Tuesday, September 1, 2009

Masalah perkauman bukan masalah kami

Saya tinggal di sebuah taman perumahan kecil (di sebuah bandar kecil) yang hanya mengandungi 48 buah rumah. Orang Melayu/Islam merupakan golongan minoriti di taman ini, kerana jumlah kami kurang daripada satu pertiga.

Perhubungan saya dengan jiran Tionghoa terdekat baik, walaupun tidak rapat. Kami bertegur sapa bila bertemu, dan saling berkunjung pada Hari Raya dan Tahun Baru Cina. Waktu pagi kadang-kadang kami beriringan apabila kami keluar berjogging di kawasan perumahan kami.

Sebagai taman kecil, taman tempat saya tinggal tidak mempunyai masjid atau surau. Untuk sembahyang berjemaah dan sebagainya saya terpaksa ke taman sebelah, kira-kira lima minit berjalan kaki dari rumah saya. Di taman sebelah itu ada surau yang agak besar, walaupun penduduk Melayu di taman itu merupakan golongan minoriti yang lebih kecil -- tidak sampai satu perempat. Majoriti penduduknya ialah orang Tionghoa juga.

Di taman sebelah itu ada deretan kedai runcit, kedai tayar, kedai komputer, restoran dll yang semuanya dimiliki dan dikendalikan oleh orang Tionghoa. Jika tidak ke pasar raya, ke taman sebelah itulah saya membeli barang-barang keperluan sehari-hari.

Saya sudah kenal biasa dengan dua orang taukeh kedai runcit dan taukeh kedai komputer di taman perumahan sebelah itu. Perhubungan kami juga baik, walaupun tidak rapat; maknanya hubungan antara pembeli dan penjual yang saling memerlukan.

Jika sesekali peti sejuk atau TV saya rosak, yang saya akan hubungi untuk membetulkannya ialah orang Tionghoa juga, yang sudah saya kenali sejak lama.

Jadi saya sebenarnya sudah lama "hidup bersama" dengan orang bukan Melayu atau bukan Islam dalam keadaan aman dan harmoni, walaupun tidak rapat dan terlalu mesra. Tidak ada isu, masalah atau konflik perkauman yang mengganggu kehidupan kami sehari-hari.

Malah perlu saya tegaskan di sini surau tempat saya beribadat terletak di taman perumahan yang majoriti penduduknya ialah orang Tionghoa. Mereka tidak mempermasalahkan mengapa surau itu di bina di sebuah taman yang majoriti penduduknya orang bukan Melayu/Islam.

Hanya apabila saya baca surat khabar, baru saya perasan rupanya sekarang dikatakan semangat perkauman semakin meningkat, polarisasi ras semakin meningkat, orang bukan Melayu mengungkit perkara yang telah diputuskan dalam kontrak sosial, orang bukan Melayu menghina raja-raja Melayu, orang bukan Melayu hendak merampas kuasa politik orang Melayu dan sebagainya.

Apa yang dipaparkan oleh akhbar itu sebahagiannya mungkin ada benarnya Akan tetapi, besar juga kemungkinannya sebahagian daripada isu yang dibesar-besarkan itu bukan isu real dan berasas, tapi isu remeh dan terpencil yang dibesar-besarkan oleh orang politik dan parti-parti politik tertentu dengan tujuan tertentu.

Dengan perkataan lain, isu perkauman yang menggerunkan itu timbul terutamanya kerana permainan orang politik dan parti politik saja, iaitu orang politik dan tokoh politik yang memang mengamalkan politik perkauman, dan mahu mengekalkan pengaruh dan kedudukan mereka dalam politik dengan bergantung kepada isu-isu perkauman.

Rakyat biasa seperti saya sebenarnya boleh hidup bersama dalam keadaan aman dan harmoni. Masalah perkauman itu bukan masalah kami, tapi masalah orang politik dan parti politik.

Jadi alangkah bagusnya jika kehidupan rakyat yang aman damai dan harmoni ini tidak dikocakkan oleh isu-isu perkauman (dan agama) yang sebahagiannya mungkin tidak perlu ditimbulkan, dan sebahagiannya mungkin merupakan isu tidak real yang sengaja diada-adakan.

1 comment:

Ajun said...

Salam Tuan.

Memang masalah perkauman bukan masalah tuan kerana tuan duduk di bawah tempurung. Tinggal di kwsn tmn perumahan yg mempunyai 48 unit rumah shj?

Cuba bandingkan dgn minoriti yg tinggal di kwsn yg mempunyai 480 unit rumah. Buat tempat beribadat dan beribadatlah. Mustahil tdk ada kafir yg memendam rasa.

Apa yg tuan cerita memang elok belaka. Saya pun pernah laluinya namun lama kelamaan jln cerita mula berubah..

Jadi, tak payahlah nak auta lebih2 yg penduduk komunis tempat tuan tu baik2 belaka!!