah ahli dan pemimpin UMNO.

Pada masa yang sama, kita boleh melihat bahawa pucuk pimpinan UMNO juga mungkin tidak mempunyai keberanian yang cukup untuk mengambil tindakan terhadap sesetengah "tokoh" UMNO.

Kita lihat saja calon Timbalan Presiden yang dikatakan terlibat dengan politik wang, tapi sampai kini tidak ada apa-apa tindakan yang diambil terhadapnya. Begitu juga Ketua Pemuda UMNO yang dikatakan terlibat dengan politik wang. Tapi apakah tindakan yang telah diambil terhadapnya?

Jadi dalam hal ini, pucuk pimpinan UMNO agaknya terpaksa juga berkompromi memilih Isa, walaupun Isa adalah tokoh UMNO yang pernah dihukum kerana terlibat dengan rasuah.

Bagi saya semua ini adalah dilema UMNO, yang membayangkan UMNO belum berubah dan sukar berubah.

Adakah UMNO mahu rakyat yang mengubah UMNO , dan bukan UMNO sendiri yang membuat perubahan tersebut?

Friday, September 4, 2009

Mengapa begitu Khir?

Saya tidak tahu sama ada laporan dalam Utusan Malaysia hari ini, 5 September 2009, yang bertajuk "RM1 juta pindahkan kuil ke Seksyen 18 Shah Alam" betul atau tidak.

Laporan itu memuatkan kenyataan Khir Toyo, bekas MB Selangor yang menafikan kerajaan BN pimpinan beliau tidak berbuat apa-apa untuk memindahkan kuil Hindu dari Seksyen 19, Shah Alam.

Mengikut Khir kerajaan Selangor merancang untuk memindahkan kuil itu ke Seksyen 18 dan dengan itu telah membelanjakan hampir RM1 juta untuk pembinaan infrastruktur seperti jalan raya, lampu, serta kemudahan elektrik di tanah seluas 0.6 hektar di Pesiaran Raja Muda Seksyen 18.

Akan tetapi, seperti yang dinyatakan oleh beliau, pembinaan projek yang menelan hampir RM1 juta itu dilakukan ketika pemindahan kuil itu masih lagi di peringkat perbincangan.

Kenyataan beliau ini, kalau benar, memang agak aneh. Mengapa pembinaan itu dilakukan ketika pemindahan kuil itu masih di peringkat perbincangan?

Kalau masih dalam peringkat perbincangan, pihak pengurusan kuil mungkin belum bersetuju, atau tidak bersetuju kuil itu dipindahkan ke kawasan itu. Jadi apa akan jadi jika mereka tidak bersetuju?

Mengapa pembinaan projek yang kosnya begitu besar dilakukan dengan begitu cepat? Adakah kerana kroni Khir sudah tidak sabar untuk mendapat habuan dari pembinaan projek tersebut?

Kenyataan Khir ini agaknya hanya menunjukkan perancangan kerajaan yang lemah di samping kerakusan para kroni beliau untuk menikmati wang rakyat yang begitu besar.

Ini hanya satu contoh kelemahan dan mungkin penyalahgunaan wang rakyat ketika beliau mentadbir negeri Selangor.

Tuesday, September 1, 2009

Masalah perkauman bukan masalah kami

Saya tinggal di sebuah taman perumahan kecil (di sebuah bandar kecil) yang hanya mengandungi 48 buah rumah. Orang Melayu/Islam merupakan golongan minoriti di taman ini, kerana jumlah kami kurang daripada satu pertiga.

Perhubungan saya dengan jiran Tionghoa terdekat baik, walaupun tidak rapat. Kami bertegur sapa bila bertemu, dan saling berkunjung pada Hari Raya dan Tahun Baru Cina. Waktu pagi kadang-kadang kami beriringan apabila kami keluar berjogging di kawasan perumahan kami.

Sebagai taman kecil, taman tempat saya tinggal tidak mempunyai masjid atau surau. Untuk sembahyang berjemaah dan sebagainya saya terpaksa ke taman sebelah, kira-kira lima minit berjalan kaki dari rumah saya. Di taman sebelah itu ada surau yang agak besar, walaupun penduduk Melayu di taman itu merupakan golongan minoriti yang lebih kecil -- tidak sampai satu perempat. Majoriti penduduknya ialah orang Tionghoa juga.

Di taman sebelah itu ada deretan kedai runcit, kedai tayar, kedai komputer, restoran dll yang semuanya dimiliki dan dikendalikan oleh orang Tionghoa. Jika tidak ke pasar raya, ke taman sebelah itulah saya membeli barang-barang keperluan sehari-hari.

Saya sudah kenal biasa dengan dua orang taukeh kedai runcit dan taukeh kedai komputer di taman perumahan sebelah itu. Perhubungan kami juga baik, walaupun tidak rapat; maknanya hubungan antara pembeli dan penjual yang saling memerlukan.

Jika sesekali peti sejuk atau TV saya rosak, yang saya akan hubungi untuk membetulkannya ialah orang Tionghoa juga, yang sudah saya kenali sejak lama.

Jadi saya sebenarnya sudah lama "hidup bersama" dengan orang bukan Melayu atau bukan Islam dalam keadaan aman dan harmoni, walaupun tidak rapat dan terlalu mesra. Tidak ada isu, masalah atau konflik perkauman yang mengganggu kehidupan kami sehari-hari.

Malah perlu saya tegaskan di sini surau tempat saya beribadat terletak di taman perumahan yang majoriti penduduknya ialah orang Tionghoa. Mereka tidak mempermasalahkan mengapa surau itu di bina di sebuah taman yang majoriti penduduknya orang bukan Melayu/Islam.

Hanya apabila saya baca surat khabar, baru saya perasan rupanya sekarang dikatakan semangat perkauman semakin meningkat, polarisasi ras semakin meningkat, orang bukan Melayu mengungkit perkara yang telah diputuskan dalam kontrak sosial, orang bukan Melayu menghina raja-raja Melayu, orang bukan Melayu hendak merampas kuasa politik orang Melayu dan sebagainya.

Apa yang dipaparkan oleh akhbar itu sebahagiannya mungkin ada benarnya Akan tetapi, besar juga kemungkinannya sebahagian daripada isu yang dibesar-besarkan itu bukan isu real dan berasas, tapi isu remeh dan terpencil yang dibesar-besarkan oleh orang politik dan parti-parti politik tertentu dengan tujuan tertentu.

Dengan perkataan lain, isu perkauman yang menggerunkan itu timbul terutamanya kerana permainan orang politik dan parti politik saja, iaitu orang politik dan tokoh politik yang memang mengamalkan politik perkauman, dan mahu mengekalkan pengaruh dan kedudukan mereka dalam politik dengan bergantung kepada isu-isu perkauman.

Rakyat biasa seperti saya sebenarnya boleh hidup bersama dalam keadaan aman dan harmoni. Masalah perkauman itu bukan masalah kami, tapi masalah orang politik dan parti politik.

Jadi alangkah bagusnya jika kehidupan rakyat yang aman damai dan harmoni ini tidak dikocakkan oleh isu-isu perkauman (dan agama) yang sebahagiannya mungkin tidak perlu ditimbulkan, dan sebahagiannya mungkin merupakan isu tidak real yang sengaja diada-adakan.

Monday, August 24, 2009

Bila pula nak tangkap perempuan yang tidak menutup aurat?

Negeri Selangor yang diperintah oleh Pakatan Rakyat (PR) agaknya mahu mendahului negeri Kelantan yang diperintah oleh PAS apabila memberi kuasa kepada 4 orang pegawai masjid untuk menangkap orang yang minum arak di khalayak ramai, orang yang menjual arak dan menyimpan arak.

Pegawai masjid yang seolah-olah diberi peranan sebagai "polis syariah" ini agaknya lebih berkuasa daripada polis biasa, kerana mereka boleh melakukan tindakan tanpa waran.

Walaupun tindakan "polis syariah" ini dikatakan berdasarkan Enakmen Jenayah Syariah, tetapi dalam sebuah negeri yang bukan negara Islam dan tidak mengamalkan hukum Islam, tindakan berasaskan Enakmen Jenayah Syariah ini tentulah kelihatan janggal dan kelihatan sebagai anakronisme.

Dalam keghairahan untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah ini mungkin nanti ada pula tuntutan daripada golongan pejuang Islam untuk melaksanakan perkara berikut:

a) Menangkap perempuan yang tidak menutup aurat
b) Menangkap perempuan yang keluar rumah tanpa muhrim.
c) Menangkap perempuan yang keluar rumah seorang diri pada waktu malam
d) Menangkap pasangan bukan suami isteri (katakanlah kawan sepejabat) yang makan berdua-dua di kedai makan
e) Menangkap perempuan yang memandu kereta dan sebagainya.

Perkara di atas, kalau tidak silap memang berlaku di Arab Saudi, dan di Afghanistan pada zaman pemerintahan Taliban.

Saya tidak tahu adakah umat Islam di Selangor mahu begitu.

Sunday, August 23, 2009

Pengundi hantu di Permatang Pasir?

Mengikut ingatan saya, parti pembangkang, khasnya PAS memang sering membangkitkan isu pengundi hantu di kawasan tertentu sejak tahun 1990-an lagi, khasnya menjelang pilihan raya, termasuk pilihan raya kecil.

Antara bukti yang agak meyakinkan tentang kewujudan pengundi hantu ini ialah:

a) Kewujudan nama dalam senarai pengundi yang tidak dikenali oleh penduduk tempatan. Kalau mereka anak penduduk tempatan yang tinggal di luar kawasan, sama ada belajar atau bekerja, sekurang-kurangnya sebahagian daripada mereka tentu dikenali. Tapi kalau tidak dikenali, siapa mereka?

b) Terdapat rumah atau kedai yang menjadi alamat puluhan (atau ratusan(?) pengundi yang dikatakan tinggal di tempat itu, tetapi tidak dikenali juga oleh penduduk tempatan. Jadi siapakah mereka?

Bagaimanapun isu yang dibangkitkan oleh parti pembangkang itu biasanya tidak pernah mendapat respons yang positif daripada SPRM. SPRM dengan mudah saja menepis isu itu dengan mengatakan pengundi itu ialah pengundi luar yang hanya balik ke kawasan pada hari mengundi, ataupun tidak memberi respons sama sekali (atau respons mereka tidak disiarkan oleh surat khabar). Dan isu itu biasanya hilang begitu saja selepas pilihan raya berlangsung.

Menjelang pilihan raya kecil Permatang Pasir yang akan berlangsung pada 25 Ogos ini isu pengundi hantu nampaknya timbul lagi. Tapi yang menariknya, pada kali ini yang menimbulkan isu pengundi hantu ini ialah komponen parti kerajaan sendiri-- Pemuda UMNO dan Puteri UMNO.

Setakat ini belum terdengar respons atau komen daripada SPRM dan tokoh politik dari parti pemerintah. Ini agak menghairankan sedikit.

Adakah pengundi hantu ini benar-benar wujud atau semata-mata tuduhan dan andaian saja? SPRM tentu patut menjalankan penyiasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menjaga dan memelihara integeriti badan tersebut.

Friday, August 21, 2009

Pendapat "lucu" pun disiarkan oleh media arus perdana

Di bawah tajuk "Khalid perlu letak jawatan Menteri Besar", Utusan Malaysia hari ini, 22 Ogos 2009, menyiarkan kenyataan dua orang tokoh "besar" tanah air: Osman Bakar, Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) dan Mohamad Raimi Ab.Rahi, Setiausaha Agung ABIM, mengenai isu pembinaan kuil di Seksyen 23, Shah Alam.

Kenyataan mereka bukan saja terasa tidak logik, malah terasa lucu.

Osman Bakar mengatakan, sebagai Menteri Besar yang beragama Islam, Khalid tidak berhak menyandang jawatan itu jika tidak dapat menghormati kaum majoriti di negara ini termasuk Yang di-Pertuan Agong.

Adakah menyetujui pembinaan kuil itu bermakna tidak menghormati Yang di-Pertuan Agung? Entahlah, saya pun tidak faham dengan "logik" pemikiran beliau.

Mohamad Raimi pula berkata, Khalid sepatutnya meminta pandangan Sultan Selangor selaku ketua agama Islam bagi menyelesaikan masalah ini.

Mengapa sampai begitu? Adakah sultan pun hendak dikaitkan dalam isu kecil yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan mudah oleh kerajaan negeri?

Masalah ini sebenarnya bukanlah isu yang besar sangat, dan boleh diselesaikan dengan mudah, kalau tidak diprovok dan diapi-apikan oleh akhbar arus perdana, seperti Utusan Malaysia yang suka memainkan isu agama dan perkauman, mungkin untuk melariskan jualan akhbar tersebut.

Sebenarnya di Seksyen 19 Shah Alam, di kawasan majoriti Melayu, sudah lama ada kuil Hindu yang dibina sebelum wujudnya Shah Alam (Kuil itulah yang hendak dipindahkan ke Seksyen 23). Selama kira-kira 26 tahun orang Melayu di kawasan itu boleh menerima kewujudan kuil Hindu itu tanpa membuat apa-apa bantahan yang bererti. Walaupun pada mulanya mereka mungkin tidak suka, tetapi jika tidak diprovok dan diapi-apikan oleh mana-mana pihak, mereka boleh bertoleransi dan menerima kewujudan kuil tersebut.

Jadi apakah masalahnya jika kuil di Seksyen 19 itu dipindahkan ke Seksyen 23, di kawasan perindustrian yang kebetulan lebih jauh dari rumah penduduk di bandingkan dengan kedudukannya sekarang di Seksyen 19?

Soal Seksyen 23 kawasan majoriti Melayu saya kira tidak boleh dijadikan alasan untuk menolak pemindahan kuil itu, kerana orang India di kawasan itu mempunyai hak mempunyai rumah ibadat sendiri, walaupun mereka merupakan golongan minoriti.

Saya kira hak golongan minoriti ini dijamin oleh Perlembagaan dan patut dihormati oleh tokoh-tokoh Melayu dan Islam yang selalu melaung-laungkan bahawa kita mesti menghormati Perlembagaan.

Sayangnya pendapat yang agak lucu daripada tokoh Melayu dan tokoh Islam inilah yang disiarkan oleh surat khabar yang agaknya suka memainkan peranan sebagai provokator.

Monday, August 17, 2009

Bantahan berasaskan sentimen saja?

Saya tinggal di sebuah taman perumahan, kira-kira 2 km dari sebuah bandar kecil. Di pusat bandar itu terdapat sebuah masjid dan sebuah gereja yang agak besar. Kira-kira 1 km di pinggir bandar itu (jadi kira-kira 1 km dari rumah saya) ada sebuah kuil Hindu dan 2 buah tokong Cina yang agak besar juga. Di pinggir taman tempat saya tinggal pula ( hanya kira-kira 500 meter dari rumah saya), ada sebuah gereja yang sederhana.

Di taman-taman perumahan yang berjiran dengan tempat tinggal saya pula terdapat surau, yang kebanyakannya digunakan sebagai tempat sembahyang Jumaat setiap minggu.

Jadi dalam lingkungan 2-4 hingga km di sekitar tempat saya tinggal, terdapat hampir semua rumah ibadat: masjid, surau, gereja, kuil Hindu dan tokong Cina.

Selama tinggal di taman perumahan ini, lebih 20 tahun, saya tidak merasa tergganggu untuk mengamalkan agama saya, walaupun tinggal berhampiran dengan gereja, kuil Hindu dan tokong Cina, kerana penganut agama lain pun tidak mengganggu saya.

Saya, anak-anak saya dan keluarga saya tidak pernah merasa terpengaruh dengan agama mereka, kerana mereka juga tidak pernah mempengaruhi kami untuk menganut agama mereka.

Jadi berdasarkan latarbelakang dan kedudukan saya ini, saya cuba memahami mengapakah orang Melayu yang tinggal di Seksyen 23 Shah Alam membantah keras apabila sebuah kuil Hindu hendak didirikan di kawasan mereka.

Nampaknya, sebagaimana yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia, 17 Ogos 2009, alasan bantahan mereka yang agak jelas hanya 2 saja:

a) Kawasan itu ialah kawasan majoriti Melayu (70 peratus) dan orang India di situ hanya golongan minoriti (17 peratus).
b) Tapak bakal kuil itu hampir dengan surau (kira-kira 50 meter) dan dengan taman permainan kanak-kanak ( kira 10 meter).

Jika itu saja alasan mereka, saya tidak nampak mereka mempunyai alasan yang kuat untuk membantah pembinaan kuil itu.

Meskipun orang India merupakan golongan minoriti, sebagai penduduk kawasan itu mereka juga tentunya berhak mempunyai rumah ibadat di tempat itu. Adakah wajar kita cuba menafikan hak mereka?

Tentang dekat dengan surau dan taman permainan kanak-kanak pula, saya tidak melihat itu merupakan masalah, kerana orang Islam beribadat di surau, dan orang Hindu beribadat di kuil.

Kalau surau dan kuil itu wujud berhampiran, dan penganut Islam dan Hindu di situ boleh menjalankan ibadat masing-masing dalam keadaan yang tenang dan damai, bukankah itu perkara yang baik dalam sebuah masyarakat plural seperti Malaysia?

Mengapa pembinaan kuil itu seolah-olah dianggap sebagai satu gangguan?

Dalam hal ini bantahan orang Melayu di Sekseyn 23 Shah Alam itu agaknya lebih berdasarkan sentimen saja, dan bukan berasaskan alasan yang rasional dan wajar.

Saturday, August 15, 2009

Membesarkan"isu palsu"?

Kenyataan Nik Aziz bahawa "DAP boleh menghina Islam" (?) mungkin akan hilang sebagai angin lalu saja, jika ia tidak disiarkan oleh akhbar arus perdana dan tidak direspons oleh Timbalan PM dan tokoh-tokoh UMNO dan NGO yang lain.

Nik Aziz memang sering mengeluarkan kenyataan yang aneh dan boleh mengelirukan seperti itu, dan mungkin lebih baik jika kenyatan beliau tidak diberi publisiti langsung.

Akan tetapi dengan menyiarkannya dalam akhbar arus perdana dan direspons pula oleh banyak tokoh besar dan pemimpin negara, ia hanya akan menjadikan Nik Aziz lebih popular dan kelihatan "lebih besar" daripada yang sepatutnya.

Memang tentu tidak semua dan tentunya banyak juga orang yang tidak bersetuju dengan Nik Aziz. Akan tetapi dengan membesar-besarkan isu tersebut, tentu banyak pula, khasnya pengikut PAS yang fanatik, yang akan menyokong Nik Aziz.

Jadi bagi UMNO dan juga bagi orang Melayu, saya kira tidak ada apa-apa untungnya kita memberi publisiti yang begitu luas kepada kenyataan Nik Aziz yang aneh dan boleh mengelirukan itu.

Saya tidak tahulah jika akhbar arus perdana menyiarkan kenyatan Nik Aziz dan respons terhadapnya dengan tujuan untuk melariskan jualan akhbar. Jika itu rasionalnya, saya tak mahu komen, walaupun dari segi politik saya kira memang tidak menguntungkan.

Berkait dengan tujuan untuk melahirkan jualan akhbar ini, mungkin begitu juga mengapa akhbar arus perdana, seperti Utusan Malaysia terlampau membesar-besarkan isu pemimpin DAP menghina agama Islam.

Jika saya boleh memberi pendapat, isu pemimpin DAP menghina Islam itu saya kira bukanlah berasas sangat dan mungkin merupakan isu kecil dan remeh saja , kalau pun tidak mahu dianggap sebagai "isu palsu".

Tapi untuk melariskan jualan akhbar agaknya ia ditiup dan dibesar-besarkan sehingga hampir tidak terbatas, dan sehingga tokoh agama seperti Mufti Perak pun tidak sedar ia hanya isu remeh dan isu palsu.

Dengan membesar-besarkan isu itu, jualan akhbar mungkin laku dan meningkat. Tapi apakah untungnya bagi masyarakat dan negara?

Thursday, August 13, 2009

Kenyataan Nik Aziz ialah kenyataan politik

Nik Aziz ialah ulama politik. Oleh itu kenyataan beliau selalunya memang tidak terlepas daripada politik dan bermotifkan politik, walaupun yang beliau perkatakan ialah isu agama.

Sebelum ini beliau pernah mengeluarkan kenyataan yang aneh-aneh, seperti Tuhan pun mencarut, kita boleh berkawan dengan syaitan, dan sebagainya.

Jadi janganlah merasa aneh, jika pada kali ini, beliau dikatakan "tidak membantah" tindakan segelintir pemimpin DAP menghina Islam, kerana parti itu bukan parti Islam dan kefahaman mereka terhadap Islam mungkin tidak mendalam (Utusan Malaysia, 13 Ogos 2009).

Beliau dilaporkan berkata, "DAP kalau hina Islam pasal dia bukan Islam.Yang orang Islam tolak Islam itu lebih menghina Islam."

Siapa pula yang dimaksudkan beliau , orang Islam yang menolak Islam? Tentulah orang UMNO.

Jadi dalam apa keadaan pun, beliau selalu menyalahkan orang UMNO, walaupun istilah "menolak Islam" itu tentunya memerlukan penjelasan daripada beliau.

Kenyataan beliau yang bermotifkan politik itu mungkin tidak perlu diberi perhatian sangat.

Tuesday, August 11, 2009

Isu arak di Selangor: tak payahlah jadi orang munafik

Di bawah pemerintahan BN selama lebih setengah abad, arak telah dijual secara terbuka, sama ada di kawasan majoriti Melayu atau bukan Melayu. Hampir tidak ada bantahan tentang hal tersebut, khasnya daripada orang UMNO.

Di Kelantan yang diperintah oleh PAS, sebuah parti Islam pula, penjualan arak tidak diharamkan, walaupun Kelantan dan ibu negerinya Kota Baharu ialah negeri Melayu dan bandar Melayu. Hanya barangkali arak tidak boleh dijual di negeri itu secara terbuka.

Bagi saya, penjualan arak yang telah berlaku sekian lama, sama ada di kawasan majoriti Melayu atau bukan Melayu, sudah menjadi hal yang biasa, dan kerana itu tidak perlu dipermasalahkan.

Dalam sebuah negara berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia, kita anggaplah hal itu sebagai perkara yang sewajarnya saja.

Ia tidak perlu dikaitkan dengan perundangan Islam yang kebetulan belum dilaksanakan. Dan Malaysia pun bukan "negara Islam". Jadi saya kira tidak timbul ia menghina Islam atau tidak. Itu bukan isu.

Lagipun, kebanyakan pembeli dan peminum arak di negara kita saya kira ialah orang bukan Islam. Tidak perlulah kita sekat dan susahkan mereka untuk mendapatkannya.

Bagi kita orang Islam, yang perlu diutamakan adalah mendidik umat Islam supaya tidak membeli dan meminum arak. Orang-orang Islam yang mendapat pendidikan yang baik, dijangka tidak akan tertarik untuk membeli arak, walaupun arak dijual di depan mata mereka.

Jadi, dalam hubungan ini, saya tidak melihat kewajarannya kita mempersoalkan keputusan kerajaan Selangor membenarkan penjualan arak di Selangor, termasuk di Shah Alam yang dianggap sebagai kawasan majoriti Melayu.

Bagi saya, orang-orang UMNO yang selama ini tidak pernah bersuara tentang penjualan arak, tetapi tiba-tiba sekarang bertempik mempersoalkan dasar kerajaan Selangor itu mungkin boleh dianggap sebagai orang-orang yang munafik.

Mereka jelas bertindak untuk kepentingan politik dan mungkin untuk mendapat sedikit keuntungan politik.

Memang mereka boleh mendakwa bahawa mereka ikut memperjuangkan Islam. Tapi saya ragu jika itu hanya dakwaan orang-orang munafik.

Friday, August 7, 2009

Mengapa mesti bergaduh pasal penjualan arak?

Kalau mengikut sentimen ke Melayuan, saya memang setuju arak tidak dijual di kawasan majoriti Melayu/Islam. Tapi dalam sebuah masyarakat berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia, saya rasa dasar ini tidak realistik.

Dalam sebuah "bandar Melayu" seperti Shah Alam, golongan bukan Islam mungkin merupakan golongan minoriti. Tapi dari segi bilangan, jumlah mereka mungkin besar --- seratus, dua ratus atau lebih.

Adakah mereka perlu pergi ke Kuala Lumpur untuk membeli arak, sekiranya arak tidak boleh dijual di Shah Alam?

Dalam hal ini, saya kira wajarlah kita, orang Islam bersikap terbuka. Arak sepatutnya boleh dijual di kawasan majoriti Melayu/Islam sekiranya ada permintaan daripada golongan bukan Islam, walaupun mereka hanya golongan minoriti.

Apa salahnya begitu?

Jadi dalam hal ini saya menyokong dasar kerajaan negeri Selangor yang membolehkan arak dijual di kawasan penduduk majoriti Islam, sekiranya di situ ada permintaan dari golongan bukan Islam.

Tidak ada untungnya orang Melayu/Islam sensitif sangat dalam hal ini. Sekiranya kita mampu bersikap rasional dan terbuka, saya kira itu lebih baik daripada kita bersikap "keras" tidak tentu pasal.

Marilah kita orang Islam dan bukan Islam hidup berbaik-baik. Tidak ada untungnya kita bergaduh tentang penjualan arak.

Islam pun saya kira tidak mengajar begitu.

Sunday, August 2, 2009

Kenyataan Najib sudah terlambat?

Saya harap Najib tidak disalah lapor, apabila beliau dikatakan berkata, " Kalau hendak berkumpul, kita boleh sediakan tempat tertentu mereka boleh berkumpul ..." (Utusan Malaysia, 3 Ogos 2009).

Beliau memberi reaksi dan kenyataan demikian mengenai perhimpuan anti-ISA yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 1 Ogos 2009.

Reaksi dan kenyataan beliau itu membayangkan ada semacam keterbukaan dan sikap liberal di pihak beliau, walaupun agaknya "tidak banyak" dan belumlah begitu jelas.

Malangnya, beliau mengemukakan kenyataan itu selepas perhimpunan yang dikatakan sebagai "demonstrasi jalanan" itu berlangsung.

Alangkah baiknya jika beliau mengemukakan pendapat atau kenyataan yang demikian awal-awal lagi, iaitu sebelum perhimpunan itu berlangsung.

Jika beliau mengemukakan kenyataan lebih awal, dan "merestui" perhimpunan itu, pihak polis mungkin tidak perlu bersusah payah mengadakan sekatan jalan raya dan menembak dengan air dan gas pemedih mata yang boleh ditafsirkan sebagai tindakan keganasan.

Malangnya sekarang semua sudah terlambat. Perhimpunan sudah berlangsung dan pihak polis pun sudah menunjukkan kekerasannya.

Semuanya kita boleh lihat dan dunia pun boleh lihat.

Tapi yang kurang kelihatan agaknya ialah kebijaksanaan di pihak yang berkuasa untuk menangani isu dan masalah tersebut.

Thursday, July 30, 2009

Dakwaan Khir: fakta atau fiksi?

Utusan Malaysia hari ini (30 Julai 2009)menyiarkan dakwaan Khir Toyo bahawa di Selangor kini telah beroperasi lebih 4,000 pusat hiburan, judi dan spa haram sejak kerajaan Pakatan Rakyat (PR ) mengambail alih pemerintahan negeri itu.

Kita tidak tahu sama ada dakwaan Khir itu berasaskan fakta atau fiksi.

Kita tidak tahu juga adakah Khir mempunyai "jentera penyiasatnya" sendiri yang boleh membuktikan kesahihan dakwaannya itu.

Jika beliau mempunyai bukti, adalah wajar beliau melaporkannya kepada pihak yang berkuasa, seperti yang diminta oleh Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman. Tindakan ini tentu lebih terhormat.

Bagaimanapun, inilah salah satu contoh bagaimana akhbar arus perdana yang mengaku sebagai "penyebar fikiran rakyat" sanggup berkonspirasi untuk menjatuhkan kerajaan PR.

Hal ini sudah dilakukan oleh akhbar tersebut sebelum ini dalam usaha BN mengambil alih pemerintahan Perak daripada PR.

Saya tidak tahu sampai bila akhbar berkenaan hendak melakukan tindakan yang tidak wajar dihormati ini.

Monday, July 27, 2009

Perhimpunan anti-ISA dan pro-ISA

Dalam sejarah perhimpunan atau demonstrasi rakyat pada masa yang lalu, saya rasa ada, malah banyak juga, perhimpunan yang berlangsung dalam keadaan aman dan tertib, sekiranya tidak dihalang dan "diganggu" oleh pihak polis.

Bagaimana dengan perhimpunan anti-ISA yang akan dianjurkan oleh GMI pada 1 Ogos 2009 ini?

Saya kira alangkah bagus dan indahnya sekiranya ia dapat berlangsung dengan aman dan tertib tanpa halangan dan gangguan dari mana-mana pihak.

Pihak polis mungkin boleh hadir tapi bukan untuk menghalang, malah sebaliknya untuk membantu dan mempastikan perhimpunan itu berlangsung dengan aman dan tertib.

Pihak kerajaan pula, khasnya Najib, mungkin akan lebih dihormati jika beliau boleh mencuba bersikap liberal, dan turut mempastikan perhimpunan itu berlangsung dengan aman dan tertib.

Dalam hal ini sikap Khairy, Ketua Pemuda UMNO yang mengambil sikap berkecuali memang wajar dipuji. Walau apapun motif beliau bersikap demikian, tetapi biarlah pada kali ini saya menyanjung sikap dan tindakan beliau.

Bagaimana pula dengan golongan pro-ISA?

Dalam negara demokrasi, sikap mereka tentu wajar dihormati. Jadi jika mereka merasa perlu, mereka juga boleh mengadakan perhimpunan, tetapi biarlah pada masa atau hari yang lain. Apa salahnya?

Badan-badan seperti PERKASA , PEWARIS dan NGO yang lain mungkin mampu mengadakan perhimpunan yang lebih besar. Ini pun bagus juga.

Perhimpunan mereka juga wajar dibenarkan dan tidak dihalang. Biarlah perhimpunan mereka berlangsung dengan aman dan tertib, seperti perhimpunan golongan anti-ISA.

Dengan itu, secara tidak langsung kerajaan juga boleh menilai, bahagian terbesar rakyat Malaysia berada di pihak mana-- di pihak anti-ISA atau pro-ISA.

Dalam hal ini, saya tidak melihat kewajarannya golongan pro-ISA, seperti PESAKA hendak mengadakan perhimpunan pada tarikh yang sama (1 Ogos). Ini perbuatan orang kaki gaduh -- bukan cara hendak menunjukkan pendirian secara wajar dalam sebuah negara demokrasi.

Sikap Nik Aziz tidak berubah

Mengapakah pemimpin UMNO dan sesetengah akhbar arus perdana terlalu ghairah dengan idea "kerajaan perpaduan"?

Nik Aziz hanya menyatakan, dia mahu berbaik-baik dan bekerjasama dengan kerajaan Pusat; tak sebut pun nak bentuk kerajaan perpaduan dengan UMNO. Tapi sesetengah pemimpin UMNO dan akhbar arus perdana begitu cepat melompat, seolah-olah Nik Aziz sudah berubah sikap dan mahukan kerajaan perpaduan.

Sebagaimana yang saya nyatakan dalam posting terdahulu, dan disebut oleh Nik Aziz dalam penjelasannya semalam (Utusan Malaysia, 28 Julai 2009), dia hanya mahu bekerjasama pada peringkat kerajaan, iaitu antara kerajaan negeri dan dengan kerajaan Pusat -- bukan antara parti PAS dengan parti UMNO.

Oleh kerana negara kita mengamalkan sistem Federal, kerajaan Pusat mempunyai obligasi mengikut perlembagaan terhadap kerajaan negeri -- termasuk dari segi pembangunan. Inilah yang dinyatakan dan "dituntut" oleh Nik Aziz.

Akan tetapi, apabila seorang Menteri UMNO menghalang pegawainya bekerjasama dengan kerajaan negeri, dia tentu boleh mempersoalkan tindakan menteri tersebut.

Begitu juga apabila kerajaan Pusat menyalurkan peruntukan pembangunan melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan tidak melalui kerajaan negeri. Ini juga katanya bertentangan dengan perlembagaan.

Oleh itu, berdasarkan pengalamannya yang pahit dalam perhubungan dengan kerajaan Pusat yang diterajui oleh UMNO, dia nampaknya dengan selamba saja berkata, " Pergi jahanamlah UMNO!"

Inilah sikap sebenar Nik Aziz terhadap UMNO. Sikap beliau belum berubah dan memang tidak berubah. Hanya orang UMNO yang terlalu ghairah dengan idea kerajaan perpaduan itu saja yang salah faham.

Bagaimanapun, jika saya boleh memberikan pendapat, keghairahan UMNO dan sesetengah akhbar arus perdana dengan idea kerajaan perpaduan itu tentu ada agenda dan motif yang tertentu -- malah mungkin ada udang di sebalik batu.

Apakah agenda dan motif UMNO tersebut? Bolehkah kita nafikan bahawa UMNO hendak menarik PAS keluar dari Pakatan Rakyat dan memecahkan Pakatan Rakyat?

Sama ada andaian ini benar atau tidak, inilah agenda dan motif UMNO yang dibaca oleh orang-orang PAS.

Oleh yang demikian, saya tidak nampak apa faedahnya UMNO begitu beria-ia hendak menarik PAS menyertai kerajaan perpaduan.

PAS mencurigai keikhlasan UMNO, walau betapa baik pun idea dan konsep kerajaan perpaduan itu untuk kepentingan umat Melayu dan Islam.

Kecurigaan PAS ini tentu asasnya -- berdasarkan pengalaman sejarah dan fakta politik semasa.

Oleh itu, sekurang-kurangnya untuk masa ini, idea kerajaan perpaduan itu mungkin baik kita lupakan saja.

Sunday, July 26, 2009

Hanya bekerjasama; bukan "berpadu"?

Adalah satu perkara yang menarik melihat Nik Aziz, MB Kelantan bersalaman dengan Mustapha Mohamad, seorang menteri kerajaan Pusat, dan kemudiannya mendengar kenyataan Nik Aziz bahawa beliau mahu berbaik-baik dan bekerjasama dengan kerajaan Pusat.

Hal ini saya kira wajar, kerana bukankah Kelantan sebahagian daripada Malaysia? Sepatutnya tidak ada sebab mengapa kerajaan negeri dan kerajaan Pusat tidak boleh bekerjasama.

Lagipun bukankah Kelantan sebuah"negeri Melayu"? Jika kerajaan BN yang diterajui oleh UMNO, sebuah parti Melayu, hendak menolong orang Melayu, tidakkah wajar kerajaan Pusat bekerjasama dan berbaik-baik dengan kerajaan Kelantan yang juga diperintah oleh "parti Melayu"?

Walau bagaimanapun, saya kira pemimpin UMNO tidak perlu melompat dan begitu tergesa-gesa dengan mengharapkan perubahan sikap Nik Aziz itu akan membawa kepada kewujudan kerajaan perpaduan.

Kerajaan perpaduan (UMNO dan PAS) adalah satu konsep lain dan agenda lain. Dan dalam konteks semasa bukanlah mudah untuk diwujudkan.

Mungkin juga Nik Aziz sebenarnya hanya hendak berbaik-baik dan bekerjasama; bukan hendak mewujudkan kerajaan perpaduan.

Jadi janganlah kecewa jika nanti Nik Aziz "mengubah cakap" bahawa beliau sebenarnya tidak bermaksud atau belum bermaksud untuk mewujudkan kerajaan perpaduan.

Pemimpin UMNO tidak perlu melompat dengan tujuan untuk memecahkan Pakatan Rakyat. Ini pun saya kira sukar berlaku buat masa ini, kerana PAS mempunyai komitmen yang tinggi untuk mengekalkan pakatan itu bersama DAP dan PKR.

Kerjasama dan hubungan baik yang ingin diwujudkan oleh Nik Aziz antara Kelantan dan Pusat tidak akan membawa perpecahan kepada Pakatan Rakyat.

Buat masa ini saya kira biarlah kita lihat dahulu bagaimana kerajaan Kelantan bekerjasama dengan kerajaan Pusat. Jika berjaya, itupun sudah besar manfaatnya untuk orang Melayu dan Islam.

Tentang kerajaan perpaduan PAS dan UMNO saya kira masih kabur dan masih jauh, dan janganlah berharap sangat ia akan terwujud dalam masa yang singkat, apatah lagi PAS saya kira memang sudah tahu apa agenda UMNO.

Tentu Nik Aziz dan PAS tidak mahu masuk perangkap UMNO.

Tuesday, July 14, 2009

Keputusan Pilihan Raya Manek Urai Sebenarnya Membayangkan Perpecahan Orang Melayu

Keputusan pilihan raya kecil Manek Urai agaknya tidaklah mengejutkan sangat.

Hal ini demikian, kerana a) PAS sedang mengalami konflik dalaman, dan pengaruh Nik Aziz juga ada hadnya. Atau mungkin boleh kita katakan keputusan pilihan raya kecil itu menunjukkan pengaruh Nik Aziz mungkin sudah merosot, dan tidaklah sekuat mana. b) BN banyak menaburkan janji pembangunan yang begitu hebat, dan di sesetengah tempat pembelian undi juga mungkin dilakukan oleh orang-orang BN.

Bagaimanapun, yang lebih memprihatinkan saya ialah, keputusan pilihan raya itu benar-benar menunjukan bahawa orang Melayu kini memang terbelah dua: separuh menyokong PAS, dan separuh menyokong UMNO.

Inilah gambaran yang real dan nyata tentang perpecahan orang Melayu.

Di kawasan Melayu hal itu barangkali tidak mengapa. Tapi bagaimana di kawasan campuran, di mana undi orang bukan Melayu yang akan jadi penentu?

Dalam PRU 12 , kita dapat menyaksikan, PAS telah menang di sesetengah kawasan campuran, kerana undi orang bukan Melayu berpihak kepada mereka.

Inilah punca kekalahan BN dan punca PR dapat memerintah beberapa negeri, seperti Selangor dan Perak.

Dan ini nampaknya yang telah mendorong Najib mengumumkan beberapa dasar yang kelihatan sangat liberal dan seolah-olah memberi pelbagai konsesi kepada orang bukan Melayu, dengan tujuan untuk mendapatkan kembali sokongan dan undi orang bukan Melayu dalam PRU yang akan datang.

Lihat saja pengumuman beliau tentang Biasiswa Nasional dan Saham I Malaysia yang bernilai RM10 bilion. Tidakkah ini merupkan konsesi yang sangat besar untuk orang bukan Melayu?

Apakah ertinya ini kepada politik Melayu dan masa depan orang Melayu?

Oleh kerana undi orang bukan Melayu agaknya sudah jadi penentu, banyak hak dan mungkin maruah orang Melayu juga terpaksa "digadaikan" untuk mendapatkan sokongan dan undi mereka.

Orang Melayu yang berpandangan jauh mungkin sudah dapat membayangkan bahaya yang mengancam kuasa politik orang Melayu dan kelangsungan hidup orang Melayu dari dasar-dasar yang diumumkan oleh Najib.

Akan tetapi, orang Melayu yang selalu taat kepada pemimpin mungkin akan mendiamkan diri saja, sama ada kerana tidak mahu bising-basing atau tidak berani menyatakan pendapat mereka.

Sebagaimana lazimnya, orang Melayu juga mungkin hanya akan tengadah setelah terantuk. Tapi masa itu mungkin sudah terlambat.

Wednesday, July 8, 2009

Kampung Buah Pala: Isunya ialah masalah setinggan yang tidak diselesaikan

Orang-orang yang bersimpati dengan nasib orang India yang menjadi penduduk Kg.Buah Pala, Pulau Pinang, atau berminat untuk membincangkan nasib dan masalah mereka, saya kira tidak harus melupakan dua fakta berikut:
a) Tanah yang mereka duduki selama bertahun-tahun itu dahulunya adalah tanah kerajaan negeri.
b) Status mereka tinggal di kampung itu adalah sebagai setinggan.

Masalah yang mereka hadapi sekarang mungkin tidak berlaku, sekiranya kerajaan negeri yang terdahulu (BN) memberikan tanah itu kepada mereka sebagai hak milik yang kekal.

Akan tetapi, kita semua tahu bahawa sejak tahun 1980-an ke atas memang tidak ada kerajaan negeri yang mahu bermurah hati untuk memberikan tanah yang diduduki oleh setinggan kepada mereka, walaupun mereka telah mendudukinya selama beberapa generasi.

Bagi kerajaan negeri dan tokoh politik yang berkuasa di peringkat negeri, tentu lebih menguntungkan jika tanah itu diserahkan kepada pemaju atau syarikat swasta atau "syarikat kroni" yang berkaitan dengan mereka.

Hal seperti ini sudah berlaku di Selangor beberapa tahun yang lalu, khasnya ketika Selangor diterajui oleh Khir Toyo sebagai MB yang nampaknya kurang bersimpati dengan nasib setinggan Melayu.

Begitu banyak kawasan setinggan Melayu yang telah diserahkan atau "dijual" kepada syarikat swasta, walaupun para setinggan Melayu telah puluhan tahun tinggal di kawasan itu.

Sebahagian besar daripada setinggan Melayu itu agaknya berpeluang membeli dan memiliki rumah flat yang dibina oleh kerajaan, dan dengan itu telah dapat tinggal di rumah halal; bukan lagi di rumah setinggan.

Akan tetapi, pada realitinya mereka memang telah "dihalau" dari kawasan perkampungan Melayu di kota yang telah mereka bangunkan dengan susah payah dan telah mereka duduki bertahun-tahun.

Sekarang nasib yang telah dialami lebih dahulu oleh setinggan Melayu di Selangor itu dialami pula oleh setinggan India di Kampung Buah Pala, Pulau Pinang.

Sekarang, saya kira memang tidak ada sesiapa yang mampu menolong mereka, sama ada kerajaan negeri atau kerajaan pusat.

Kesalahan mereka ialah mereka tidak menuntut tanah itu sebagai hak milik mereka 30 atau 40 tahun yang lalu, ketika harga tanah agaknya belum begitu mahal, dan ketika kerajaan negeri mungkin lebih bersedia menyerahkan tanah itu kepada mereka, sekiranya ada tekanan politik yang kuat.

Kesalahan kerajaan negeri yang terdahulu pula ialah kurang prihatin terhadap masalah setinggan, dan membiarkan saja masalah setinggan itu berlarutan selama berpuluh tahun.

Sekarang saya rasa nasi sudah menjadi bubur. Tidak banyak, dan malah mungkin tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan untuk memberi mereka peluang terus tinggal di kampung itu.

Mereka sudah "dihalau" oleh kerajaan negeri yang terdahulu, yang memberikan tanah itu kepada Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang (KPKPP), sebagai ganti tanah KPKPP di tempat lain yang diambil oleh kerajaan negeri.

Dan dengan itu, mereka terpaksa meninggalkan kampung itu, sama ada mereka mahu atau tidak.

Mungkin pihak pemaju yang mengambil tanah itu dari KPKPP mahu memberi sedikit pampasan kepada mereka. Dan dengan wang itu, mereka boleh memberi rumah murah di tempat lain.

Agaknya itulah saja penyelesaian yang terbuka untuk mereka, yang terhalau dari kampung yang telah mereka duduki puluhan tahun.

Monday, June 22, 2009

Bagi PAS, UMNO lebih berbahaya daripada DAP

Banyak orang bertanya mengapa PAS boleh berkawan dan bekerjasama dengan DAP sebuah parti Cina, tapi tidak boleh atau tidak mahu bekerjasama dengan UMNO, sebuah parti Melayu/Islam?

Mengapa PAS boleh berkawan dengan DAP, sedangkan DAP secara terus terang mengatakan ia tidak mahu pelaksanaan undang-undang Islam dan penubuhan negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS?

Bagi saya jawapannya mudah saja: bagi PAS, UMNO lebih berbahaya daripada DAP.

Mengapa saya berkata demikian?

PAS dan UMNO adalah sama-sama parti Melayu dan sama-sama bergantung kepada sokongan orang Melayu. Kedua-dua parti itu akan lemah jika kurang mendapat sokongan orang Melayu.

PAS akan terus hidup jika ramai orang Melayu yang menyokongnya, tapi PAS akan mati jika semua atau majoriti orang Melayu beralih menyokong UMNO.

Berdasarkan logik ini, UMNO boleh menawan dan memang berhasrat menawan Kelantan yang dikuasai oleh PAS sejak lama dahulu, tapi DAP tentu tidak mampu dan mungkin tidak berhasrat berbuat demikian.

Dengan perkataan lain, UMNO boleh membunuh PAS jika UMNO dapat menarik sokongan bahagian terbesar orang Melayu dan mengusir PAS dari negeri dan kawasan yang selama ini dikuasai oleh PAS. Sedangkan DAP sebagai parti Cina, tentu tidak akan menggugat negeri atau kawasan yang majoriti penduduknya orang Melayu yang selama ini dikuasai oleh PAS dan tempat terletaknya tunjang kekuatan PAS.

Oleh yang demikian, adalah logik politik, jika untuk kelangsungan hidupnya, PAS terus berkawan dan bekerjasama dengan DAP dan bukan dengan UMNO.

Dengan berkawan dengan DAP (dan juga PKR) PAS boleh menarik sokongan sebahagian orang bukan Melayu seperti dalam PRU 12, dan tanpa diduga, dapat berkongsi kuasa memerintah Selangor dan Pulau Pinang, dan sebelum ini Perak juga.

Jadi dari segi strategi politik, tindakan PAS terus bekerjasama dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat adalah betul, kerana kerjasama itu memungkinkannya mendapat kekuatan untuk terus bersaing dengan UMNO, dan tidak akan dibunuh oleh UMNO.

Dengan bekerjasama dengan DAP juga, PAS bukan saja dapat terus memerintah dan menguasai Kelantan, tapi dapat berkongsi kuasa memerintah negeri lain.

Sebaliknya, jika PAS memilih bekerjasama dengan UMNO, ia sebenarnya memilih jalan mati, kerana jika UMNO kuat, UMNO-lah yang akan menelan PAS; bukan DAP.

Wednesday, June 17, 2009

Konsep kerajaan perpaduan yang masih kabur

Banyak orang bercakap tentang kerajaan perpaduan. Tapi bagi saya konsep kerajaan perpaduan itu masih kabur.

Pada tahun 1974, ketika Tun Razak menjadi PM dan PAS turut menjadi komponen BN, kita mungkin boleh mengatakan apa yang dikatakan kerajaan perpaduan telah wujud.

Pada masa itu jelas sekali, dalam politik Malaysia orang Melayu menjadi golongan yang dominan dan UMNO pula menjadi parti yang dominan dalam kerajaan perpaduan tersebut. Walaupun PAS berada dalam BN, tetapi kedudukan PAS adalah sebagai "parti nombor dua", dan bukan parti yang setaraf dengan UMNO.

Kini, di kalangan sebahagian orang Melayu, khasnya ahli UMNO yang menyokong konsep kerajaan perpaduan, mungkin begitulah bentuk kerajaan perpaduan yang mereka bayangkan: orang Melayu akan menjadi pemegang kuasa yang dominan kembali dan UMNO pula terus menjadi parti yang dominan.

Mereka mungkin boleh menerima PAS berada semula dalam BN, tetapi mereka mahu UMNO tetap menjadi parti nombor satu dan PAS parti nombor dua.

Saya tidak tahu adakah PAS bersetuju dengan kedudukan seperti itu. Jika PAS bersetuju, mungkin kerajaan perpaduan itu boleh diwujudkan. Akan tetapi, jika tidak, konsep kerajaan perpaduan itu tentu akan terus menjadi impian saja.

Selain itu, bagi PAS, tindakan UMNO menendang PAS keluar dari BN pada masa yang lalu, tentu tidak boleh mereka lupakan begitu saja.

Mereka masih menganggap, UMNO hanya memerlukan PAS sebagai rakan ketika lemah, tetapi akan menendang PAS ketika telah kuat kembali.

Walaupun ada pemimpin PAS yang menganggap konsep kerajaan perpaduan itu baik demi kepentingan orang Melayu dan Islam, tetapi pengalaman pahit ketika ditendang keluar dari BN dahulu tetap merupakan penghalang bagi sebagian ahli PAS untuk berbaik-baik semula denganUMNO.

Dan walaupun sesetengah ahli dan pemimpin PAS memang telah merujuk ayat Quran yang menegaskan bahawa mereka memang wajar bersatu semula dengan UMNO, jika sikap UMNO telah berubah dan benar-benar jujur untuk membentuk kerajaan perpaduan, tetapi saya kira perkiraan dan pertimbangan politik semasa tetap merupakan penghalang untuk terlaksananya konsep itu.

Jadi saya mungkin bersikap realistik, jika tidaklah berharap sangat apa yang digembar-gemburkan sebagai kerajaan perpaduan itu akan menjadi kenyataan.

Monday, June 1, 2009

BN menyesal tidak meletakkan calon?

Sebelum pilihan raya kecil Penanti berlangsung, banyak pihak yang menduga bahawa PKR akan memenangi pilihan raya kecil itu dengan mudah. Mungkin itu salah sebabnya mengapa BN "memulaukan" pilihan raya kecil tersebut, walaupun tentunya BN memberi alasan yang lain.

Setelah pilihan raya kecil itu berlangsung, jelaslah PKR dapat memenanginya dengan mudah. Sementara calon PKR memperoleh lebih 5,000 undi, tidak ada calon bebas yang mendapat 500 undi.

Oleh kerana BN telah memulaukan pilihan kecil tersebut, kita tidak perlu hairan jika peratus yang keluar mengundi agak rendah (hanya lebih sedikit 46 peratus).

Mereka yang tidak keluar mengundi sebahagian besarnya tentu penyokong UMNO/BN, yang tentunya kecewa kerana BN tidak meletakkan calon, dan tidak pasti sama mereka berbuat demikian kerana bosan atau tidak.

Sekiranya BN meletakkan calon, saya yakin jumlah peratus yang keluar akan tetap tinggi seperti di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Kuala Terengganu. Soal rakyat bosan mengundi saya kira tidak timbul, sekiranya BN turut bertanding atau meletakkan calon.

Bagaimanapun, sebagaimana yang boleh diduga dan tidak perlu dihairankan, komen pemimpin BN terhadap kemenangan PKR memang bersifat negatif.
Banyak yang mengatakan kemenangan PKR itu tidak boleh dibanggakan. PM sendiri mengatakan kemenangan PKR itu tidak mutlak.

Saya tidak faham apakah yang dimaksudkan oleh beliau bahawa kemenangan itu tidak mutlak. Sebab mengikut sistem pilihan raya di negara kita, kemenangan satu undi pun dikira menang, dan tidak timbul sama ada kemenangan itu kemenangan mutlak atau tidak.

Saya ingin mempercayai bahawa pemimpin BN sebenarnya tidak menduga bahawa BN mungkin boleh memenangi pilihan raya kecil itu. Jika mereka yakin BN boleh menang, tidak ada sebab yang munasabah mengapa BN tidak meletakkan calon.

Jadi tindakan BN tidak meletakkan calon itu sebenarnya adalah satu kesilapan.

Bagaimanapun kesilapan sudah berlaku, yang tentunya dikesali, tapi tidak dapat dibetulkan lagi.

Thursday, May 21, 2009

Terpaksa "mengemis" tanah kubur

Tajuk berita di atas adalah menarik dan penting, walaupun ia dimuatkan di muka 32, Berita Harian 20 Mei 2009.

Berita itu melaporkan tentang ketiadaan tanah kubur di Bandar Baru Nilai, dan bagaimana penduduk bandar baru itu terpaksa "mengemis" untuk mengebumikan jenazah dari bandar baru itu di tanah perkuburan di kampung yang berhampiran.

Berita ini mengingatkan saya nasib penduduk Bandar Baru Bangi yang juga tidak mempunyai tanah kubur.

Bandar Baru Bangi adalah bandar baru yang besar dan moden yang boleh dianggap sebagai bandar serba ada -- dari kilang, taman perumahan, pusat perniagaan, hospital, sekolah, bahkan universiti.

Akan tetapi, aneh sekali bandar serba ada yang begitu besar dan moden dan mempunyai puluhan ribu penduduk, tidak mempunyai tanah kubur.

Ini saya kira satu kesilapan dan kesalahan besar dalam perancangan bandar-bandar baru di negara kita.

Adakah pihak yang merancang bandar-bandar baru itu tidak pernah terfikir bahawa penduduk bandar itu pada satu masa nanti akan mati, dan kalau mati dimanakah mereka hendak dikuburkan?

Bagi penduduk Bandar Baru Bangi, jenazah dari bandar itu pada mulanya dikebumikan di tanah perkuburan di kampung Sungai Tangkas yang tidak jauh dari bandar itu.

Tanah perkuburan di kampung Sungai Tangkas itu sebenarnya sebuah perkuburan kecil dan tidak lama kemudian ia pun penuh.

Saya dengar pada mulanya ada usaha untuk membuka tanah perkuburan di Bandar Baru Bangi ketika kawasan tanah di bandar itu masih ada yang kosong. Tapi setelah bertahun-tahun, usaha itu nampaknya tidak berhasil.

Sebabnya? Setiap inci tanah di bandar itu begitu mahal dan berharga, dan tentunya lebih menguntungkan jika dijadikan tapak perumahan dan pusat perniagaan.

Jadi usaha untuk membuka tanah kubur di bandar itu sentiasa ditunda dan tidak diutamakan, sehingga akhirnya hampir semua kawasan tanah di bandar itu telah dipenuhi oleh taman perumahan dan pusat perniagaan.

Penduduk Bandar Baru Bangi akhirnya dapat membuka tanah perkuburan yang baru, apabila mereka membeli sebidang tanah di kawasan dalam kampung Sungai Tangkas yang jauhnya kira-kira 5 km dari pusat bandar itu.

Sekarang masalah tanah kubur bagi penduduk Bandar Baru Bangi telah dapat diselesaikan.

Akan tetapi, alangkah bagusnya jika sejak awal lagi tanah kubur itu dibuka di Bandar Baru Bangi sendiri, kerana tentulah logik jika bandar yang besar dan moden itu mempunyai tanah perkuburan sendiri.

Monday, May 18, 2009

Tambang haji tidak boleh dinaikkan?

Nampaknya setiap kali kerajaan bercadang hendak menaikkan kadar tambang mengerjakan haji, mesti ada rayuan dan desakan supaya kadar tambang itu tidak dinaikkan. Begitulah pada kali ini.

Antara alasan yang dikemukakan mengapa tambang mengerjakan haji itu tidak dinaikkan ialah sekarang keadaan ekonomi dikatakan tidak menentu dan rakyat sedang menanggung kos sara hidup yang tinggi.

Walaupun alasan itu mungkin ada benarnya, tapi bagaimana pula dengan kos penginapan dan penerbangan yang meningkat dengan mendadak yang terpaksa ditanggung oleh TH?

Kita patut mengambil kira bahawa kenaikan tambang itu sepatutnya sudah dilaksanakan sejak tahun 2002 lagi. Akan tetapi, ia telah ditangguhkan apabila TH sanggup memberi subsidi sebanyak kira-kira RM2,000 kepada seorang jemaah haji.

Sekarang dikatakan kos penginapan dan tambang telah meningkat lagi. Adakah TH mesti dibebankan lagi dengan menambah subsidi yang lebih banyak?

Dalam hal ini saya kira sudah sampai masanya kita berfikir dan bertindak secara realistik.

Sekiranya kos penginapan dan tambang itu telah meningkat, apa salahnya tambang mengerjakan haji itu dinaikkan. Tentu tidak wajar TH diminta menanggung subsidi demi subsidi sehingga menghakis keuntungannya.

Para penyimpan dalam TH tentu hendakkan sebanyak sedikit keuntungan dari pelaburan mereka, dan tidaklah wajar keuntungan yang sedikit itu dihabiskan untuk memberi subsidi sahaja.

Lagipun bukankah mengerjakan haji itu hanya wajib bagi mereka yang berkemampuan? Sekiranya belum mampu, mereka boleh menundanya ke masa hadapan.

Bagaimanapun, berdasarkan pengamatan, saya rasa majoriti rakyat Malaysia memang mampu mengerjakan haji dengan kos yang tinggi sedikit. Sekiranya simpanan mereka kurang sedikit, mereka umumnya boleh mendapat bantuan daripada anak-anak.

Lagi pun, kita sering terbaca bahawa setiap kali musim haji, majoriti jemaah haji dari Malaysia selalunya berbelanja sakan apabila mereka berada di Medinah dan Mekah. Pada masa itu tidak kelihatan jemaah haji dari Malaysia miskin dan daif!

Bagaimanapun, jika subsidi hendak diberikan juga, ia patutlah diberikan kepada orang-orang yang kurang berkemampuan saja, dan bukan kepada semua jemaah haji.

Ini mungkin lebih adil kepada jemaah haji dan juga kepada penyimpan tabung haji.

Wednesday, May 13, 2009

Berikan kuasa semula kepada rakyat

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr.Abdul Hamid Pawanteh dilaporkan berkata, keadaan politik di Perak telah sampai ke satu tahap yang memerlukan rakyat membuat pemilihan semula.

Pendapat beliau disokong oleh Tan Sri Abu Talib Othman, bekas Peguam Negara yang kini menjadi Pengerusi Suhakam.

Mengikut Abu Talib, "krisis politik di Perak tidak dapat diselesaikan melainkan kuasa diberikan semula kepada rakyat" (Utusan Malaysia, 13 Mei 2009).

Saya rasa ramai lagi orang-orang yang berfikiran rasional dan terbuka bersikap dan berpendapat demikian. Itulah saja jalan yang paling wajar untuk menyelesaikan krisis politik tersebut.

Akan tetapi, bolehkah pemimpin UMNO dan BN mempertimbangkan pendapat seperti itu?

Pendapat umum meyakini UMNO dan BN tidak berani menghadapi pilihan raya baru kerana tidak yakin boleh menang.

Betulkah begitu?

Jika betul demikian, bererti krisis politik Perak akan terus berlarutan.

Monday, May 11, 2009

Jalan penyelesaian krisis politik Perak

Tahniah kepada Datuk Mohammad Nizar, kerana mahkamah tinggi memutuskan bahawa beliau masih lagi merupakan MB Perak yang sah.

Walaupun keputusan ini dikatakan belum muktamad, kerana pihak yang kalah masih boleh mengemukakan rayuan ke mahkamah rayuan, tapi saya melihat keputusan mahkamah tinggi ini boleh membuka jalan untuk menyelesaikan krisis politik Perak.

Mohmamad Nizar boleh terus menjalankan tugasnya sebagai MB Perak sekiranya beliau mempunyai sokongan yang mencukupi dalam DUN. Sebaliknya, beliau boleh meminta Sultan untuk membubarkan DUN supaya satu pilihan raya baru boleh diadakan, sekiranya beliau tidak mempunyai sokongan yang mencukupi..

Walaupun ada kemungkinan Sultan Perak tidak memperkenankan permohonan beliau, tetapi setelah krisis politik Perak berlanjutan selama 3 bulan, saya kira Sultan tentu lebih tahu apa yang lebih wajar dilakukan oleh Baginda untuk menyelesaikan krisis politik tersebut.

Sebelum ini sudah banyak pihak yang memberi pendapat bahawa cara yang sebaik-baiknya untuk menyelesakan krisis politik Perak ialah dengan membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya baru, dan bukan melalui rampasan kuasa melalui pintu belakang.

Dengan membubarkan DUN, bermakna kita memberikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baru. Biarlah rakyat yang menentukan siapakah yang mereka mahu pilih sebagai pemerintah.

Kebetulan Najib, PM baru kita sudah berkali-kali melaungkan slogan baru bahawa "rakyat didahulukan.".

Maka sekarang sampailah masanya Najib mengkotakan slogan yang baru diperkenalkannya itu.

Monday, April 27, 2009

Perpaduan PAS-UMO: lupakan saja

Dalam konteks semasa, idea "perpaduan PAS-UMNO" agaknya bukanlah idea yang terlalu penting dan menarik.

Mungkin ramai juga orang Melayu yang mahu PAS dan UMNO membentuk kerajaan perpaduan demi memperkuatkan kembali politik Melayu. Tapi kemahuan itu agaknya tidaklah begitu tinggi.

Yang lebih penting lagi, di kalangan pucuk pimpinan PAS dan UMNO hasrat untuk membentuk kerajaan perpaduan itu rasanya memang tidak kelihatan.

Malah sebaliknya, yang lebih ketara dan sering diulang oleh mereka di masa yang lalu ialah pemimpin PAS mahu orang Melayu bersatu di bawah PAS, dan pemimpin UMNO pula mahu orang Melayu bersatu di bawah UMNO.

Jadi mereka mahu parti masing-masing saja menjadi parti tunggal yang mewakili orang Melayu.

Hanya kerana ditimbulkan oleh akhbar tertentu, misalnya Siasah dan kemudiannya Utusan Malaysia, dan oleh tokoh politik tertentu, seperti Mukhriz Mahathir baru-baru ini , isu kerajaan perpaduan ini timbul kembali sebagai isu baru dan seolah-olah menjadi isu publik.

Dan mungkin kerana kepandaian akhbar Siasah memancing pendapat Haji Hadi, Haji Hadi seolah-olah bersetuju dengan idea kerajaan perpaduan tersebut.

Akan tetapi, mungkin kerana ramai ahli PAS yang tidak bersetuju, Haji Hadi kini dikatakan sudah berdolak dalik tentang isu kerajaan perpaduan itu.

Haji Hadi memberi alasan perubahan pucuk pimpinan UMNO sebagai sebab beliau menunda perbincangan dengan pemimpin UMNO dan perlu menilai pucuk pimpinan UMNO yang baru.

Rencana Pengarang Utusan Malaysia hari ini, 27 April 2009 menganggap pembatalan perpaduan PAS-UMNO adalah merugikan negara.

Perenggan akhir rencana pengarang itu menyatakan, "Apa yang kita harap pembatalan itu bukan sesuatu yang bersifat kekal. Ingatlah perpaduan Melayu sangat penting, bukan hanya untuk orang Melayu tetapi seluruh rakyat".

Akan tetapi, tanpa menafikan pentingnya perpaduan orang Melayu, atau secara lebih khusus perpaduan PAS dan UMNO, saya kira buat masa ini idea perpaduan itu memang sukar dilaksanakan.

Pada masa ini saya tidak melihat wujudnya keadaan dan syarat-syarat yang penting dan perlu yang boleh mendorong kepada kewujudan kerajaan perpaduan PAS dan UMNO.

Buat masa ini PAS masih selesa bersama PKR dan DAP, dan UMNO pula masih selesa bersama MCA, Gerakan, MIC dan parti komponen BN yang lain. Jadi tidak ada faktor penting yang memerlukan PAS dan UMNO meninggalkan rakan masing-masing dan membentuk kerajaan campuran.

Selain itu, dari segi masa, agaknya pembentukan kerajaan campuran memang tidak sesuai dan agak mustahil boleh berlaku pada masa ini atau masa terdekat .

Setelah pihak UMNO/BN berjuang mati-matian untuk merampas Kelantan daripada PAS dalam pilihan raya umum 2008, dan setelah BN merampas kerajaan Perak daripada PR baru-baru-baru ini, saya tidak fikir pemimpin dan ahli PAS berminat untuk membentuk kerajaan campuran dengan UMNO.

Dalam konteks persaingan dan konflik antara dua parti Melayu itu, orang-orang PAS tentu tidak melihat UMNO sebagai rakan yang jujur dan ikhlas dan boleh dipercayai. Apatah lagi mereka merasa mereka telah dikhianati oleh UMNO pada masa yang lalu.

Jadi buat masa ini, atau untuk sementara ini, idea kerajaan campuran itu saya kira tidak mungkin dilaksanakan, dan baiklah dilupakan saja.

Wednesday, April 15, 2009

Konsep Satu Malaysia hanya impian?

Sebelum PRU 2008, Anwar Ibrahim ada memperkenalkan konsep "politik baru" yang pada dasarnya menekankan politik multi-etnik dan menolak politik perkauman.

Konsep politik baru itu bagus dan merupakan satu impian yang wajar diperjuangkan. Akan tetapi, ia berhadapan dengan realiti politik perkauman yang begitu kuat, dan akhirnya ia "hilang" begitu saja.

Suara Keadilan, suara rasmi PKR tidak berkempen mempopularkannya dan Anwar pun kini agaknya tidak menyebutnya lagi.

Bersempena dengan pelantikannya sebagai PM Malaysia yang baru, Najib secara tiba-tiba memperkenalkan konsep "Satu Malaysia" yang seolah-olah merupakan satu konsep yang baru, tapi tanpa penjelasan yang sepatutnya.

Oleh kerana ia dilontarkan oleh PM yang baru, tentu saja ia menarik perhatian ramai. Maka banyaklah pihak yang memberi tanggapan mengikut tafsiran masing-masing.

Golongan bukan Melayu, termasuk golongan pembangkang, menafsirkan konsep Satu Malaysia itu sebagai sama dengan konsep Malaysian Malaysia yang sudah lama diperjuangkan oleh DAP. Mungkin mereka gembira dengan konsep Satu Malaysia yang kelihatan mirip dengan konsep Malaysian Malaysia itu.

Golongan Melayu pula, seperti yang diwakili oleh akhbar Utusan Malaysia dan beberapa orang pemimpin NGO Melayu tidak bersetuju konsep itu disamakan dengan konsep Malaysian Malaysia, kerana bagi mereka konsep itu tidak boleh lari dari berpegang kepada Perlembagaan Malaysia dan kontrak sosial.

Nampaknya setiap pihak mahu menafsirkan konsep itu mengikut kepentingan masing-masing.

Kecelaruan ini memerlukan Najib memberi penjelasan tentang konsep itu.

Sebagaimana yang dilaporkan di muka depan Utusan Malaysia hari ini, 16 April 2009, mengikut Najib konsep Satu Malaysia itu,

a) Tidak sama dengan konsep Malaysian Malaysia
b) Di bawah konsep itu bererti bahawa kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Dan kita mengambil tindakan berdasarkan semua kumpulan etnik dalam negara kita.
c) Tidak mengenepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan bumipuera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.
d) Mahu kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama.

Saya rasa tidak ada apa-apa idea baru yang terkandung dalam konsep tersebut atau mendasari konsep tersebut. Ia hanya idea lama yang cuba diucapkan dalam bentuk yang baru.

Bagaimanapun, apabila Najib mengatakan bahawa di bawah konsep itu kita mahu berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia, jelaslah ia masih merupakan impian saja, sebagaimana juga konsep Politik Baru yang diperkenalkan oleh Anwar Ibrahim.

Kita sudah terlalu lama berfikir dan bertindak mengikut faham dan aliran perkauman. Parti politik kita yang utama, seperti UMNO, MCA dan MIC juga masih berasaskan satu kaum. Begitu juga sistem persekolahan kita masih terbahagi kepada tiga aliran dan tiga bahasa pengantar mengikut kaum.

Jadi kita barangkali hanya boleh berubah untuk berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia, pada masa hadapan yang masih jauh, jika perubahan besar dilakukan terlebih dahulu terhadap sistem politik dan sistem pendidikan kita. Itulah realiti besar yang menghalang kita menjadi bangsa Malaysia.

Jika tidak, konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib mungkin akan terus tinggal sebagai impian saja , dan bolehlah digunakan sebagai slogan ketika ia masih hangat untuk diperkatakan!

Tuesday, April 14, 2009

Tak adakah sesiapa yang membela konsep Islam Hadhari?

Konsep Islam Hadhari ialah projek Abdullah Badawi untuk melawan konsep "masyarakat madani" yang ditonjolkan oleh Anwar Ibrahim dan konsep "penerapan nilai-nilai Islam" yang diperkenalkan oleh Mahathir.

Agaknya berpuluh (?) juta ringgit telah dihabiskan untuk mengadakan pelbagai seminar dan kursus untuk mempopularkan konsep tersebut.

Meskipun bekas Mufti Perlis, Dr.Asri tidak menyenanginya, tapi kalau tidak silap Mufti Perak, Harussani pernah memuji kebaikan prinsip-prinsip yang terkandung dalam konsep tersebut.

Pemimpin PAS memang menentang konsep tersebut. Malah Haji Hadi telah menulis sebuah buku secara khusus untuk menentang konsep tersebut.

Tapi dalam satu kenyataannya baru-baru ini, Abdullah Badawi masih mempetahankan konsep tersebut dengan mengatakan ia adalah satu konsep yang baik. Katanya banyak negara Islam, termasuk Indonesia menerimanya. Hanya di Malaysia ia telah dipolitikkan, dan dengan itu tidak diterima oleh rakyat secara menyeluruh.

Baru-baru ini, Nik Aziz telah menghentam konsep tersebut dengan mengatakan, konsep tersebut adalah karut , malah tidak pernah wujud apa yang dikatakan Islam Hadhari.

Kata beliau seterusnya, "Tak payah nak kaji semula konsep Islam Hadhari. Semua itu adalah mengarut. Ia adalah satu strategi orang Eropah hendak hapuskan Islam".

"Tak ada Islam Hadhari, yang ada Islam syamil," kata beliau seterusnya.

Orang PAS tentu menyokong pendapat Nik Aziz, walaupun pendapat Nik Aziz itu sebenarnya masih boleh diperdebatkan.

Tapi bagaimana sikap dan pendirian orang UMNO atau birokrat Islam di jabatan dan organisasi tertentu yang dahulunya mempromosikan konsep tersebut?

Tak adakah sesiapa yang hendak "membela" konsep tersebut?

Adakah konsep tersebut akan tenggelam dan hilang seperti konsep "masyarakat madani" dan "penerapan nilai-nilai Islam" dengan terkeluarnya tokoh yang menjadi penganjurnya dari gelanggang kuasa?

Monday, April 13, 2009

UMNO Selangor mahu diterajui Najib?

Walaupun agaknya bukan berita penting, tapi ada satu laporan dalam Utusan Malaysia hari ini, 13 April 2009, yang patut juga diberi ulasan.

Mengikut laporan itu, berdasarkan sumber yang diberi oleh Ab.Rahman Palil, Ketua Penerangan UMNO Selangor, majoriti UMNO Bahagian di Selangor dikatakan mahu Najib menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri bagi menggantikan Muhammad Muhd.Taib yang tewas dalam pemilihan baru-baru ini.

Saya tidak mahu mengulas wajar atau tidak Najib menjadi Pengerusi UMNO Selangor.

Tapi yang saya sedih ialah UMNO Selangor seolah-olah tidak mempunyai tokoh lagi atau sudah kehabisan tokoh untuk memegang jawatan itu.

Benarkah demikian? Jika benar, apakah sebabnya?

Kalau kita melihat kebelakang dan meninjau senjarah UMNO Selangor secara sepintas lalu, Selangor memang jarang-jarang melahirkan tokoh yang hebat, selain Dato' Harun yang pernah menjadi MB negeri itu dan menjadi Ketua Pemuda UMNO pada satu masa dahulu.

Dari masa ke masa memang pernah muncul menteri dan timbalan menteri dari kalangan pemimpin UMNO Selangor . Akan tetapi, mereka umumnya merupakan tokoh yang berkebolehan sederhana saja.

Pada satu masa dahulu pernah muncul seorang Setiausaha Agung UMNO dari kalangan pemimpin UMNO Selangor, iaitu Mustafa Jabar, yang sebelumnya menjadi Ketua UMNO bahagian Sabak Bernam lebih daripada 20 tahun.

Tapi selepas itu, kecuali seorang dua agaknya tidak ada pemimpin UMNO dari Selangor yang boleh dianggap sebagai tokoh nasional.

Mereka umumnya hanya layak menjadi Ketua Bahagian saja, walaupun banyak juga yang memegang jawatan itu hingga puluhan tahun.

Apakah sebabnya UMNO Selangor kurang sekali melahirkan tokoh besar yang berkalibar?

Antara sebabnya saya kira tidak lain dari sikap dan tindakan tokoh lama, khanya Ketua Bahagian yang menyekat golongan intelek dan terpelajar dari memasuki parti itu dan mencantas mereka sebelum mereka mendapat kedudukan yang agak mantap.

Mustafa Jabar misalnya memang berkarisme dan agaknya layak menjadi Ketua Bahagian dalam masa yang begitu lama. Tapi semua orang tahu, dia akan mencantas jika ada guru siswazah yang berwibawa dari daerah Sabak Bernam, yang boleh mencabar kedudukannya dalam parti itu.

Ketika Khir Toyo jadi MB Selangor, Selangor mempunyai Timbalan MB yang terdiri dari bekas pensyarah UKM yang berkelulusan Ph.D. Tapi dia tidak diberi peluang memainkan peranan yang sewajarnya, malah boleh dikatakan diketepikan oleh Khir Toyo. Akhirnya dia meninggalkan UMNO dan menyertai PKR.

Dalam pilihan raya 2004 ada beberapa orang dari golongan intelek yang diberi peluang bertanding dalam pilihan raya dan menang. Tapi dalam pilihan raya 2008 mereka digugurkan kerana sebab-sebab yang tidak jelas, selain kerana politiking yang dimainkan oleh Khir Yoyo.

Tidak lama dahulu, ada berita yang menyatakan bahawa Dr.Fadilah Kamsah hendak masuk UMNO, tetapi tidak diluluskan atau disekat awal-awal lagi.

Jadi begitulah sebahagian cerita sekat menyekat dan cantas mencantas dalam UMNO Selangor.

Dan sekarang kita lihatlah hasilnya: UMNO Selangor sudah kekeringan atau kehabisan tokoh untuk menjadi Pengerusi UMNO negeri itu.

Sungguh kasihan dan memalukan!

Wednesday, April 8, 2009

Badan bebas kaji punca kekalahan

Saya rasa cadangan Muhyidin supaya BN menubuhkan badan bebas untuk mengkaji kekalahan BN dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau pada 7 April 2009 ialah cadangan yang baik juga.

Pada masa yang lalu BN sendiri dikatakan pernah mengadakan "bedah siasat" apabila ia mengalami kekalahan yang buruk dalam sesuatu pilihan raya kecil. Tapi hasil bedah siasat itu biasanya tidak pernah diumumkan, dan kita pun tidak tahu apakah hasil dan perkara yang boleh diambil sebagai pedoman dari bedah siasat itu.

Bagaimanapun, untuk menubuhkan apa yang dikatakan "badan bebas" itu agaknya tidaklah begitu mudah. Sebabnya ialah kebanyakan para penyelidik dan pengkaji politik di negara kita pada masa ini pada umumnya "sudah berpihak" dan tidak lagi berpendirian bebas.

Kalau kita hendak pilih dari kalangan para pensyarah atau penyelidik di universiti misalnya, sukar sekali untuk mencari siapakah yang boleh dikatakan berpendirian "bebas".

Beberapa orang Prof atau Prof Madya yang sering ditampilkan sebagai pengulas dalam acara TV dan akhbar arus perdana jelas sekali ialah orang-orang yang cenderung menyokong BN dan mengampu BN.

Pendapat mereka selalunya bias dan tidak objektif, walaupun mereka dikatakan ialah pensyarah kanan atau Prof yang banyak pengalaman, dan ada yang berkepala botak.

Sebaliknya beberapa orang ahli akademik yang pendapatnya sering diminta oleh akhbar alternatif (Harakahmisalnya) ialah orang-orang yang cenderung menyokong parti pembangkang.

Jadi siapakah yang wajar dipilih untuk menganggotai badan bebas itu?

Dalam hal ini saya cenderung menyarankan supaya BN memilih orang-orang yang berpendirian kritis terhadap kerajaan daripada orang yang selalu mengambil sikap mengampu kerajaan.

Orang-orang yang berpendirian kritis itu mungkin dapat melahirkan dapatan kajian yang lebih tepat, benar dan realistik, walaupun tidak semestinya menyenangkan hati pemimpin BN.

Sebaliknya hasil kajian atau dapatan kajian para pengampu kerajaan pula mungkin menyenangkan hati pihak yang berkuasa, tapi tidak semestinya mendedahkan hal yang tepat, benar dan realistik.

Jadi kalau pihak BN mahukan hasil kajian yang "berguna", penting sekali mereka memilih orang-orang yang berpendirian bebas dan kritis, dan bukan dari kalangan para pengampu yang hanya hendak menyenangkan hati pihak yang berkuasa.

Tuesday, April 7, 2009

Friday, April 3, 2009

Tindakan Najib yang dialu-alukan

Saya kira sebagai PM Malaysia yang baru, Najib telah diberi nasihat yang betul dan telah mengambil tindakan yang betul apabila membebaskan 13 orang tahanan ISA dan menarik balik penggantungan dua akhbar pembangkang -- Harakah dan Suara Keadilan -- pada hari pertama beliau menjadi PM.

Saya teringat ketika baru mengambil alih pemerintahan dahulu, Dr.Mahathir juga membebaskan ramai tahanan ISA sebagai tindakan beliau yang terawal.

Walaupun kita tidak tahu bagaimana dasar dan tindakan Najib selepas ini, tapi tindakannya membebaskan tahanan ISA danmenarik balik penggantungan akhbar pembangkang itu adalah melambangkan dasar beliau yang liberal dan terbuka dan menggambarkan keperibadian seorang yang percaya diri.

Hanya saya berharap dasar seperti itu akan berkekalan. Tidaklah wajar beliau mengikut langkah Dr.Mahathir yang agak liberal dan terbuka pada masa beliau mengambil alih pemerintahan, tapi bersikap autoritarian pada akhir pemerintahan beliau.

Khusus mengenai penggantungan akhbar pembangkang, saya pernah tegaskan sebelum ini, bahawa dasar yang mahu mengongkong pembacaan dan pemikiran rakyat itu tidak semestinya akan menguntungkan UMNO dan kerajaan.

Saya rasa hanya menteri yang kurang bijaksana dan patut diganti saja yang mengambil tindakan tergesa-gesa seperti itu.

Rakyat yang kini boleh berfikir secara kritis dan terbuka tidak akan menyokong sebuah parti dan kerajaan yang tidak ada keyakinan diri dan mahu mengongkong pemikiran rakyat.

Lagipun kini maklumat boleh diperolehi di mana-mana -- dari pelbagai media baru seperti blog dan internet. Jadi tindakan menggantung akhbar pembangkang itu mungkin tidaklah banyak gunanya.

Tindakan Shahrir wajar dicontohi

Di negara kita belum menjadi tradisi bahawa seorang menteri akan meletakkan jawatannya apabila dia tidak lagi memegang jawatan penting dalam parti politik yang disertainya. Malah pada masa yang lalu ada menteri dari UMNO yang terus memegang jawatan itu, setelah dia tidak terpilih sebagai seorang ahli majlis tertinggi (MT).

Oleh itu, tindakan Shahrir Samad meletakkan jawatannya setelah tidak terpilih sebagai seorang ahli MT yang ditandinginya dalam perhimpunan agungUMNO baru-baru ini memang wajar diberi perhatian.

Mengikut Shahir, sikap para perwakilan UMNO yang tidak memilihnya sebagai salah seorang ahli MT itu adalah merupakan isyarat bahawa mereka tidak mahu dia terus menjadi menteri, mungkin kerana perkhidmatannya yang tidak begitu cemerlang.

Saya kira sikap Shahrir itu wajar dihargai dan dicontohi. Apatah lagi dia adalah seorang orang lama, yang telah lama menjadi menteri. Beliau wajar memberi peluang dan laluan kepada tokoh yang lebih muda untuk mengisi jawatan tersebut.

Dalam hubungan ini, saya tertarik untuk mengetahui bagaimanakah sikap tokoh UMNO yang lain, yang juga gagal untuk memenangi jawatan yang mereka tandingi dalam perhimpunan agung UMNO tempoh hari, iaitu Syed Hamid, Rais Yatim dan Azalina Othman? Adakah mereka juga akan turut melepaskan jawatan menteri?

Setakat ini tidak kelihatan mereka akan berbuat demikian. Hal ini boleh difahami, kerana tindakan melepaskan jawatan itu belum menjadi tradisi, dan dengan melepaskan jawatan bererti mereka juga akan kehilangan kedudukan tinggi dan kemewahan hidup.

Bagaimanapun, sekiranya mereka bukan orang yang mementingkan diri dan sedikit sebanyak merupakan orang-orang yang berprinsip, mungkin wajar sekali jika mereka mengikut jejak langkah Shahrir.

Para perwakilan UMNO sudah memberi isyarat bahawa mereka tidak dikehendaki lagi untuk memegang jawatan itu, kerana pelbagai sebab, seperti kerana sudah terlalu lama, di samping prestasi mereka yang barangkali tidaklah begitu cemerlang. Malah ada juga antara mereka yang membuat banyak kesilapan yang ketara pada masa yang akhir-akhir ini.

Jadi saya kira mereka mungkin akan lebih dihormati dan terus dihormati, sekiranya sanggup meletakkan jawatan menteri dengan kemahuan sendiri seperti Shahrir.

Thursday, April 2, 2009

Thursday, March 26, 2009

Ubah diri demi perubahan UMNO

Ketika banyak pihak bercakap secara umum tentang perubahan dalam UMNO, atau perubahan yang perlu dilakukan oleh UMNO, saya kira Abdullah Badawi telah melontarkan satu idea yang agak menarik juga, apabila beliau mengatakan bahawa perubahan itu haruslah bermula dengan perubahan dalam diri setiap anggota UMNO.

Memetik ucapan beliau, "Apa yang saya ingin saya dengar ialah suara yang menyatakan 'aku akan berubah' lalu disusuli dengan langkah berani melakukan perubahan itu dalam diri sendiri" (Utusan Malaysia 27 Mac 2009).

Petikan ucapan Abdullah itu saya kira wajar diberi ulasan sewajarnya, walaupun saya tidak pasti adakah ahli UMNO akan memberi perhatian atau tidak terhadap idea beliau itu.

Sebenarnya dalam sejarah sesebuah masyarakat dan sesebuah organisasi yang besar , perubahan secara serentak atau secara menyeluruh bagi semua anggotanya mungkin tidak pernah berlaku, apalagi jika kita harapkan perubahan itu akan berlaku dalam waktu terdekat atau waktu yang singkat.

Perubahan mesti berlaku terlebih dahulu di kalangan "orang atas" atau di kalangan pemimpin sesebuah masyarakat atau organisasi itu. Selepas itu, barulah perubahan itu meresapi dan sampai kepada anggota masyarakat atau anggota organisasi yang lain.

Sejarah kemunculan dan perubahan agama pun biasanya begitu. Bermula dengan kemunculan seorang nabi yang membawa agama baru, maka perubahan akan berlaku, apabila agama baru itu diterima oleh anggota masyarakatnya; ada kalanya agak cepat, tapi adakalanya perlu memakan masa yang agak panjang.

Jadi saya kira, perubahan dalam UMNO pun begitu. Kita hanya boleh mengharapkan perubahan itu akan berlaku di kalangan ahli UMNO. sekiranya perubahan berlaku terlebih dahulu di kalangan pucuk pimpinannya dan barisan pemimpin utamanya.

Hanya di sini perlu juga dipertanyakan, perubahan di kalangan pucak pemimpin UMNO itu ke arah mana? Ke arah keterbukaan atau ke arah autoritarian?

Pada masa ini saya kira ada andaian dan kebimbanngan bahawa cara Najib berpolitik adalah ke arah autoritarian atau semi-autoritarian ala-Mahathir.

Sekiranya andaian dan kebimbangan itu benar, saya kira cara berpolitik seperti itu bukanlah perubahan yang diharapkan oleh generasi muda dan sebahagian besar anggota masyarakat di luar UMNO dan mungkin di dalam UMNO juga.

Dan dengan cara berpolitik seperti itu janganlah di harapkan generasi muda dan anggota masyarakat yang telah menjauhi UMNO akan kembali mendampingi UMNO dan menyokong UMNO.

Wednesday, March 25, 2009

Kurang gembira KJ menang, gembira KT kalah

Saya tidak tahu bagaimana perasaan orang lain tentang keputusan pertandingan Pemuda UMNO. Akan tetapi, jika orang bertanya perasaan saya, dengan mudah saya akan mengatakan, saya kurang gembira KJ menang, tapi saya gembira KT kalah.

Saya kurang gembira KJ menang, kerana KJ sudah dianggap terlibat dengan politik wang; hanya dia "bernasib baik" kerana diberi amaran saja. Jadi dia bukanlah pemimpin yang "bersih" dan patut dipilih untuk memegang jawatan Ketua Pemuda UMNO.

Akan tetapi, saya gembira sedikit (sedikit saja) KJ menang, kerana KJ tentu bukan orang Najib dan bukan orang pilihan Najib.

Dengan itu, jika dia mahu dan dia mampu, apabila Najib telah menjadi Presiden UMNO, Pemuda UMNO mungkin boleh memainkan peranan sebagai pressure group yang berkesan.

Peranan Pemuda UMNO sebagai pressure group dianggap penting, jika pucuk pimpinan UMNO kelihatan lemah dan gagal memainkan peranan yang berkesan untuk menjaga dan memperjuangkan kepentingan orang Melayu, misalnya. Ketika itu Pemuda UMNO wajar sekali memberi teguran dan kritik yang membina terhadap pucuk pimpinan UMNO.

Selain itu, dari masa ke masa bukanlah tidak mungkin pucuk pemimpin UMNO membuat kesilapan dengan melaksanakan dasar dan rancangan yang kurang menguntungkan rakyat dan negara.Maka ketika itu peranan Pemuda UMNO sebagai pressure group tentu penting sekali.

Zaman gemilang Pemuda UMNO mungkin akan terukir semula, jika sekiranya ia dapat memainkan peranan sebagai pressure group seperti ketika Pemuda UMNO di bawah pimpinan Jaafar Albar atau Harun Idris misalnya.

Zaman pemuda UMNO menjadi sayap yang lembik dan tidak bermaya seperti di zaman Hishamuddin sepatutnya sudah berlalu.

Tentang KT saya tidak mengharapkan beliau menang, walaupun dia dianggap "bersih" oleh Lembaga Disiplin UMNO, kerana imej beliau sebagai seorang pemimpin yang terlibat dengan rasuah politik saya rasa sudah diketahui umum.

Di samping itu, rekod beliau semasa menjadi MB Selangor saya rasa memanglah banyak yang boleh dikaitkan dengan rasuah dan salah guna kuasa. Hanya beliau agaknya bernasib kerana ketika menjadi orang penting di Selangor, beliau seolah-olah kebal dari penyiasatan BPR (sekarang PSRM).

Tentang Mukhriz, beliau mungkin yang paling kurang (?) terlibat dengan rasuah politik, dan beliau mungkin wajar dipilih sebagai pilihan terakhir.

Malangnya, saya kira kekuatan beliau banyak bergantung kepada kekuatan bapanmya, Dr M.

Pada satu masa dulu beliau banyak mengkritik Abdullah Badawi, PM dan Presiden UMNO secara terbuka. Tapi tidak diambil tindakan.Mengapa?

Mungkin kerana beliau anak Mahathir.

Tuesday, March 24, 2009

Maju bangsa maju bahasa: Najib hanya berhelah?

Walaupun Najib tidak menyatakan secara terus terang bahawa beliau mahu dasar PPSMI diteruskan atau dikekalkan, tapi dari ucapan beliau ketika merasmikan persidangan serentak Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO malam ini, kita mendapat bayangan bahawa beliau adalah salah seorang pemimpin UMNO yang berpendirian demikian.

Hal ini dibayangkan oleh beliau dalam ungkapan " maju bangsa maju bahasa". Kata beliau jika sesuatu bangsa itu maju, bahasanya akan dipelajari orang dan akan menjadi bahasa yang maju. Akan tetapi, jika bangsa itu mundur, tidak ada sesiapa yang berminat untuk mempelajari bahasa bangsa tersebut, dan bahasanya tidak akan maju.

Saya kira pendapat beliau hanya separuh betul. Yang betul atau lebih betul ialah, sambil kita memajukan bangsa, pada masa yang sama, bahasa kita juga harus dimajukan, iaitu dijadikan "bahasa ilmu" -- dijadikan bahasa pengantar semua mata pelajaran dari sekolah rendah hingga ke peringkat universiti.

Inilah yang wajar kita lakukan pada masa ini, kalau kita mahu bangsa kita maju dan bahasa kita pun maju.

Pada masa yang sama, kita bukan menolak bahasa Ingggeris dan bahasa asing yang lain. Jadi ajarlah bahasa Inggeris (dan bahasa lain itu) dengan kaedah yang betul, sehingga para pelajar kita boleh menguasai bahasa Inggeris dengan baik setelah mereka mempelajarinya selama 11 tahun ( 6 tahun di sekolah rendah dan 5 tahun di sekolah), dan mereka tidak menghadapi masalah untuk membaca buku dalam bahasa Inggeris apabila berada di universiti.

Pada masa yang lalu, mungkin ada kelemahan dalam pengajaran bahasa Inggeris sebagai satu mata pelajaran, sehingga sebahagian pelajar kita lemah dalam bahasa Inggeris, walaupun mereka telah mempelajarinya selama 11 tahun.

Kalau betul demikian, pengajaran bahasa Inggeris itulah yang mesti diperkuatkan dan dipertingkatkan, supaya kelemahan itu dapat di atasi dan para pelajar kita menjadi pandai. dalam bahasa Inggeris

Akan tetapi, caranya bukanlah dengan mengajar sains dan matematik dalam bahasa Inggeris, dan mengetepikan bahasa Melayu.

Dengan berbuat demikian, sebagaimana yang terbukti dari kajian para pakar, kebanyakan para pelajar kita tidak dapat menguasai sains dan matematik dengan baik, dan masih lemah juga dalam bahasa Inggeris.

Jadi itulah sebabnya golongan penentang PPSMI itu mahu dasar lama, iaitu bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa pengantar sains dan matematik, dipulihkan semula, dan pada masa yang sama pengajaran bahasa Inggeris sebagai satu mata pelajaran diperkuatkan lagi

Akan tetapi apabila Najib mengatakan beliau berpegang pada pendirian bahawa "maju bangsa maju bahasa", tetapi tidak menyebut bahawa beliau bersetuju dasar PPSMI itu tidak diteruskan lagi, nampak benarlah beliau hanya berhelah untuk meneruskan dasar yang kini sedang ditentang oleh orang Melayu yang juga mahukan bangsanya maju dan bahasanya maju.

Kalau Najib yang akan menjadi pemimpin utama kita sudah berpendirian demikian, siapakah yang boleh kita harapkan untuk memimpin kita memajukan bangsa dan pada masa yang sama memajukan bahasa kita?

Monday, March 23, 2009

Mengapa takut sangat pada Anwar Ibrahim?

Malam ini saya buka website Malaysiakini dan terjumpa dua berita yang saya rasa rakyat ramai tidak suka membacanya:

a) Penggantungan Harakah dan Suara Keadilan selama 3 bulan
b) Orang yang hendak mendengar ceramah Anwar Ibrahim disuraikan dengan gas pemedih mata.

Saya akui Harakah dan Suara Keadilan ialah bacaan alternatif kepada akhbar arus perdana yang sentiasa mengampu kerajaan, dan mungkin sedikit sebanyak ada juga pengaruhnya terhadap orang-orang yang membacanya.

Akan tetapi, saya kira rakyat ramai mahu kerajaan lebih bersikap terbuka, dan bukan bersikap penakut dan pengecut dengan menggantung kedua-dua akhbar tersebut.

Berilah mereka kebebasan membaca dan berfikir dan jangan kongkong pemikiran mereka sehingga jadi orang bodoh yang tidak boleh berfikir!

Sikap yang diambil oleh KDN saya kira hanya membuat rakyat lebih benci kepada kerajaan, dan tidak akan tertarik untuk menyokong parti pemerintah (UMNO/BN).

Pegawai KDN mungkin tidak rugi apa-apa, tapi besar kemungkinannnya UMNO/BN akan terus ditolak dan dibenci oleh majoriti rakyat.

Tentang tindakan polis melepaskan gas pemedih mata pula, polis mungkin berbuat demikian kerana perhimpunan itu tidak ada permit.

Tapi semua orang tahu, tindakan pihak yang berkuasa selalunya bersifat double standard.
Kalau UMNO/BN nak buat perhimpunan mungkin mudah diberi permit, atau tak ada permit pun tidak diapa-apakan. Maklumlah UMNO/BN ialah parti pemerintah yang boleh menggunakan jentera kerajaan!

Tapi perhimpunan parti pembangkang pula selalunya akan menghadapi pelbagai halangan.

Orang-orang yang mahu mendengar ceramah Anwar Ibrahim tentunya terpaksa bersurai apabila dibedil dengan gas pemedih mata.

Akan tetapi kerajaan tidak mendapat keuntungan apa-apa dari tindakan keras seperti itu, kerana tindakan pihak polis itu hanya akan menambah kebencian rakyat.

Mengapa takut sangat pada Anwar Ibrahim?

Saturday, March 21, 2009

Jerung terus berkeliaran

Keputusan Lembaga Disiplin UMN0 yang hanya mampu menjaring seekor jerung menjelang Perhimpunan Agung UMNO tahun ini sudah banyak diperkatakan. Dan antara ulasan yang terbaik tentulah ulasan daripada Tun Mahathir.

Saya tidak bermaksud hendak mengulas panjang, kerana mungkin sudah tidak perlu lagi. Akan tetapi, seperti Tun Mahathir, saya hanya hendak menyatakan kekecewaan saya kerana Lembaga Disiplin UMNO tidak menunjukkan keseriusan untuk membanteras rasuah politik dalam UMNO.

Saya rasa sudah jadi pengetahuan umum, bahawa jerung yang terlibat dengan rasuah politik ini bukan hanya seorang. Tapi mengapa Lembaga Disiplin gagal atau tidak mampu atau tidak mahu(?) menjaring jerung yang lain?

Dengan tidak menafikan kesukaran Lembaga Disiplin untuk mendapatkan saksi yang mahu tampil ke hadapan dan mendapatkan bukti yang sahih, kita terpaksa mengakui bahawa kemampuan Lembaga Disiplin nampaknya memang terbatas.

Setelah bertahun-tahun menjalankan tugasnya, kita tidak melihat kemampuan Lembaga Disiplin untuk mengurangkan rasuah politik dalam UMNO semakin meningkat.

Aduan dikatakan memang banyak. Akan tetapi, mengapa Lembaga Disiplin tidak mampu menjaring ikan (khasnya jerung) yang lebih banyak?

Malah jika kemampuannya hanya menjaring seekor jerung itu hendak dijadikan ukuran, maka peranan Lembaga Disiplin memang sangat mengecewakan.

Dan nampaknya sama ada Lembaga Disiplin ada atau tidak, rasuah politik dalam UMNO akan terus berlanjutan.

Dengan itu, banyak jerung akan terus berkeliaran dengan bebasnya, kerana kelemahan Lembaga Disiplin yang kewujudan dan peranannya juga agaknya perlu dikaji semula.

Wednesday, March 18, 2009

Jangan layan rayuan mereka

Sayang sekali keputusan terbaru Lembaga Disiplin UMNO nampaknya tidak diterima dengan positif oleh semua ahli dan pemimpin UMNO yang terlibat.

Beberapa orang yang mengeluarkan kenyataan dalam akhbar semuanya mengatakan bahawa mereka tidak bersalah. Malah tiga orang ejen Mohd. Ali Rustam menyifatkan keputusan itu sebagai tidak adil dan berat sebelah.

Antara alasan mereka ialah lembaga tersebut tidak memberi peluang kepada mereka membela diri sewaktu dipanggil memberi keterangan berhubung tuduhan politik wang pada minggu lalu.

Kenyataan mereka mungkin benar. Akan tetapi, pihak lembaga mungkin ada saksi yang kuat yang mewajarkan tindakan dan hukuman dikenakan ke atas mereka.

Dalam hal ini, yang saya nampak ialah cara lembaga menjalankan penyiasatan mungkin kurang telus. Ini mungkin kelemahan yang perlu diperbaiki.

Bagaimanapun, fenomena politik wang dalam UMNO adalah fenomena yang sangat meluas.

Persoalannya barangkali hanyalah sama ada mereka bernasib baik tidak masuk jaring, ataupun mereka kurang bernasib baik dan masuk jaring.

Mereka yang dijatuhkan hukuman ialah orang yang kurang bernasib baik. Mungkin jauh lebih banyak orang yang bernasib baik,dan tidak terkena jaring.

Jadi sama ada mereka yang berkenaan diberi peluang membela diri atau tidak, kenyataannya barangkali mereka memang terlibat dengan politik wang dan patut dihukum.

Orang yang belum kena jaring kita harap akan mendapat gilirannya pula selepas ini.

Walaupun orang yang dijatuhkan hukuman telah atau akan membuat rayuan supaya hukuman itu dtimbangkan semula, tapi jika UMNO serius hendak membersihkan parti itu daripada politik wang, saya tidak nampak kewajarannya rayuan mereka dipertimbangkan.

Saya sependapat dengan Dr.Mahathir bahawa Lembaga Disiplin perlu tegas dalam setiap keputusan yang diambil dan tidak perlu melayan sebarang rayuan kerana ia hanya akan menjejaskan kredibiliti dan imej parti. (Utusan Malaysia 19 MaC 2009).

Kata beliau seterusnya " Memang orang bersalah ada hak untuk merayu tetapi semua pihak tahu yang dia ini bersalah. Sekiranya dengan tiba-tiba orang seperti ini diberi kelonggaran, ia akan menyebabkan kredibiliti UMNO dan jawatankuasa disiplin hancur sama sekali."

Jadi sepatah kata beliau, jangan layan rayuan mereka.

Tuesday, March 17, 2009

Antara keputusan Lembaga Disiplin dan persepsi rakyat

Dengan hanya membaca beberapa buah blog, saya kira kita dapat merasakan betapa luasnya jurang antara keputusan Lembaga Disiplin UMNO dengan persepsi rakyat.

Hal ini demikian, antara lain, kerana perkara berikut:

a) Mengikut persepsi rakyat, bilangan ikan jerung yang terjaring mungkin ramai; bukan hanya seorang.Tapi setakat ini jerung yang terjaring nampaknya seorang saja.

b) Berdasarkan pemerhatian dan pengalaman ahli dan pemimpin UMNO selama bertahun-tahun, antara orang yang jadi calon Ketua Pemuda UMNO "bukanlah bersih sangat". Tapi tiba-tiba dia diisytiharkan "bersih" pula.

Kedua hal ini tentu menimbulkan tanda tanya besar.

Bolehkah Lembaga Disiplin memberi penjelasan yang memuaskan tentang hal ini?

Saya kira selagi Lembaga Disiplin tidak boleh memberi penjelasan yang memuaskan, selagi itulah kredibititinya akan dipersoalkan.

Sebelum ini keberkesanan Lembaga Disiplin UMNO untuk membanteras rasuah politik dalam UMNO sebenarnya tidaklah begitu meyakinkan, malah bagi sesetengah pihak memang tidak boleh diharapkan sangat.

Agaknya keadaan itu masih belum berubah?

Friday, March 13, 2009

Kerajaan perpaduan: harapan yang masih jauh

Saya kira memang ada, malah mungkin ramai juga, orang Melayu yang berharap supaya orang Melayu boleh bersatu semula melalui pembentukan kerajaan campuran UMNO-PAS atau apa yang kini diwarwarkan sebagai "kerajaan perpaduan".

Namun, buat masa ini agaknya kita tidak boleh berharap sangat perkara itu akan berlaku, kerana kita tidak melihat adanya faktor yang signifikan dan syarat yang perlu, yang boleh mendorong ke arah itu.

PAS dan UMNO mempunyai peluang keemasan untuk membentuk "kerajaan perpaduan", jika kedua parti itu mahu membentuk kerajaan campuran di Perak dan Selangor selepas berakhirnya PRU 12 dahulu.

Jika kerajaan campuran antara dua parti itu dapat diwujudkan, akan terbentukkan dua buah "kerajaan Melayu" di Perak dan Selangor.

Malangnya hal itu tidak berlaku, kerana PAS yang dipengaruhi oleh Anwar Ibrahim lebih berminat membentuk kerajaan campuran bersama DAP dan PKR.

Baru-baru ini isu kerajaan campuran atau kerajaan perpaduan ini muncul semula, selepas sebuah akhbar politik, iaitu Siasah menonjolkan isu tersebut.

Dan isu yang ditimbulkan oleh akhbar Siasah itu nampaknya mendapat sambutan daripada Haji Hadi, Presiden. PAS. Akan tetapi, belum kelihatan reaksi yang positif daripada pihak UMNO.

Bagaimananapun, banyak pihak yang berpendapat bahawa sambutan atau respons Haji Haji itu sebenarnya masih bersifat retorik saja, dan kita tidak melihat keseriusan Haji Hadi berhubung isu tersebut.

Lagi pun DAP melalui setiausaha agungnya Lim Guan Eng sudah pun mmperlihatkan sikap tidak setuju terhadap idea kerajaan perpaduan itu. Ini tentunya akan menyulitkan, malah akan menghalang PAS untuk bekerjasama dengan UMNO.

Jadi buat masa ini agaknya idea penubuhan kerajaan perpaduan itu adalah suatu perkara yang masih jauh daripada menjadi kenyataan, dan mungkin menjadi cakap-cakap politik yang tidak begitu bererti, dan akan datang dan pergi sebagai angin lalu saja.