Monday, June 1, 2009

BN menyesal tidak meletakkan calon?

Sebelum pilihan raya kecil Penanti berlangsung, banyak pihak yang menduga bahawa PKR akan memenangi pilihan raya kecil itu dengan mudah. Mungkin itu salah sebabnya mengapa BN "memulaukan" pilihan raya kecil tersebut, walaupun tentunya BN memberi alasan yang lain.

Setelah pilihan raya kecil itu berlangsung, jelaslah PKR dapat memenanginya dengan mudah. Sementara calon PKR memperoleh lebih 5,000 undi, tidak ada calon bebas yang mendapat 500 undi.

Oleh kerana BN telah memulaukan pilihan kecil tersebut, kita tidak perlu hairan jika peratus yang keluar mengundi agak rendah (hanya lebih sedikit 46 peratus).

Mereka yang tidak keluar mengundi sebahagian besarnya tentu penyokong UMNO/BN, yang tentunya kecewa kerana BN tidak meletakkan calon, dan tidak pasti sama mereka berbuat demikian kerana bosan atau tidak.

Sekiranya BN meletakkan calon, saya yakin jumlah peratus yang keluar akan tetap tinggi seperti di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Kuala Terengganu. Soal rakyat bosan mengundi saya kira tidak timbul, sekiranya BN turut bertanding atau meletakkan calon.

Bagaimanapun, sebagaimana yang boleh diduga dan tidak perlu dihairankan, komen pemimpin BN terhadap kemenangan PKR memang bersifat negatif.
Banyak yang mengatakan kemenangan PKR itu tidak boleh dibanggakan. PM sendiri mengatakan kemenangan PKR itu tidak mutlak.

Saya tidak faham apakah yang dimaksudkan oleh beliau bahawa kemenangan itu tidak mutlak. Sebab mengikut sistem pilihan raya di negara kita, kemenangan satu undi pun dikira menang, dan tidak timbul sama ada kemenangan itu kemenangan mutlak atau tidak.

Saya ingin mempercayai bahawa pemimpin BN sebenarnya tidak menduga bahawa BN mungkin boleh memenangi pilihan raya kecil itu. Jika mereka yakin BN boleh menang, tidak ada sebab yang munasabah mengapa BN tidak meletakkan calon.

Jadi tindakan BN tidak meletakkan calon itu sebenarnya adalah satu kesilapan.

Bagaimanapun kesilapan sudah berlaku, yang tentunya dikesali, tapi tidak dapat dibetulkan lagi.

2 comments:

Pakteh said...

Salam,
Saya berpandangan BN telah membuat pilihan yang tepat. Kini persepsi orang ialah PKR hanya mempunyai penyokong minoriti di Penanti. Jika BN bertanding mungkin keputusannya menang atau kalah dan persepsi orang akan terbahagi dua berdasarkan kepada keputusan PRK.
Apa yang berlaku kini, BN tak perlu bertanding tetapi PKR merasa terpukul dengan sendirinya. Strategi ini lebih berkesan dan fresh dan sukar diramal malah tidak dijangka oleh Anwar.
Tahniah BN, walau tidak bertanding tetapi seperti memenangi pertandingan.

omarhanafi said...

Sdr. Sangkakala.
Saya setuju dengan pakteh, BN buat pilihan tepat. Undi kecil tu bukan ruang untuk UMNO menganggap kemungkinan boleh menang kerana pihak penyokong PR pun ramai yang malas keluar sebab yakin menang.
Dari segi strategi pun kalau BN menang tak akan mengobah apa2.
Habis duit, buang masa, yang boleh letih.