Monday, June 22, 2009

Bagi PAS, UMNO lebih berbahaya daripada DAP

Banyak orang bertanya mengapa PAS boleh berkawan dan bekerjasama dengan DAP sebuah parti Cina, tapi tidak boleh atau tidak mahu bekerjasama dengan UMNO, sebuah parti Melayu/Islam?

Mengapa PAS boleh berkawan dengan DAP, sedangkan DAP secara terus terang mengatakan ia tidak mahu pelaksanaan undang-undang Islam dan penubuhan negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS?

Bagi saya jawapannya mudah saja: bagi PAS, UMNO lebih berbahaya daripada DAP.

Mengapa saya berkata demikian?

PAS dan UMNO adalah sama-sama parti Melayu dan sama-sama bergantung kepada sokongan orang Melayu. Kedua-dua parti itu akan lemah jika kurang mendapat sokongan orang Melayu.

PAS akan terus hidup jika ramai orang Melayu yang menyokongnya, tapi PAS akan mati jika semua atau majoriti orang Melayu beralih menyokong UMNO.

Berdasarkan logik ini, UMNO boleh menawan dan memang berhasrat menawan Kelantan yang dikuasai oleh PAS sejak lama dahulu, tapi DAP tentu tidak mampu dan mungkin tidak berhasrat berbuat demikian.

Dengan perkataan lain, UMNO boleh membunuh PAS jika UMNO dapat menarik sokongan bahagian terbesar orang Melayu dan mengusir PAS dari negeri dan kawasan yang selama ini dikuasai oleh PAS. Sedangkan DAP sebagai parti Cina, tentu tidak akan menggugat negeri atau kawasan yang majoriti penduduknya orang Melayu yang selama ini dikuasai oleh PAS dan tempat terletaknya tunjang kekuatan PAS.

Oleh yang demikian, adalah logik politik, jika untuk kelangsungan hidupnya, PAS terus berkawan dan bekerjasama dengan DAP dan bukan dengan UMNO.

Dengan berkawan dengan DAP (dan juga PKR) PAS boleh menarik sokongan sebahagian orang bukan Melayu seperti dalam PRU 12, dan tanpa diduga, dapat berkongsi kuasa memerintah Selangor dan Pulau Pinang, dan sebelum ini Perak juga.

Jadi dari segi strategi politik, tindakan PAS terus bekerjasama dengan DAP dan PKR dalam Pakatan Rakyat adalah betul, kerana kerjasama itu memungkinkannya mendapat kekuatan untuk terus bersaing dengan UMNO, dan tidak akan dibunuh oleh UMNO.

Dengan bekerjasama dengan DAP juga, PAS bukan saja dapat terus memerintah dan menguasai Kelantan, tapi dapat berkongsi kuasa memerintah negeri lain.

Sebaliknya, jika PAS memilih bekerjasama dengan UMNO, ia sebenarnya memilih jalan mati, kerana jika UMNO kuat, UMNO-lah yang akan menelan PAS; bukan DAP.

Wednesday, June 17, 2009

Konsep kerajaan perpaduan yang masih kabur

Banyak orang bercakap tentang kerajaan perpaduan. Tapi bagi saya konsep kerajaan perpaduan itu masih kabur.

Pada tahun 1974, ketika Tun Razak menjadi PM dan PAS turut menjadi komponen BN, kita mungkin boleh mengatakan apa yang dikatakan kerajaan perpaduan telah wujud.

Pada masa itu jelas sekali, dalam politik Malaysia orang Melayu menjadi golongan yang dominan dan UMNO pula menjadi parti yang dominan dalam kerajaan perpaduan tersebut. Walaupun PAS berada dalam BN, tetapi kedudukan PAS adalah sebagai "parti nombor dua", dan bukan parti yang setaraf dengan UMNO.

Kini, di kalangan sebahagian orang Melayu, khasnya ahli UMNO yang menyokong konsep kerajaan perpaduan, mungkin begitulah bentuk kerajaan perpaduan yang mereka bayangkan: orang Melayu akan menjadi pemegang kuasa yang dominan kembali dan UMNO pula terus menjadi parti yang dominan.

Mereka mungkin boleh menerima PAS berada semula dalam BN, tetapi mereka mahu UMNO tetap menjadi parti nombor satu dan PAS parti nombor dua.

Saya tidak tahu adakah PAS bersetuju dengan kedudukan seperti itu. Jika PAS bersetuju, mungkin kerajaan perpaduan itu boleh diwujudkan. Akan tetapi, jika tidak, konsep kerajaan perpaduan itu tentu akan terus menjadi impian saja.

Selain itu, bagi PAS, tindakan UMNO menendang PAS keluar dari BN pada masa yang lalu, tentu tidak boleh mereka lupakan begitu saja.

Mereka masih menganggap, UMNO hanya memerlukan PAS sebagai rakan ketika lemah, tetapi akan menendang PAS ketika telah kuat kembali.

Walaupun ada pemimpin PAS yang menganggap konsep kerajaan perpaduan itu baik demi kepentingan orang Melayu dan Islam, tetapi pengalaman pahit ketika ditendang keluar dari BN dahulu tetap merupakan penghalang bagi sebagian ahli PAS untuk berbaik-baik semula denganUMNO.

Dan walaupun sesetengah ahli dan pemimpin PAS memang telah merujuk ayat Quran yang menegaskan bahawa mereka memang wajar bersatu semula dengan UMNO, jika sikap UMNO telah berubah dan benar-benar jujur untuk membentuk kerajaan perpaduan, tetapi saya kira perkiraan dan pertimbangan politik semasa tetap merupakan penghalang untuk terlaksananya konsep itu.

Jadi saya mungkin bersikap realistik, jika tidaklah berharap sangat apa yang digembar-gemburkan sebagai kerajaan perpaduan itu akan menjadi kenyataan.

Monday, June 1, 2009

BN menyesal tidak meletakkan calon?

Sebelum pilihan raya kecil Penanti berlangsung, banyak pihak yang menduga bahawa PKR akan memenangi pilihan raya kecil itu dengan mudah. Mungkin itu salah sebabnya mengapa BN "memulaukan" pilihan raya kecil tersebut, walaupun tentunya BN memberi alasan yang lain.

Setelah pilihan raya kecil itu berlangsung, jelaslah PKR dapat memenanginya dengan mudah. Sementara calon PKR memperoleh lebih 5,000 undi, tidak ada calon bebas yang mendapat 500 undi.

Oleh kerana BN telah memulaukan pilihan kecil tersebut, kita tidak perlu hairan jika peratus yang keluar mengundi agak rendah (hanya lebih sedikit 46 peratus).

Mereka yang tidak keluar mengundi sebahagian besarnya tentu penyokong UMNO/BN, yang tentunya kecewa kerana BN tidak meletakkan calon, dan tidak pasti sama mereka berbuat demikian kerana bosan atau tidak.

Sekiranya BN meletakkan calon, saya yakin jumlah peratus yang keluar akan tetap tinggi seperti di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Kuala Terengganu. Soal rakyat bosan mengundi saya kira tidak timbul, sekiranya BN turut bertanding atau meletakkan calon.

Bagaimanapun, sebagaimana yang boleh diduga dan tidak perlu dihairankan, komen pemimpin BN terhadap kemenangan PKR memang bersifat negatif.
Banyak yang mengatakan kemenangan PKR itu tidak boleh dibanggakan. PM sendiri mengatakan kemenangan PKR itu tidak mutlak.

Saya tidak faham apakah yang dimaksudkan oleh beliau bahawa kemenangan itu tidak mutlak. Sebab mengikut sistem pilihan raya di negara kita, kemenangan satu undi pun dikira menang, dan tidak timbul sama ada kemenangan itu kemenangan mutlak atau tidak.

Saya ingin mempercayai bahawa pemimpin BN sebenarnya tidak menduga bahawa BN mungkin boleh memenangi pilihan raya kecil itu. Jika mereka yakin BN boleh menang, tidak ada sebab yang munasabah mengapa BN tidak meletakkan calon.

Jadi tindakan BN tidak meletakkan calon itu sebenarnya adalah satu kesilapan.

Bagaimanapun kesilapan sudah berlaku, yang tentunya dikesali, tapi tidak dapat dibetulkan lagi.