Wednesday, April 8, 2009

Badan bebas kaji punca kekalahan

Saya rasa cadangan Muhyidin supaya BN menubuhkan badan bebas untuk mengkaji kekalahan BN dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau pada 7 April 2009 ialah cadangan yang baik juga.

Pada masa yang lalu BN sendiri dikatakan pernah mengadakan "bedah siasat" apabila ia mengalami kekalahan yang buruk dalam sesuatu pilihan raya kecil. Tapi hasil bedah siasat itu biasanya tidak pernah diumumkan, dan kita pun tidak tahu apakah hasil dan perkara yang boleh diambil sebagai pedoman dari bedah siasat itu.

Bagaimanapun, untuk menubuhkan apa yang dikatakan "badan bebas" itu agaknya tidaklah begitu mudah. Sebabnya ialah kebanyakan para penyelidik dan pengkaji politik di negara kita pada masa ini pada umumnya "sudah berpihak" dan tidak lagi berpendirian bebas.

Kalau kita hendak pilih dari kalangan para pensyarah atau penyelidik di universiti misalnya, sukar sekali untuk mencari siapakah yang boleh dikatakan berpendirian "bebas".

Beberapa orang Prof atau Prof Madya yang sering ditampilkan sebagai pengulas dalam acara TV dan akhbar arus perdana jelas sekali ialah orang-orang yang cenderung menyokong BN dan mengampu BN.

Pendapat mereka selalunya bias dan tidak objektif, walaupun mereka dikatakan ialah pensyarah kanan atau Prof yang banyak pengalaman, dan ada yang berkepala botak.

Sebaliknya beberapa orang ahli akademik yang pendapatnya sering diminta oleh akhbar alternatif (Harakahmisalnya) ialah orang-orang yang cenderung menyokong parti pembangkang.

Jadi siapakah yang wajar dipilih untuk menganggotai badan bebas itu?

Dalam hal ini saya cenderung menyarankan supaya BN memilih orang-orang yang berpendirian kritis terhadap kerajaan daripada orang yang selalu mengambil sikap mengampu kerajaan.

Orang-orang yang berpendirian kritis itu mungkin dapat melahirkan dapatan kajian yang lebih tepat, benar dan realistik, walaupun tidak semestinya menyenangkan hati pemimpin BN.

Sebaliknya hasil kajian atau dapatan kajian para pengampu kerajaan pula mungkin menyenangkan hati pihak yang berkuasa, tapi tidak semestinya mendedahkan hal yang tepat, benar dan realistik.

Jadi kalau pihak BN mahukan hasil kajian yang "berguna", penting sekali mereka memilih orang-orang yang berpendirian bebas dan kritis, dan bukan dari kalangan para pengampu yang hanya hendak menyenangkan hati pihak yang berkuasa.

No comments: