Wednesday, July 8, 2009

Kampung Buah Pala: Isunya ialah masalah setinggan yang tidak diselesaikan

Orang-orang yang bersimpati dengan nasib orang India yang menjadi penduduk Kg.Buah Pala, Pulau Pinang, atau berminat untuk membincangkan nasib dan masalah mereka, saya kira tidak harus melupakan dua fakta berikut:
a) Tanah yang mereka duduki selama bertahun-tahun itu dahulunya adalah tanah kerajaan negeri.
b) Status mereka tinggal di kampung itu adalah sebagai setinggan.

Masalah yang mereka hadapi sekarang mungkin tidak berlaku, sekiranya kerajaan negeri yang terdahulu (BN) memberikan tanah itu kepada mereka sebagai hak milik yang kekal.

Akan tetapi, kita semua tahu bahawa sejak tahun 1980-an ke atas memang tidak ada kerajaan negeri yang mahu bermurah hati untuk memberikan tanah yang diduduki oleh setinggan kepada mereka, walaupun mereka telah mendudukinya selama beberapa generasi.

Bagi kerajaan negeri dan tokoh politik yang berkuasa di peringkat negeri, tentu lebih menguntungkan jika tanah itu diserahkan kepada pemaju atau syarikat swasta atau "syarikat kroni" yang berkaitan dengan mereka.

Hal seperti ini sudah berlaku di Selangor beberapa tahun yang lalu, khasnya ketika Selangor diterajui oleh Khir Toyo sebagai MB yang nampaknya kurang bersimpati dengan nasib setinggan Melayu.

Begitu banyak kawasan setinggan Melayu yang telah diserahkan atau "dijual" kepada syarikat swasta, walaupun para setinggan Melayu telah puluhan tahun tinggal di kawasan itu.

Sebahagian besar daripada setinggan Melayu itu agaknya berpeluang membeli dan memiliki rumah flat yang dibina oleh kerajaan, dan dengan itu telah dapat tinggal di rumah halal; bukan lagi di rumah setinggan.

Akan tetapi, pada realitinya mereka memang telah "dihalau" dari kawasan perkampungan Melayu di kota yang telah mereka bangunkan dengan susah payah dan telah mereka duduki bertahun-tahun.

Sekarang nasib yang telah dialami lebih dahulu oleh setinggan Melayu di Selangor itu dialami pula oleh setinggan India di Kampung Buah Pala, Pulau Pinang.

Sekarang, saya kira memang tidak ada sesiapa yang mampu menolong mereka, sama ada kerajaan negeri atau kerajaan pusat.

Kesalahan mereka ialah mereka tidak menuntut tanah itu sebagai hak milik mereka 30 atau 40 tahun yang lalu, ketika harga tanah agaknya belum begitu mahal, dan ketika kerajaan negeri mungkin lebih bersedia menyerahkan tanah itu kepada mereka, sekiranya ada tekanan politik yang kuat.

Kesalahan kerajaan negeri yang terdahulu pula ialah kurang prihatin terhadap masalah setinggan, dan membiarkan saja masalah setinggan itu berlarutan selama berpuluh tahun.

Sekarang saya rasa nasi sudah menjadi bubur. Tidak banyak, dan malah mungkin tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan untuk memberi mereka peluang terus tinggal di kampung itu.

Mereka sudah "dihalau" oleh kerajaan negeri yang terdahulu, yang memberikan tanah itu kepada Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang (KPKPP), sebagai ganti tanah KPKPP di tempat lain yang diambil oleh kerajaan negeri.

Dan dengan itu, mereka terpaksa meninggalkan kampung itu, sama ada mereka mahu atau tidak.

Mungkin pihak pemaju yang mengambil tanah itu dari KPKPP mahu memberi sedikit pampasan kepada mereka. Dan dengan wang itu, mereka boleh memberi rumah murah di tempat lain.

Agaknya itulah saja penyelesaian yang terbuka untuk mereka, yang terhalau dari kampung yang telah mereka duduki puluhan tahun.

No comments: