Monday, January 26, 2009

Tiada bahasa Cina, tiada kerja

Saya ingin merujuk tulisan Anak Melayu Ditindas, Bayan Lepas, Pulau Pinang, dalam ruangan Forum Utusan Malaysia, 27 Januari 2009, yang tajuknya seperti di atas.

Saya tidak tahu adakah apa yang diceritakan oleh penulis merupakan pengalaman peribadi beliau saja, ataupun merupakan pengalaman ramai orang Melayu di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, kalau saya tidak salah, hal itu memang sudah beberapa kali ditimbulkan oleh penulis lain sebelum ini. Jadi hal itu saya kira memang merupakan perkara yang umum, dan memang melibatkan ramai orang Melayu, bukan saja di Pulau Pinang, tetapi di tempat-tempat lain juga.

Namun, orang Melayu sebagai bangsa yang "penyabar" agaknya memang tidak mahu bising-bising dan tidak mahu menjadikan hal itu sebagai satu isu, walaupun isu perkauman dan diskriminasi ke atas orang Melayu itu sudah lama berlaku.

Parti politik Melayu dan NGO Melayu juga boleh dikatakan tidak pernah menimbulkan hal tersebut, walaupun saya kira mereka bukan tidak tahu tentang hal itu.

Adakah mereka menganggap syarikat-syarikat swasta itu "memang boleh" atau berhak menjalankan dasar seperti itu? Saya tidak tahu.

Bagaimanapun, sikap parti politik Melayu dan NGO Melayu itu seolah-olah membayangkan kita memang tidak mampu berbuat apa-apa untuk menangani hal tersebut.

Hal ini memang mengecewakan, tapi tentunya berkaitan dengan kedudukan bangsa Melayu yang lemah dari segi ekonomi. Orang Melayu bukan saja tidak banyak mempunyai syarikat besar, tapi orang Melayu juga tidak ramai yang memegang jawatan tinggi dalam syarikat antarabangsa yang terdapat di negara ini.

Dalam keadaan demikian, dalam sebuah masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia, dasar yang tidak adil bagi kaum yang lemah seperti orang Melayu, memang sukar untuk ditolak.

Apa yang mungkin boleh disarankan oleh sesetengah pihak ialah supaya orang Melayu masuk sekolah Cina dan belajar bahasa Cina. Dengan itu, mereka akan dapat memenuhi dasar syarikat yang memilih orang yang berpengetahuan bahasa Cina untuk mendapatkan pekerjaan di syarikat itu

Akan tetapi, saranan ini bukanlah saranan yang praktikal. Tentu tidak semua orang Melayu akan masuk belajar di sekolah Cina, dan saranan ini tidak selaras juga dengan dasar pendidikan kita yang mahu mengutamakan sekolah aliran kebangsaan.

Jadi agaknya memang tidak ada jalan mudah untuk mengatasi hal ini, selagi orang Melayu lemah dari segi ekonomi dan selagi orang Melayu tidak menguasai syarikat tempatan dan syarikat antarabangsa yang terdapat di negara ini.

Orang Melayu mungkin akan terus didiskriminasikan, dan agaknya mereka terus tidak mampu berbuat apa-apa.

Adakah pemimpin Melayu, khasnya pemimpin parti politik Melayu dan NGO Melayu, pernah memikirkan hal ini dan cuba mencari jalan yang lebih berkesan untuk mengatasinya? Saya tidak tahu.

Saturday, January 24, 2009

Perkataan Allah hanya untuk orang Islam?

Walaupun Bernad Dompok seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri, kalau tidak salah, beliau telah beberapa kali mengambil sikap yang berbeza daripada sikap dan pendirian kerajaan dalam beberapa isu tertentu. Cuma sikap beliau itu tidak dikomen oleh mana-mana pihak, dan seolah-olah dibiarkan sebagai angin lalu saja.

Dalam perkembangan terbaru, beliau mengambil sikap yang berbeza pula dengan pendirian atau keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN).KDN telah melarang Herald Catholic menggunakan perkataan Allah dalam edisi bahasa Malaysia, tetapi beliau telah merayu supaya KDN membenarkanya.

Dalam hal ini saya tertarik dengan hujah beliau bahawa tindakan KDN melarang perkataan Allah itu adalah terlalu tergesa-gesa, kerana katanya perkataan Allah itu digunakan "secara meluas sebagai merujuk kepada tuhan dalam bahasa Malaysia, bahasa Indonesia serta di dunia Arab" (Utusan Malaysia 24 Januari 2009).

Saya rasa hujah beliau itu ada kekuatannya. Adalah aneh sekali jika perkataan Allah itu dianggap seolah-olah sebagai hak monopoli orang Islam di Malaysia, sedangkan orang Islam di negara lain (di Indonesia dan dunia Arab) tidak pula melarang orang yang beragama lain ( di sini merujuk kepada orang yang beragama Kristian) menggunakannya.

Lagipun bukankah tuhan yang disembah oleh orang Kristian itu adalah tuhan yang sama dengan tuhan yang disembah oleh orang Islam?

Memang orang Islam hanya menganggap Islam sebagai agama yang benar dan agama Islam tidak sama dengan agama Kristian, tetapi pada hakikatnya orang Islam dan Kristian adalah menyembah tuhan yang sama, iaitu Allah.

Jadi bagaimana orang Islam di Malaysia hendak memonopoli penggunaan perkataan Allah?

Thursday, January 22, 2009

SPR hanya menjaring ikan kecil?

Dulu, selama berpuluh tahun BPR beroperasi, yang mampu dijaring oleh BPR umumnya ialah ikan kecil atau anak ikan. Hanya sesekali kita mendengar ikan besar masuk jaring, tapi setelah dibicarakan, banyak yang lepas pula.

Kini, pada peringkat awal SPR beroperasi, kita masih melihat pola yang sama: ikan bilis jualah yang terjaring. Kita belum tahu atau belum pasti, adakah ikan besar akan mampu dijaring oleh SPR dalam masa terdekat.

Jadi biarlah saya simpan dulu ucapan tahniah untuk SPR.

Sebenarnya, kalau SPR ingin menolong UMNO, saya kira ikan jerunglah yang patut dijadikan keutamaan untuk dijaring; bukan ikan kecil atau anak ikan.

Ini ada kaitannya dengan nilai masyarakat. Masyarakat akan melihat UMNO bersih, kalau pemimpin besar di atas kelihatan bersih. Dan SPR akan berjasa besar jika mampu membersihkan UMNO dari pemimpin yang tidak bersih.

Akan tetapi, kalau pemimpin besar di atas yang dilihat tidak bersih, apalagi yang sudah jadi pengetahun umum mempunyai rekod yang buruk, dibiarkan tanpa dijaring, imej UMNO sebagai parti tua yang banyak penyakit tidak akan berubah.

Dengan itu, UMNO bukan saja tidak ada daya penarik, malah akan mengekalkan daya penolak yang membuat rakyat menjauhinya!

Sunday, January 18, 2009

Siapa penyokong PAS?

Sebelum keputusan pilihan raya kecil Kuala Terengganu diketahui, banyak pemerhati politik yang agak berhati-hati meramalkan keputusan itu adalah 50-50. Ini berdasarkan andaian bahawa UMNO dan PAS mempunyai penyokong tegar masing-masing dan mempunyai kekuatan yang hampir sama.

Walaupun PAS menang dengan majoriti lebih dua ribu undi, saya kira kekuatan PAS dan UMNO yang hampir sama itu masih belum berubah. UMNO sebenarnya masih mempunyai penyokong yang besar. Sebab itulah calonnya masih boleh mendapat lebih 30 ribu undi.

Bagaimanapun, kelebihan PAS ialah ia bukan saja mendapat sokongan daripada penyokong tegarnya, tetapi juga daripada golongan berikut:

a) Golongan pengundi muda dan atas pagar
b) Golongan pengundi bukan Melayu
c) Sebahagian atau majoriti (?) warga pendidik.

Saya tidak tahu adakah ini gejala sementara, ataupun trend yang akan berterusan..

Akan tetapi, jika ia merupakan trend yang berterusan, ia mungkin satu petanda buruk buat UMNO.

Masa depan politik negara kita tentu banyak dipengaruhi oleh golongan pengundi muda dan pengundi bukan Melayu. Merekalah barangkali yang akan banyak mempengaruhi keputusan pilihan raya yang akan datang.

Jadi bolehkah kita meramalkan bahawa masa depan PAS akan semakin cerah, dan masa depan UMNO pula akan semakin malap?

Saturday, January 10, 2009

PAS dan DAP lebih pentingkan pengekalan kuasa?

Akhbar arus perdana, seperti Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia memang gemar menyiarkan kenyataan Karpal Singh, Penasihat DAP berkaitan dengan PAS (khasnya berkaitan dengan penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud yang mahu dilaksanakan oleh PAS).

Misalnya tidak lama dulu, dua tiga kali, pernah tersiar kenyataan Karpal Singh yang menyatakan PAS perlu melangkah mayatnya terlebih dahulu jika hendak menubuhkan negara Islam.

Dalam perkembangan terbaru, disiarkan pula penentangan Karpal Singh terhadap hukum hudud yang PAS mahu ia dilaksanakan, sekiranya Pakatan Rakyat dapat memerintah kerajaan Pusat.

Penyiaran berita seperti itu tentu ada tujuan tertentu, khasnya untuk menunjukkan pertentangan atau konflik antara PAS dengan DAP.

Maka dengan itu, dikatakanlah bahawa Pakatan Rakyat yang terwujud dari kerjasama PAS dengan DAP (dan PKR) itu, dan kini memerintah di lima negeri, adalah pakatan yang rapoh dan bila-bila masa saja akan hancur berkecai.

Bagaimanapun saya ingin melihat isu ini dari sudut lain.

PAS memang faham DAP tidak bersetuju ia menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hukum Islam (termasuk hudud). Dan juga, setakat ini, PAS memang tidak mampu mempengaruhi DAP supaya mengubah sikap dan pendiriannya itu.

Jadi PAS tidak dapat tidak tentu akan mengambil sikap yang lebih pragmatis, iaitu tidak akan membesar-besarkan isu hukum hudud itu, kecuali jika ia "dijolok" oleh akhbar arus perdana dan orang-orang UMNO.

Dengan berbuat demikian, kerjasama antara PAS dan DAP akan dapat diteruskan, dan dengan itu kuasa pemerintahan mereka di lima negeri itu juga akan dapat dikekalkan.

Akhbar arus perdana dan orang UMNO mungkin boleh membesar-besarkan pertentangan dan konflik antara PAS dan DAP mengenai isu hukum hudud itu.

Akan tetapi, bagi PAS dan DAP saya kira pengekalan kuasa mereka di lima negeri itu adalah lebih penting dipertahankan, dan dengan itu isu hukum hudud itu sebenarnya akan "tenggelam" juga tidak lama lagi.

Akhbar arus perdana dan orang UMNO saya kira tidak akan mendapat keuntungan apa-apa dengan menimhulkan dan membesar-besarkan isu hukum hudud itu, kerana rakyat tahu UMNO dan kerajaan BN memang tidak menunjukkan minat untuk melaksanakan hukum tersebut.

Rakyat juga tahu bahawa tujuan akhbar arus perdana dan orang UMNO menimbulkan dan membesar-besarkan isu hukum hudud itu hanyalah untuk melaga-lagakan PAS dengan DAP. Jika betul demikian, apakah kewajarannya rakyat bersimpati dan menyokong UMNO yang jelas tidak berminat dengan pelaksanaan hukum hudud itu?

Thursday, January 1, 2009

Hanya mengundi PAS dapat pahala?

PAS memang mempunyai beberapa kelebihan.Ia bernama parti Islam, dipimpin oleh ulama dan pemimpinnya pula selalu menyatakan bahawa dasar parti itu ialah Islam dan matlamat perjuangannya adalah untuk menegakkan Islam (menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hukum Islam, termasuklah hukum hudud).

Oleh itu, dengan menggunakan logik yang simpel saja, Nik Aziz , yang kebetulan seorang pemimpin yang karismatik dalam parti itu dengan mudah boleh mengatakan bahawa sesiapa yang mengundi atau menyokong PAS akan mendapat pahala.

Akan tetapi, benarkah siapa yang mengundi PAS saja yang akan mendapat pahala? Bagaimana dengan orang yang mengundi parti lain, seperti UMNO/BN, PKR dan DAP?

Saya rasa dengan menggunakan logik yang simpel juga, kita dengan mudah akan dapat mengatakan bahawa sesiapa yang mengundi parti lain daripada PAS pun akan mendapat pahala. Sebabnya?

Parti- parti yang lain pun sebenarnya berjuang untuk membuat kebaikan, kebajikan dan keadilan yang selaras dengan nilai dan tuntutan Islam, walaupun tidak secara khusus mengatakan untuk "menegakkan Islam". Jadi perjuangan mereka juga adalah perjuangan yang dituntut oleh Islam, dan sesiapa yang mengundi parti-parti itu juga akan mendapat pahala.

Kalau tidak salah, satu masa dahulu, ulama-ulama di Indonesia ada mengeluarkan semacam fatwa bahawa menyertai pilihan raya dengan tujuan untuk memilih kerajaan yang baik, adil dan bertanggungjawab adalah satu kewajipan yang dianggap sebagai fardu kifayah.

Oleh yang demikian, jika kita bersetuju dengan fatwa ini, sesiapa yang mengundi dalam pilihan raya -- tidak semestinya mengundi PAS -- juga akan mendapat pahala, jika ia mengundi kerana Allah.Wallahualam.