Tuesday, December 30, 2008

Nampak kuman, tak nampak gajah?

Saya tidaklah bersetuju dengan semua pendapat Nik Aziz, kerana kadang-kadang pendapatnya ada yang agak pelik. Akan tetapi, saya tertarik dengan pendapatnya mengenai papan tanda tulisan Cina dan perkara lain yang berkaitan dengannya.

Kata Nik Aziz, "Hairannya mengapa penerbitan akhbar berbahasa Cina dibenarkan, rancangan televisyen juga ada berbahasa Cina, sebaliknya tulisan Cina pada papan tanda jalan tidak dibenarkan" (Harakah, 29 Disember 2008 - 1 Januari 2009).

Saya ingin menambah, bukan saja surat khabar dan TV dalam bahasa Cina dibenarkan di negara ini, malah di negara ini sudah lama ada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang bahasa pengantarnya ialah bahasa Cina.

Jadi, kalau kita tidak bersetuju ada papan tanda menggunakan bahasa Cina, tapi kita boleh menerima sekolah Cina dan TV saluran Cina sebagai saluran rasmi, maka ini bermakna kita nampak kuman di seberang laut, tapi tak nampak gajah di depan mata.

Kalau kita katakan bahasa lain selain daripada bahasa Malaysia tidak boleh digunakan untuk tujuan rasmi, bagaimana dengan penggunaan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan pada saluran TV?

Saya tidak tahu adakah selama ini kita telah terlepas pandang tentang hal ini, kerana penggunaan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan pada saluran TV itu sudah merupakan perkara biasa dan sudah kita terima sebagai perkara yang sewajarnya.

Tapi kalau betul demikian, tidaklah bermakna apa-apa kita membantah penggunaan bahasa Cina pada papan tanda jalan.Itu hanya perkara kecil. Dalam perkara yang lebih besar -- dalam kes bahasa pengantar di sekolah jenis kebangsaan Cina dan bahasa yang digunakan di TV kerajaan ini -- kita sudah pun boleh menerimanya sebagai perkara biasa dan sebagai perkara yang sewajarnya saja.

Thursday, December 25, 2008

Hukum hudud: apa tanggungjawab orang UMNO?

Saya telah katakan sebelum ini, PAS tidak ada kemampuan atau kekuatan untuk melaksanakan hukum hudud secara sendirian, kerana pelaksanaan hukum hudud memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu.

PAS pula hanya akan dapat meminda Perlembagaan Persekutuan sekiranya ia dapat memerintah kerajaan Pusat. Bolehkah PAS memerintah kerajaan PAS kerajaan Pusat secara bersendirian? Ini kemungkinan yang sangat jauh dan barangkali tidak terfikirkan oleh sesiapa.

Setakat yang boleh diduga, PAS berkemungkinan memerintah kerajaan Pusat jika ia terus bersekutu dengan DAP dan PKR. Walaupun dasar dan ideologi ketiga-tiga parti itu berbeza, bukanlah satu perkara yang mustahil jika mereka akan terus bekerjasama demi berkongsi kuasa dan mengekalkan kuasa.

Bagaimanapun, buat masa ini sudah jelas DAP tidak mahu menerima hukum hudud. PKR pula, walaupun setakat ini masih tidak mahu "bersuara", tetapi diyakini tidak mampu menyokong pendirian PAS demi menjaga survival politiknya.

Jadi apabila Husam, Naib Presiden PAS menyatakan PAS akan tetap melaksanakan hukum hudud apabila Pakatan Rakyat berjaya memerintah kerajaan Pusat, mungkin ada juga kewajarannya jika pemimpin UMNO menyatakan, kenyataan Husam itu hanya gimik politik dan secara langsung atau tidak langsung bertujuan untuk menarik pengaundi Melayu dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu tidak lama lagi.

Bagaimanapun, malang sekali, pemimpin UMNO yang seolah-olah mempersendakan hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud itu mungkin terlupa bahawa tanggungjawab melaksanakan hukum hudud adalah tanggungjwab semua orang Islam, dan bukan tanggungjawab orang PAS saja.

Sebagai parti Melayu (dan pernah juga mendakwa sebagai "parti Islam") UMNO juga sebenarnya bertanggungjawab untuk melaksanakan hukum hudud.

UMNO juga secara bersendirian memang tidak mampu untuk mengubah Perlembagaan dan melaksanakan hukum hudud, dan setakat ini rasanya tidak pernah menyatakan hasrat untuk melaksanakan hukum hudud.

Akan tetapi, ini tidak bermakna UMNO terkecuali daripada bertanggungjawab untuk melaksanakan hukum hudud, kerana majoriti ahlinya adalah orang Islam, dan pemimpin utamanya semua orang Islam.

Adakah pemimpin UMNO lupa, terlupa atau buat-buat lupa?

Tuesday, December 23, 2008

Hukum hudud: isu yang bukan isu?

Menarik juga melihat perkembangan terakhir mengenai isu hukum hudud.

Setelah Husam membuat pengakuan bahawa Pakatan Rakyat akan tetap melaksanakan hukum hudud jika Pakatan Rakyat memerintah kerajaan Pusat, banyaklah tokoh politik (khasnya tokoh UMNO), penulis blog dan penulis akhbar yang memberi komen. Pemimpin DAP, sebagaimana yang boleh dijangka, telah menentang pula pelaksanaan hukum hudud itu dengan lantang.

Isu hudud itu menjadi besar kerana ia dibesar-besarkan oleh akhbar tertentu.

Akan tetapi, semua orang tahu PAS tidak mungkin memerintah kerajaan Pusat secara bersendirian dan dengan itu tidak akan dapat melaksanakan hukum hudud secara bersendirian.

Pada masa yang sama semua orang juga tahu bahawa DAP, sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat memang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud (termasuklah tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum Islam dan penubuhan negara Islam).

Sesetengah pemimpin PAS berpendirian, pemimpin DAP tidak faham Islam dan kebaikan hukum Islam. Sebab itulah mereka menentang pelaksanaan hukum Islam. Sekiranya mereka faham Islam dan kebaikan hukum Islam, pemimpin PAS percaya, tentu DAP akan menerima pelaksanaan hukum Islam.

Akan tetapi entah bila pemimpin DAP akan faham Islam dan kebaikan hukum Islam, kita pun tidak tahu. Harapan dan keyakinan pemimpin PAS tentang perkara itu pun mungkin tidak berjejak di bumi nyata.

Dan dengan itu, entah bila hukum hudud itu akan dapat dilaksanakan.

Jadi pada pendapat saya, apa yang dikatakan isu hukum hudud itu bukanlah satu isu yang sebenar. Ia hanya isu palsu yang dibuat-buat, dan sengaja dibesar-besarkan.

Isu yang sebenarnya ialah, setakat yang boleh dijangka dan dengan tidak bermaksud untuk menolak ketentuan Allah, hukum hudud itu. memang tidak mungkin dilaksanakan di negara ini sampai bila-bila, kerana realitik politik di negara ini memang tidak memungkinkan ia dilaksanakan. Wallahualam.

Monday, December 22, 2008

Hukum hudud hanya sebagai slogan politik?

PAS tentu tidak bersetuju dengan dakwaan DSNajib bahawa parti itu menggunakan hukum hudud hanya sebagai slogan politik. Dan sebagai bersangka-baik kepada PAS, biarlah kita terima dakwaan para pemimpinnnya bahawa parti itu memang berhasrat untuk melaksanakan hukum hudud.

Akan tetapi, ada dua persoalan yang mungkin baik kita tanyakan kepada para pemimpin parti itu.

Pertama, adakah PAS mempunyai kekuatan sendiri untuk melaksanakannya? Saya anggap PAS mempunyai kekuatan sendiri jika ia dapat memerintah kerajaan Pusat secara bersendirian. Jika tidak mempunyai kekuatan seperti itu, bagaimanakah PAS hendak melaksanakannya?

Ini ialah kerana untuk melaksanakan hukum hudud, Perlembagaan Malaysia perlu diubah terlebih dahulu. Sekiranya perubahan Perlembagaan itu tidak dapat dilakukan, sampai bila pun tentu hukum hudud tidak dapat dilaksanakan.

Kedua, adakah realiti politik semasa memungkinkan hukum hudud itu dilaksanakan?

Saya telah nyatakan dalam posting terdahulu, bahawa realiti politik semasa memang tidak memungkinkan hukum hudud itu dilaksanakan di Malaysia pada masa ini, kerana di samping PAS tidak mempunyai kekuatan sendiri yang mencukupi, sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat (DAP dan PKR) juga tidak bersetuju hukum hudud itu dilaksanakan.

Mungkin PAS akan berusaha untuk memujuk atau mempengaruhi parti sekutunya dalam Pakatan Rakyat menerima hukum hudud, sekiranya Pakatan Rakyat dapat memerintah kerajaan Pusat.

Akan tetapi, semua ini adalah kemungkin yang masih jauh dan terlalu jauh.

DAP adalah parti Cina dan PKR pula adalah parti "berbilang bangsa". Saya tidak melihat kemungkinan orang bukan Melayu (Cina dan India) yang menjadi ahli kedua-dua parti ini boleh dipengaruhi oleh PAS untuk menerima hukum hudud.

Jadi ketika PAS tidak mempunyai kekuatan sendiri yang mencukupi, dan ketika realiti politik semasa tidak memungkinkan hukum hudud itu dilaksanakan, maka mungkin tidak salah jika dikatakan bahawa tindakan pemimpin PAS mewar-warkan hukum hudud itu pada masa ini hanyalah sebagai slogan politik sahaja.

Realiti politik tidak memungkinkan hukum hudud dilaksanakan

Beberapa tahun yang lalu kerajaan PAS Kelantan telah menggubal rang undang-undang mengenai hukum hudud. Tapi undang-undang itu tidak dapat dilaksanakan kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia.

Maknanya hukum hudud PAS itu hanya dapat dilaksanakan sekiranya Perlembagaan Malaysia dipinda terlebih dahulu.

Untuk meminda Perlembagaan Malaysia, PAS mesti dapat memerintah kerajaan Pusat.
Tapi bolehkah PAS memerintah kerajaan Pusat secara bersendirian? Realiti politik semasa menunjukkan hal itu tidak mungkin.

Berdasarkan kekuatannya sendiri, PAS mungkin hanya dapat menawan "negeri Melayu" seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, tetapi agak mustahil untuk menawan negeri-negeri yang lain.

Untuk menawan dan memerintah kerajaan Pusat, PAS tidak ada pilihan lain, kecuali bersekutu dengan parti lain seperti sekarang.

Akan tetapi, salah satu sekutu PAS, iaitu DAP memang tidak bersetuju hukum hudud dilaksanakan di negara ini. Dan apabila Husam, Naib Presiden PAS menyatakan PAS tetap mahu melaksanakan hukum hudud, Lim Eng Guan, Setiausaha Agung DAP dengan cepat mengeluarkan kenyataan yang membayangkan ia tidak menyetujuinya.

Pendirian satu lagi sekutu PAS, iaitu PKR tidak begitu jelas. Akan tetapi, sebagai parti berbilang kaum, PKR tidak mungkin mengambil pendirian menyokong hukum hudud.

Jadi saya kira, pemimpin PAS memang sudah tahu bahawa mereka sebenarnya memang tidak ada kemampuan untuk memerintah kerajaan Pusat secara bersendirian, dan dengan itu memang tidak ada kemampuan untuk melaksanakan hukum hudud.

Oleh itu, jika ada pemimpin PAS yang menyatakan hukum hudud akan dilaksanakan jika Pakatan Rakyat memerintah kerajaan Pusat, ia hanyalah retorik sahaja, kerana parti yang menjadi sekutunya dalam pakatan itu memang tidak menyutujuinya.

Jadi setakat yang boleh dijangka, hukum hudud memang tidak mungkin dilaksanakan di negara ini, sama ada oleh PAS atau oleh Pakatan Rakyat, kerana realiti politik di negara ini memang tidak memungkinkan ia dilaksanakan.

Friday, November 7, 2008

Mana fatwa tentang ISA?

Tentu tidak ada salahnya Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa tentang senaman Yoga, atau hal-hal lain yang kelihatan tidak begitu penting.

Akan tetapi, mana fatwa tentang ISA, politik wang dan rasuah? Ini soalan yang dikemukakan oleh Dr.Badrul Amin, seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Keadilan.

Mengikut pendapat beliau, fatwa tentang ISA, politik wang dan rasuah itu sepatutnya menjadi keutamaan, berdasarkan konsep keadilan dan ihsan agama Islam.

Dalam hal ini, mengikut pendapat beliau, sayang sekali, "isu senaman Yoga diperbesar-besarkan, sedangkan ia bukan isu utama berbanding isu lain yang lebih besar." (Suara Keadilan, 5-12 November 2008).

Beliau menegaskan, soal kezaliman, ketidakadilan dan rasuah wajar menjadi keutamaan badan yang bertanggungjawab agama demi menjaga benteng agama Islam.

Beliau menentang ISA, kerana "ISA adalah akta yang zalim, menangkap dan menahan sesorang tanpa perbicaraan. Ia bertentang dengan fitrah Islam yang syumul."

Sunday, October 5, 2008

Pemimpin PAS tidak ada "kemampuan"?

Dalam tulisannya yang terbaru dalam Mingguan Malaysia hari ini (5 Oktober 2008).Mufti Perlis ada menyatakan bahawa dalam Politik Islam, seorang pemimpin itu seharusnya ada dua ciri penting: "kemampuan" dan "amanah".

Walaupun tidak menyatakannya secara terus terang, tetapi beliau ada membayangkan bahawa pemimpin PAS pada masa ini hanya ada satu ciri, iaitu amanah, tetapi kurang atau tidak ada ciri yang kedua, iaitu kemampuan.

Pandangan Mufti Perlis ini saya kira boleh diterima. PAS meletakkan ulama (Nik Aziz) sebagai MB di Kelantan dan dahulunya Ustaz Hadi sebagai MB di Terengganu.

Dari segi amanah, kedua-dua orang ulama itu mungkin tidak perlu dipertikaikan. Tapi bagaimana dengan kemampuan mereka dari segi perancangan, pentadbiran dan sebagainya?

Oleh itu, jika kedua ciri yang ditekankan oleh politik Islam itu hendak direalisasikan, PAS tentu tidak cukup hanya melantik ulama sebagai MB atau pemimpin utamanya berdasarkan konsep "kepimpinan ulama".

Kita maklum, konsep kepimpinan ulama itu ditiru dari Iran. Akan tetapi, di Iran banyak ulama terkemuka yang mempunyai pengetahuan yang luas dalam bidang falsafah, sejarah sosial sains dll. Pengetahun mereka tidak terbatas kepada bidang keugamaan saja. Jadi pemimpin ulama di Iran memang layak menjadi ketua kerajaaan atau ketua negara atau memegang jawatan penting yang lain dalam pentadbiran negara.

Sebaliknya ulama PAS umumnya hanya pakar dalam bidang agama saja. Tapi mereka tidak terlatih atau tidak pernah mempelajari secara mendalam bidang falsafah, sosial sains, sejarah dll.

Ini barangkali kekurangan yang mesti diatasi oleh PAS, kalau ia hendak menjadi sebuah parti politik yang unggul,dan presidennya pula hendak menjadi PM Malaysia!

Saturday, October 4, 2008

"Pelampau Islam" sokong "Pelampau Hindu"?

Banyak pihak yang menganggap bahawa tindakan Hindraf di rumah terbuka PM di PWTC baharu-baharu ini adalah satu tindakan yang biadab, ataupun sekurang-kurangnya tidak sesuai dilakukan dalam rumah terbuka Aidilfitri seperti itu.

Akan tetapi, mungkin sudah rasmi pembangkang, maka apabila Uztaz Hadi memberi komen tentang hal itu, beliau terus sahaja membangkang dengan mengatakan "Mereka (Hidraf dibenarkan masuk, mereka masuklah. Saya rasa itu tidak biadab, itu demokrasi" (Sinar 5 Oktober 2008).

Beliau tidak mempersoalkan apa yang dilakukan oleh kumpulan Hindraf setelah memasuki dewan itu, bagaimana kelakuan mereka yang memotong barisan, dan adakah tindakan Hindraf itu sesuai dengan tujuan majlis itu diadakan.

Saya tidak melihat apa yang diucapkan oleh Ustaz Hadi itu sebagai tanda kematangan beliau berpolitik.

Dengan membuat kenyataan seperti itu, PAS mungkin boleh mendapat sedikit sokongan daripada orang India dan pengundi India, kerana beliau telah menunjukkan sikap "setiakawan" kepada kumpulan "pelampau" Hindu itu.

Bagaimanapun, dengan bertindak seperti itu, PAS juga membayangkan bahawa ia adalah sebuah parti "pelampau Islam". Itulah sebabnya ia boleh menyokong apa yang dilakukan oleh sebuah kumpulan "pelampau Hindu."

Sunday, September 28, 2008

PAS hanya akan "berjalan di tempat"?

Satu perkembangan menarik tentang PAS ialah pendirian parti itu bahawa ia tidak akan menyertai kerajaan Pakatan Rakyat jika kerajaan baru persekutuan yang bakal dibentuk itu majoritinya dikuasai oleh wakil rakyat bukan Islam.

Pendirian PAS ini boleh difahami, kerana perjuangan PAS untuk menegakkan negara Islam dan melaksanakan hukum Islam tentunya tidak akan mendapat sokongan daripada wakil rakyat bukan Islam dan tidak ternampak akan menjadi kenyataan.

Oleh itu, mungkin ada kewajarannya jika PAS terus menjadi parti pembangkang secara bersendirian.

Namun, dengan berpendirian seperti itu, PAS mungkin tidak akan berpeluang menjadi pemerintah pada peringkat Pusat buat selama-lama-nya, kerana orang bukan Islam tentu tidak lagi akan menyokong PAS.

PAS tidak akan berpeluang menjadi pemerintah pada peringkat Pusat tanpa bersekutu dengan parti lain, seperti DAP dan PKR sebagaimana sekarang.

Jadi untuk memperjuangkan Islam dalam sebuah masyarakat berbilang bangsa seperti Malaysia memang sulit, malah mungkin tidak realistik, apabila penduduk Islam di negara ini hanya lebih sedikit 50 peratus.

Penduduk Islam yang hanya kira-kira 50% itu terpecah dua atau tiga sebagai penyokong UMNO, PAS dan PKR, dan sukar dibayangkan semuanya akan menyokong PAS.

Dalam keadaan demikian, PAS memang perlu membuat pilihan. Tapi nampaknya tidak ada pilihan yang memudahkan parti itu mencapai matlamat perjuangannya.

Akhirnya PAS mungkin hanya akan "berjalan di tempat" (kata orang Indonesia), dan tidak akan ke mana-mana. Matlamatnya mungkin akan terus menjadi impian dan tidak akan menjadi kenyataan.

Monday, September 1, 2008

Isu muzakarah membawa keretakan dalam PAS?

Walaupun cuba disembunyikan dan tidak diakui, isu "muzakarah" antara PAS dengan UMNO jelas memang telah membawa kepada keretakan dan perpecahan dalam PAS.

Pada peringkat awal, kita dapat melihat kenyataan yang bertentangan antara Nik Aziz dengan Haji Hadi. Nik Aziz berada di pihak yang tidak bersetuju PAS mengadakan muzakarah dengan UMNO, sementara Haji Hadi pula di sebelah pihak yang bersetuju muzakarah itu diadakan.

Nik Aziz berhujah berasaskan sejarah dan realiti politik semasa. Berasaskan sejarah, PAS pernah mengalami pengalaman pahit apabila PAS disingkirkan dari BN satu masa dahulu. Jadi kejujuran UMNO mempelawa PAS bermuzakarah sebenarnya boleh diragui. Berasaskan realiti politik semasa pula, UMNO kini sedang lemah, dan PAS tidak wajar bermuzakarah dengan UMNO yang hanya ingin memulihkan kekuatannya. Lagipun UMN0 mungkin mempuyai muslihat tertentu, iaitu untuk memecahkan Pakatan Rakyat.

Haji Hadi pula berhujah berasaskan ayat Quran yang mengikut fahaman pemimpin PAS itu memang menghendaki mereka "berdamai", apabila pihak musuh sudah mahu berdamai. Jadi bermuzakarah dengan orang UMNO dikatakan wajar dilihat dari segi dakwah.

Dalam Muktamar PAS baru-baru ini kedua-dua pihak yang berbeza pendapat itu nampaknya berkompromi apabila muktamar itu mengambil keputusan bahawa muzakarah yang telah ditukar nama menjadi muqabalah itu akan diteruskan, sekiranya ada keperluan. Dr. Haron Din tampil sebagai tokoh yang mahu meneruskan muqabalah itu.

Bagaimanapun, selepas Muktamar, pihak yang mahu muqabalah itu diteruskan, nampaknya tidak berpuas hati kerana sekarang isu muqabalah itu sudah menjadi dingin, dan mereka pun tentunya tidak pasti bila akan diadakan lagi.

Pihak yang nampaknya tidak bersetuju PAS "berpakat" dengan DAP ini , telah menyerang tokoh-tokoh yang mereka anggap telah menjadi penghalang PAS meneruskan kerjasama dengan UMNO, seperti Husam Musa, Dr.Zulkifli, Dr.Hatta, dan Salehuddin , melalui satu blog baru, iaitu http//:antihusam.blogspot.com.

Saya rasa kemunculan kumpulan pro-UMNO dengan blog barunya ini sedikit banyak menunjukkan keretakan dalam PAS. Dan ini ada kaitannya dengan usaha UMNO mengajak PAS bermuzakarah.

Oleh itu, kita mungkin boleh simpulkan, jika setakat ini isu muzakarah itu tidak membawa perpercahan kepada Pakatan Rakyat, tetapi jelas ia telah membawa kepada keretakan dan perpecahan dalam PAS sendiri.

Wednesday, August 27, 2008

Mengapa bertindak seperti Taliban?

Saya tidak pernah melihat konsert, sama ada oleh artis tempatan atau artis luar negeri. Jadi saya tidak tahu Konsert Avril itu begitu buruk, sehingga dikatakan boleh merosakkan moral anak muda kita, malah sebagai kesan konsert seperti itu, usaha dakwah oleh badan-badan dakwah pun dikatakan menjadi tidak bererti lagi. Begitulah hebatnya kerosakan yang akan berlaku akibat daripada pertunjukan Konsert Avril itu!

Entah betul begitu atau tidak, saya pun tidak pasti.

Tapi saya agak perihatin juga apabila beberapa badan NGO Islam meminta Mufti bertindak, dan ada yang mengancam akan mengadakan demonstrasi.

Nampaknya sejak PAS menang besar dalam pilihan raya yang lalu, PAS, khasnya bahagian pemudanya, dan NGO yang terpengaruh dengannya, semakin agresif dan hendak bertindak seperti Taliban saja!

Bagaimanapun, saya ada terbaca kenyataan seorang pemimpin PAS Pahang, bahawa untuk "melawan" konsert yang tidak disenangi oleh orang-orang PAS dan NGO Islam itu, cara yang lebih baik ialah melalui pendekatan dakwah; bukan pendekatan politik dan pendekatan menghukum.

Mengikut saranan beliau, untuk melawan konsert seperti itu, Parti Islam dan NGO Islam patut mengadakan konsert yang bersifat Islam pula, iaitu konsert yang tidak bertentangan dengan nilai dan norma Islam.

Alangkah baiknya jika NGO Islam yang hendak berdemonstrasi itu mengambil perhatian tentang pandangan pemimpin PAS Pahang itu, dan tidak terburu-buru bertindak seperti Taliban yang mungkin menyebabkan orang ramai benci kepada Islam dan menjauhi Islam!

Saturday, August 9, 2008

Salam Perkenalan

Blog ini diwujudkan untuk menggantikan blog "Sangkakala" yang terdahulu. Tumpuannya adalah tentang Islam, termasuk parti Islam dan politik Islam. Selamat membaca.