Friday, March 13, 2009

Kerajaan perpaduan: harapan yang masih jauh

Saya kira memang ada, malah mungkin ramai juga, orang Melayu yang berharap supaya orang Melayu boleh bersatu semula melalui pembentukan kerajaan campuran UMNO-PAS atau apa yang kini diwarwarkan sebagai "kerajaan perpaduan".

Namun, buat masa ini agaknya kita tidak boleh berharap sangat perkara itu akan berlaku, kerana kita tidak melihat adanya faktor yang signifikan dan syarat yang perlu, yang boleh mendorong ke arah itu.

PAS dan UMNO mempunyai peluang keemasan untuk membentuk "kerajaan perpaduan", jika kedua parti itu mahu membentuk kerajaan campuran di Perak dan Selangor selepas berakhirnya PRU 12 dahulu.

Jika kerajaan campuran antara dua parti itu dapat diwujudkan, akan terbentukkan dua buah "kerajaan Melayu" di Perak dan Selangor.

Malangnya hal itu tidak berlaku, kerana PAS yang dipengaruhi oleh Anwar Ibrahim lebih berminat membentuk kerajaan campuran bersama DAP dan PKR.

Baru-baru ini isu kerajaan campuran atau kerajaan perpaduan ini muncul semula, selepas sebuah akhbar politik, iaitu Siasah menonjolkan isu tersebut.

Dan isu yang ditimbulkan oleh akhbar Siasah itu nampaknya mendapat sambutan daripada Haji Hadi, Presiden. PAS. Akan tetapi, belum kelihatan reaksi yang positif daripada pihak UMNO.

Bagaimananapun, banyak pihak yang berpendapat bahawa sambutan atau respons Haji Haji itu sebenarnya masih bersifat retorik saja, dan kita tidak melihat keseriusan Haji Hadi berhubung isu tersebut.

Lagi pun DAP melalui setiausaha agungnya Lim Guan Eng sudah pun mmperlihatkan sikap tidak setuju terhadap idea kerajaan perpaduan itu. Ini tentunya akan menyulitkan, malah akan menghalang PAS untuk bekerjasama dengan UMNO.

Jadi buat masa ini agaknya idea penubuhan kerajaan perpaduan itu adalah suatu perkara yang masih jauh daripada menjadi kenyataan, dan mungkin menjadi cakap-cakap politik yang tidak begitu bererti, dan akan datang dan pergi sebagai angin lalu saja.

1 comment:

.@blogger.com said...

Salam,
Ya, saya percaya bahawa DAP akan tidak bersetuju apabila parti politik melayu menuju kearah perpaduan. Mereka tidak ingin melihat melayu bersatu padu dan kuat. Teapi segalanya terpulang kepada PAS dan UMNO sendiri. Jika kita jujur untuk pepaduan, kita akan ketepikan permasalahan lain yang tidak berkenaan - bERANIKAN hATI