Thursday, May 21, 2009

Terpaksa "mengemis" tanah kubur

Tajuk berita di atas adalah menarik dan penting, walaupun ia dimuatkan di muka 32, Berita Harian 20 Mei 2009.

Berita itu melaporkan tentang ketiadaan tanah kubur di Bandar Baru Nilai, dan bagaimana penduduk bandar baru itu terpaksa "mengemis" untuk mengebumikan jenazah dari bandar baru itu di tanah perkuburan di kampung yang berhampiran.

Berita ini mengingatkan saya nasib penduduk Bandar Baru Bangi yang juga tidak mempunyai tanah kubur.

Bandar Baru Bangi adalah bandar baru yang besar dan moden yang boleh dianggap sebagai bandar serba ada -- dari kilang, taman perumahan, pusat perniagaan, hospital, sekolah, bahkan universiti.

Akan tetapi, aneh sekali bandar serba ada yang begitu besar dan moden dan mempunyai puluhan ribu penduduk, tidak mempunyai tanah kubur.

Ini saya kira satu kesilapan dan kesalahan besar dalam perancangan bandar-bandar baru di negara kita.

Adakah pihak yang merancang bandar-bandar baru itu tidak pernah terfikir bahawa penduduk bandar itu pada satu masa nanti akan mati, dan kalau mati dimanakah mereka hendak dikuburkan?

Bagi penduduk Bandar Baru Bangi, jenazah dari bandar itu pada mulanya dikebumikan di tanah perkuburan di kampung Sungai Tangkas yang tidak jauh dari bandar itu.

Tanah perkuburan di kampung Sungai Tangkas itu sebenarnya sebuah perkuburan kecil dan tidak lama kemudian ia pun penuh.

Saya dengar pada mulanya ada usaha untuk membuka tanah perkuburan di Bandar Baru Bangi ketika kawasan tanah di bandar itu masih ada yang kosong. Tapi setelah bertahun-tahun, usaha itu nampaknya tidak berhasil.

Sebabnya? Setiap inci tanah di bandar itu begitu mahal dan berharga, dan tentunya lebih menguntungkan jika dijadikan tapak perumahan dan pusat perniagaan.

Jadi usaha untuk membuka tanah kubur di bandar itu sentiasa ditunda dan tidak diutamakan, sehingga akhirnya hampir semua kawasan tanah di bandar itu telah dipenuhi oleh taman perumahan dan pusat perniagaan.

Penduduk Bandar Baru Bangi akhirnya dapat membuka tanah perkuburan yang baru, apabila mereka membeli sebidang tanah di kawasan dalam kampung Sungai Tangkas yang jauhnya kira-kira 5 km dari pusat bandar itu.

Sekarang masalah tanah kubur bagi penduduk Bandar Baru Bangi telah dapat diselesaikan.

Akan tetapi, alangkah bagusnya jika sejak awal lagi tanah kubur itu dibuka di Bandar Baru Bangi sendiri, kerana tentulah logik jika bandar yang besar dan moden itu mempunyai tanah perkuburan sendiri.

Monday, May 18, 2009

Tambang haji tidak boleh dinaikkan?

Nampaknya setiap kali kerajaan bercadang hendak menaikkan kadar tambang mengerjakan haji, mesti ada rayuan dan desakan supaya kadar tambang itu tidak dinaikkan. Begitulah pada kali ini.

Antara alasan yang dikemukakan mengapa tambang mengerjakan haji itu tidak dinaikkan ialah sekarang keadaan ekonomi dikatakan tidak menentu dan rakyat sedang menanggung kos sara hidup yang tinggi.

Walaupun alasan itu mungkin ada benarnya, tapi bagaimana pula dengan kos penginapan dan penerbangan yang meningkat dengan mendadak yang terpaksa ditanggung oleh TH?

Kita patut mengambil kira bahawa kenaikan tambang itu sepatutnya sudah dilaksanakan sejak tahun 2002 lagi. Akan tetapi, ia telah ditangguhkan apabila TH sanggup memberi subsidi sebanyak kira-kira RM2,000 kepada seorang jemaah haji.

Sekarang dikatakan kos penginapan dan tambang telah meningkat lagi. Adakah TH mesti dibebankan lagi dengan menambah subsidi yang lebih banyak?

Dalam hal ini saya kira sudah sampai masanya kita berfikir dan bertindak secara realistik.

Sekiranya kos penginapan dan tambang itu telah meningkat, apa salahnya tambang mengerjakan haji itu dinaikkan. Tentu tidak wajar TH diminta menanggung subsidi demi subsidi sehingga menghakis keuntungannya.

Para penyimpan dalam TH tentu hendakkan sebanyak sedikit keuntungan dari pelaburan mereka, dan tidaklah wajar keuntungan yang sedikit itu dihabiskan untuk memberi subsidi sahaja.

Lagipun bukankah mengerjakan haji itu hanya wajib bagi mereka yang berkemampuan? Sekiranya belum mampu, mereka boleh menundanya ke masa hadapan.

Bagaimanapun, berdasarkan pengamatan, saya rasa majoriti rakyat Malaysia memang mampu mengerjakan haji dengan kos yang tinggi sedikit. Sekiranya simpanan mereka kurang sedikit, mereka umumnya boleh mendapat bantuan daripada anak-anak.

Lagi pun, kita sering terbaca bahawa setiap kali musim haji, majoriti jemaah haji dari Malaysia selalunya berbelanja sakan apabila mereka berada di Medinah dan Mekah. Pada masa itu tidak kelihatan jemaah haji dari Malaysia miskin dan daif!

Bagaimanapun, jika subsidi hendak diberikan juga, ia patutlah diberikan kepada orang-orang yang kurang berkemampuan saja, dan bukan kepada semua jemaah haji.

Ini mungkin lebih adil kepada jemaah haji dan juga kepada penyimpan tabung haji.

Wednesday, May 13, 2009

Berikan kuasa semula kepada rakyat

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr.Abdul Hamid Pawanteh dilaporkan berkata, keadaan politik di Perak telah sampai ke satu tahap yang memerlukan rakyat membuat pemilihan semula.

Pendapat beliau disokong oleh Tan Sri Abu Talib Othman, bekas Peguam Negara yang kini menjadi Pengerusi Suhakam.

Mengikut Abu Talib, "krisis politik di Perak tidak dapat diselesaikan melainkan kuasa diberikan semula kepada rakyat" (Utusan Malaysia, 13 Mei 2009).

Saya rasa ramai lagi orang-orang yang berfikiran rasional dan terbuka bersikap dan berpendapat demikian. Itulah saja jalan yang paling wajar untuk menyelesaikan krisis politik tersebut.

Akan tetapi, bolehkah pemimpin UMNO dan BN mempertimbangkan pendapat seperti itu?

Pendapat umum meyakini UMNO dan BN tidak berani menghadapi pilihan raya baru kerana tidak yakin boleh menang.

Betulkah begitu?

Jika betul demikian, bererti krisis politik Perak akan terus berlarutan.

Monday, May 11, 2009

Jalan penyelesaian krisis politik Perak

Tahniah kepada Datuk Mohammad Nizar, kerana mahkamah tinggi memutuskan bahawa beliau masih lagi merupakan MB Perak yang sah.

Walaupun keputusan ini dikatakan belum muktamad, kerana pihak yang kalah masih boleh mengemukakan rayuan ke mahkamah rayuan, tapi saya melihat keputusan mahkamah tinggi ini boleh membuka jalan untuk menyelesaikan krisis politik Perak.

Mohmamad Nizar boleh terus menjalankan tugasnya sebagai MB Perak sekiranya beliau mempunyai sokongan yang mencukupi dalam DUN. Sebaliknya, beliau boleh meminta Sultan untuk membubarkan DUN supaya satu pilihan raya baru boleh diadakan, sekiranya beliau tidak mempunyai sokongan yang mencukupi..

Walaupun ada kemungkinan Sultan Perak tidak memperkenankan permohonan beliau, tetapi setelah krisis politik Perak berlanjutan selama 3 bulan, saya kira Sultan tentu lebih tahu apa yang lebih wajar dilakukan oleh Baginda untuk menyelesaikan krisis politik tersebut.

Sebelum ini sudah banyak pihak yang memberi pendapat bahawa cara yang sebaik-baiknya untuk menyelesakan krisis politik Perak ialah dengan membubarkan DUN dan mengadakan pilihan raya baru, dan bukan melalui rampasan kuasa melalui pintu belakang.

Dengan membubarkan DUN, bermakna kita memberikan mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baru. Biarlah rakyat yang menentukan siapakah yang mereka mahu pilih sebagai pemerintah.

Kebetulan Najib, PM baru kita sudah berkali-kali melaungkan slogan baru bahawa "rakyat didahulukan.".

Maka sekarang sampailah masanya Najib mengkotakan slogan yang baru diperkenalkannya itu.