Wednesday, April 15, 2009

Konsep Satu Malaysia hanya impian?

Sebelum PRU 2008, Anwar Ibrahim ada memperkenalkan konsep "politik baru" yang pada dasarnya menekankan politik multi-etnik dan menolak politik perkauman.

Konsep politik baru itu bagus dan merupakan satu impian yang wajar diperjuangkan. Akan tetapi, ia berhadapan dengan realiti politik perkauman yang begitu kuat, dan akhirnya ia "hilang" begitu saja.

Suara Keadilan, suara rasmi PKR tidak berkempen mempopularkannya dan Anwar pun kini agaknya tidak menyebutnya lagi.

Bersempena dengan pelantikannya sebagai PM Malaysia yang baru, Najib secara tiba-tiba memperkenalkan konsep "Satu Malaysia" yang seolah-olah merupakan satu konsep yang baru, tapi tanpa penjelasan yang sepatutnya.

Oleh kerana ia dilontarkan oleh PM yang baru, tentu saja ia menarik perhatian ramai. Maka banyaklah pihak yang memberi tanggapan mengikut tafsiran masing-masing.

Golongan bukan Melayu, termasuk golongan pembangkang, menafsirkan konsep Satu Malaysia itu sebagai sama dengan konsep Malaysian Malaysia yang sudah lama diperjuangkan oleh DAP. Mungkin mereka gembira dengan konsep Satu Malaysia yang kelihatan mirip dengan konsep Malaysian Malaysia itu.

Golongan Melayu pula, seperti yang diwakili oleh akhbar Utusan Malaysia dan beberapa orang pemimpin NGO Melayu tidak bersetuju konsep itu disamakan dengan konsep Malaysian Malaysia, kerana bagi mereka konsep itu tidak boleh lari dari berpegang kepada Perlembagaan Malaysia dan kontrak sosial.

Nampaknya setiap pihak mahu menafsirkan konsep itu mengikut kepentingan masing-masing.

Kecelaruan ini memerlukan Najib memberi penjelasan tentang konsep itu.

Sebagaimana yang dilaporkan di muka depan Utusan Malaysia hari ini, 16 April 2009, mengikut Najib konsep Satu Malaysia itu,

a) Tidak sama dengan konsep Malaysian Malaysia
b) Di bawah konsep itu bererti bahawa kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Dan kita mengambil tindakan berdasarkan semua kumpulan etnik dalam negara kita.
c) Tidak mengenepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan bumipuera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.
d) Mahu kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama.

Saya rasa tidak ada apa-apa idea baru yang terkandung dalam konsep tersebut atau mendasari konsep tersebut. Ia hanya idea lama yang cuba diucapkan dalam bentuk yang baru.

Bagaimanapun, apabila Najib mengatakan bahawa di bawah konsep itu kita mahu berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia, jelaslah ia masih merupakan impian saja, sebagaimana juga konsep Politik Baru yang diperkenalkan oleh Anwar Ibrahim.

Kita sudah terlalu lama berfikir dan bertindak mengikut faham dan aliran perkauman. Parti politik kita yang utama, seperti UMNO, MCA dan MIC juga masih berasaskan satu kaum. Begitu juga sistem persekolahan kita masih terbahagi kepada tiga aliran dan tiga bahasa pengantar mengikut kaum.

Jadi kita barangkali hanya boleh berubah untuk berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia, pada masa hadapan yang masih jauh, jika perubahan besar dilakukan terlebih dahulu terhadap sistem politik dan sistem pendidikan kita. Itulah realiti besar yang menghalang kita menjadi bangsa Malaysia.

Jika tidak, konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib mungkin akan terus tinggal sebagai impian saja , dan bolehlah digunakan sebagai slogan ketika ia masih hangat untuk diperkatakan!

No comments: