Monday, August 17, 2009

Bantahan berasaskan sentimen saja?

Saya tinggal di sebuah taman perumahan, kira-kira 2 km dari sebuah bandar kecil. Di pusat bandar itu terdapat sebuah masjid dan sebuah gereja yang agak besar. Kira-kira 1 km di pinggir bandar itu (jadi kira-kira 1 km dari rumah saya) ada sebuah kuil Hindu dan 2 buah tokong Cina yang agak besar juga. Di pinggir taman tempat saya tinggal pula ( hanya kira-kira 500 meter dari rumah saya), ada sebuah gereja yang sederhana.

Di taman-taman perumahan yang berjiran dengan tempat tinggal saya pula terdapat surau, yang kebanyakannya digunakan sebagai tempat sembahyang Jumaat setiap minggu.

Jadi dalam lingkungan 2-4 hingga km di sekitar tempat saya tinggal, terdapat hampir semua rumah ibadat: masjid, surau, gereja, kuil Hindu dan tokong Cina.

Selama tinggal di taman perumahan ini, lebih 20 tahun, saya tidak merasa tergganggu untuk mengamalkan agama saya, walaupun tinggal berhampiran dengan gereja, kuil Hindu dan tokong Cina, kerana penganut agama lain pun tidak mengganggu saya.

Saya, anak-anak saya dan keluarga saya tidak pernah merasa terpengaruh dengan agama mereka, kerana mereka juga tidak pernah mempengaruhi kami untuk menganut agama mereka.

Jadi berdasarkan latarbelakang dan kedudukan saya ini, saya cuba memahami mengapakah orang Melayu yang tinggal di Seksyen 23 Shah Alam membantah keras apabila sebuah kuil Hindu hendak didirikan di kawasan mereka.

Nampaknya, sebagaimana yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia, 17 Ogos 2009, alasan bantahan mereka yang agak jelas hanya 2 saja:

a) Kawasan itu ialah kawasan majoriti Melayu (70 peratus) dan orang India di situ hanya golongan minoriti (17 peratus).
b) Tapak bakal kuil itu hampir dengan surau (kira-kira 50 meter) dan dengan taman permainan kanak-kanak ( kira 10 meter).

Jika itu saja alasan mereka, saya tidak nampak mereka mempunyai alasan yang kuat untuk membantah pembinaan kuil itu.

Meskipun orang India merupakan golongan minoriti, sebagai penduduk kawasan itu mereka juga tentunya berhak mempunyai rumah ibadat di tempat itu. Adakah wajar kita cuba menafikan hak mereka?

Tentang dekat dengan surau dan taman permainan kanak-kanak pula, saya tidak melihat itu merupakan masalah, kerana orang Islam beribadat di surau, dan orang Hindu beribadat di kuil.

Kalau surau dan kuil itu wujud berhampiran, dan penganut Islam dan Hindu di situ boleh menjalankan ibadat masing-masing dalam keadaan yang tenang dan damai, bukankah itu perkara yang baik dalam sebuah masyarakat plural seperti Malaysia?

Mengapa pembinaan kuil itu seolah-olah dianggap sebagai satu gangguan?

Dalam hal ini bantahan orang Melayu di Sekseyn 23 Shah Alam itu agaknya lebih berdasarkan sentimen saja, dan bukan berasaskan alasan yang rasional dan wajar.

1 comment:

Ajun said...

Org dah taknak tu taknaklah. Tak kiralah berdasarkan sentimen atau apa pun alasan mereka. Yang bantah bukan seorang tapi ramai.

Mungkin encik tdk merasa terganggu dengan aktiviti keagamaan di kwsn perumahan encik tapi adakah penduduk lain berasa selesa? kalau buat survey berapa peratus yang suka/tdk suka?

Apa yg encik rasakan tdk menggambarkan perasaan org lain. Berapa ramai pembaca blog ini yg menyokong pendapat encik ini?
Boleh buat survey agar semua penduduk di malaysia ini setuju /tidak setuju jika situasi ini berlaku di kawasan taman perumahan mereka.