Tuesday, August 11, 2009

Isu arak di Selangor: tak payahlah jadi orang munafik

Di bawah pemerintahan BN selama lebih setengah abad, arak telah dijual secara terbuka, sama ada di kawasan majoriti Melayu atau bukan Melayu. Hampir tidak ada bantahan tentang hal tersebut, khasnya daripada orang UMNO.

Di Kelantan yang diperintah oleh PAS, sebuah parti Islam pula, penjualan arak tidak diharamkan, walaupun Kelantan dan ibu negerinya Kota Baharu ialah negeri Melayu dan bandar Melayu. Hanya barangkali arak tidak boleh dijual di negeri itu secara terbuka.

Bagi saya, penjualan arak yang telah berlaku sekian lama, sama ada di kawasan majoriti Melayu atau bukan Melayu, sudah menjadi hal yang biasa, dan kerana itu tidak perlu dipermasalahkan.

Dalam sebuah negara berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia, kita anggaplah hal itu sebagai perkara yang sewajarnya saja.

Ia tidak perlu dikaitkan dengan perundangan Islam yang kebetulan belum dilaksanakan. Dan Malaysia pun bukan "negara Islam". Jadi saya kira tidak timbul ia menghina Islam atau tidak. Itu bukan isu.

Lagipun, kebanyakan pembeli dan peminum arak di negara kita saya kira ialah orang bukan Islam. Tidak perlulah kita sekat dan susahkan mereka untuk mendapatkannya.

Bagi kita orang Islam, yang perlu diutamakan adalah mendidik umat Islam supaya tidak membeli dan meminum arak. Orang-orang Islam yang mendapat pendidikan yang baik, dijangka tidak akan tertarik untuk membeli arak, walaupun arak dijual di depan mata mereka.

Jadi, dalam hubungan ini, saya tidak melihat kewajarannya kita mempersoalkan keputusan kerajaan Selangor membenarkan penjualan arak di Selangor, termasuk di Shah Alam yang dianggap sebagai kawasan majoriti Melayu.

Bagi saya, orang-orang UMNO yang selama ini tidak pernah bersuara tentang penjualan arak, tetapi tiba-tiba sekarang bertempik mempersoalkan dasar kerajaan Selangor itu mungkin boleh dianggap sebagai orang-orang yang munafik.

Mereka jelas bertindak untuk kepentingan politik dan mungkin untuk mendapat sedikit keuntungan politik.

Memang mereka boleh mendakwa bahawa mereka ikut memperjuangkan Islam. Tapi saya ragu jika itu hanya dakwaan orang-orang munafik.

1 comment:

small tiger said...

SAYA SANGAT BERSETUJU DENGAN PENDAPAT TUAN, PERKARA INI TELAH JELAS SEKALI..MENGAPA ORG POLITIK SANGAT TIDAK BIJAK ATAU MEREKA INGAT RAKYAT BOLEH DIPERBODOHKAN DENGAN MUDAH..ISU-ISU YANG DIBANGKITKAN DI SEMUA NEGERI YANG DIPERINTAH OLEH PEMBANGKANG ADALAH KESEMUANYA HASIL TINGGALAN PEMERINTAHAN TERDAHULU..CUBA FIKIRKAN..SAYA TIDAK MEMIHAK KEPADA MANA-MANA PARTI TETAPI SAYA MELIHAT MEREKA INI SEPERTI MENGANGGAP RAKYAT BODOH DAN TIDAK BERPELAJARAN...