Saturday, August 15, 2009

Membesarkan"isu palsu"?

Kenyataan Nik Aziz bahawa "DAP boleh menghina Islam" (?) mungkin akan hilang sebagai angin lalu saja, jika ia tidak disiarkan oleh akhbar arus perdana dan tidak direspons oleh Timbalan PM dan tokoh-tokoh UMNO dan NGO yang lain.

Nik Aziz memang sering mengeluarkan kenyataan yang aneh dan boleh mengelirukan seperti itu, dan mungkin lebih baik jika kenyatan beliau tidak diberi publisiti langsung.

Akan tetapi dengan menyiarkannya dalam akhbar arus perdana dan direspons pula oleh banyak tokoh besar dan pemimpin negara, ia hanya akan menjadikan Nik Aziz lebih popular dan kelihatan "lebih besar" daripada yang sepatutnya.

Memang tentu tidak semua dan tentunya banyak juga orang yang tidak bersetuju dengan Nik Aziz. Akan tetapi dengan membesar-besarkan isu tersebut, tentu banyak pula, khasnya pengikut PAS yang fanatik, yang akan menyokong Nik Aziz.

Jadi bagi UMNO dan juga bagi orang Melayu, saya kira tidak ada apa-apa untungnya kita memberi publisiti yang begitu luas kepada kenyataan Nik Aziz yang aneh dan boleh mengelirukan itu.

Saya tidak tahulah jika akhbar arus perdana menyiarkan kenyatan Nik Aziz dan respons terhadapnya dengan tujuan untuk melariskan jualan akhbar. Jika itu rasionalnya, saya tak mahu komen, walaupun dari segi politik saya kira memang tidak menguntungkan.

Berkait dengan tujuan untuk melahirkan jualan akhbar ini, mungkin begitu juga mengapa akhbar arus perdana, seperti Utusan Malaysia terlampau membesar-besarkan isu pemimpin DAP menghina agama Islam.

Jika saya boleh memberi pendapat, isu pemimpin DAP menghina Islam itu saya kira bukanlah berasas sangat dan mungkin merupakan isu kecil dan remeh saja , kalau pun tidak mahu dianggap sebagai "isu palsu".

Tapi untuk melariskan jualan akhbar agaknya ia ditiup dan dibesar-besarkan sehingga hampir tidak terbatas, dan sehingga tokoh agama seperti Mufti Perak pun tidak sedar ia hanya isu remeh dan isu palsu.

Dengan membesar-besarkan isu itu, jualan akhbar mungkin laku dan meningkat. Tapi apakah untungnya bagi masyarakat dan negara?

1 comment:

Unknown said...

Asamulaikum,
Saya rasa, perkara begini patut disiarkan untuk pengetahuan umun, kerana rakyat perlu tahu apa yang sebenar berlaku, kerana apa jua kenyataan yg dikeluarkan olih orang penting seperti TGNA akan memberi impact kpd orang ramai terutama kpd kami yg duduk diatas pagar. Kami tidak menjadi ahli kapada mana2 parti politik, tetapi kami adalah pengundi....

Terima kasih

Reduan