Tuesday, September 29, 2009

Pemilihan Isa membayangkan dilema UMNO?

Di samping orang yang bersetuju, tentu ada orang yang tidak bersetuju Isa Samad dipilih menjadi calon BN dalam PRK Bagan Pinang.

Bagaimanapun, sama ada pemilihan Isa Samad itu tepat atau tidak, saya kira ia menggambarkan sedikit banyak dilema yang sedang dihadapi oleh UMNO sekarang.

Sesetengah pemimpin dan ahli UMNO mungkin mahu orang lain menjadi calon BN. Akan tetapi, pucuk pimpinan UMNO terpaksa memilih Isa, kerana mematuhi kehendak UMNO tempatan dan mungkin kehendak penduduk tempatan juga .

Sekiranya Isa tidak dipilih sebagai calon, orang-orang UMNO di kawasan itu dikatakan mahu memboikot pilihan raya tersebut.

Sesetengah pemimpin dan ahli UMNO, termasuk Tun Mahathir, tidak bersetuju Isa dipilih sebagai calon kerana Isa pernah terlibat dengan kes rasuah (politik wang)

Memilih Isa sebagai calon sebenarnya membayangkan UMNO tidak serius dalam usaha membanteras politik wang, dan ini memberi peluang kepada pihak pembangkang untuk mempertikaikan kewibawaan calon BN.

Namun, kita semua tahu kemampuan UMNO dalam membanteras politik wang ini sememangnya terhad, kerana politik wang itu sudah jadi "budaya UMNO" dan dengan itu "tidak dianggap salah" oleh sesetengah ahli dan pemimpin UMNO.

Pada masa yang sama, kita boleh melihat bahawa pucuk pimpinan UMNO juga mungkin tidak mempunyai keberanian yang cukup untuk mengambil tindakan terhadap sesetengah "tokoh" UMNO.

Kita lihat saja calon Timbalan Presiden yang dikatakan terlibat dengan politik wang, tapi sampai kini tidak ada apa-apa tindakan yang diambil terhadapnya. Begitu juga Ketua Pemuda UMNO yang dikatakan terlibat dengan politik wang. Tapi apakah tindakan yang telah diambil terhadapnya?

Jadi dalam hal ini, pucuk pimpinan UMNO agaknya terpaksa juga berkompromi memilih Isa, walaupun Isa adalah tokoh UMNO yang pernah dihukum kerana terlibat dengan rasuah.

Bagi saya semua ini adalah dilema UMNO, yang membayangkan UMNO belum berubah dan sukar berubah.

Adakah UMNO mahu rakyat yang mengubah UMNO , dan bukan UMNO sendiri yang membuat perubahan tersebut?

Friday, September 4, 2009

Mengapa begitu Khir?

Saya tidak tahu sama ada laporan dalam Utusan Malaysia hari ini, 5 September 2009, yang bertajuk "RM1 juta pindahkan kuil ke Seksyen 18 Shah Alam" betul atau tidak.

Laporan itu memuatkan kenyataan Khir Toyo, bekas MB Selangor yang menafikan kerajaan BN pimpinan beliau tidak berbuat apa-apa untuk memindahkan kuil Hindu dari Seksyen 19, Shah Alam.

Mengikut Khir kerajaan Selangor merancang untuk memindahkan kuil itu ke Seksyen 18 dan dengan itu telah membelanjakan hampir RM1 juta untuk pembinaan infrastruktur seperti jalan raya, lampu, serta kemudahan elektrik di tanah seluas 0.6 hektar di Pesiaran Raja Muda Seksyen 18.

Akan tetapi, seperti yang dinyatakan oleh beliau, pembinaan projek yang menelan hampir RM1 juta itu dilakukan ketika pemindahan kuil itu masih lagi di peringkat perbincangan.

Kenyataan beliau ini, kalau benar, memang agak aneh. Mengapa pembinaan itu dilakukan ketika pemindahan kuil itu masih di peringkat perbincangan?

Kalau masih dalam peringkat perbincangan, pihak pengurusan kuil mungkin belum bersetuju, atau tidak bersetuju kuil itu dipindahkan ke kawasan itu. Jadi apa akan jadi jika mereka tidak bersetuju?

Mengapa pembinaan projek yang kosnya begitu besar dilakukan dengan begitu cepat? Adakah kerana kroni Khir sudah tidak sabar untuk mendapat habuan dari pembinaan projek tersebut?

Kenyataan Khir ini agaknya hanya menunjukkan perancangan kerajaan yang lemah di samping kerakusan para kroni beliau untuk menikmati wang rakyat yang begitu besar.

Ini hanya satu contoh kelemahan dan mungkin penyalahgunaan wang rakyat ketika beliau mentadbir negeri Selangor.

Tuesday, September 1, 2009

Masalah perkauman bukan masalah kami

Saya tinggal di sebuah taman perumahan kecil (di sebuah bandar kecil) yang hanya mengandungi 48 buah rumah. Orang Melayu/Islam merupakan golongan minoriti di taman ini, kerana jumlah kami kurang daripada satu pertiga.

Perhubungan saya dengan jiran Tionghoa terdekat baik, walaupun tidak rapat. Kami bertegur sapa bila bertemu, dan saling berkunjung pada Hari Raya dan Tahun Baru Cina. Waktu pagi kadang-kadang kami beriringan apabila kami keluar berjogging di kawasan perumahan kami.

Sebagai taman kecil, taman tempat saya tinggal tidak mempunyai masjid atau surau. Untuk sembahyang berjemaah dan sebagainya saya terpaksa ke taman sebelah, kira-kira lima minit berjalan kaki dari rumah saya. Di taman sebelah itu ada surau yang agak besar, walaupun penduduk Melayu di taman itu merupakan golongan minoriti yang lebih kecil -- tidak sampai satu perempat. Majoriti penduduknya ialah orang Tionghoa juga.

Di taman sebelah itu ada deretan kedai runcit, kedai tayar, kedai komputer, restoran dll yang semuanya dimiliki dan dikendalikan oleh orang Tionghoa. Jika tidak ke pasar raya, ke taman sebelah itulah saya membeli barang-barang keperluan sehari-hari.

Saya sudah kenal biasa dengan dua orang taukeh kedai runcit dan taukeh kedai komputer di taman perumahan sebelah itu. Perhubungan kami juga baik, walaupun tidak rapat; maknanya hubungan antara pembeli dan penjual yang saling memerlukan.

Jika sesekali peti sejuk atau TV saya rosak, yang saya akan hubungi untuk membetulkannya ialah orang Tionghoa juga, yang sudah saya kenali sejak lama.

Jadi saya sebenarnya sudah lama "hidup bersama" dengan orang bukan Melayu atau bukan Islam dalam keadaan aman dan harmoni, walaupun tidak rapat dan terlalu mesra. Tidak ada isu, masalah atau konflik perkauman yang mengganggu kehidupan kami sehari-hari.

Malah perlu saya tegaskan di sini surau tempat saya beribadat terletak di taman perumahan yang majoriti penduduknya ialah orang Tionghoa. Mereka tidak mempermasalahkan mengapa surau itu di bina di sebuah taman yang majoriti penduduknya orang bukan Melayu/Islam.

Hanya apabila saya baca surat khabar, baru saya perasan rupanya sekarang dikatakan semangat perkauman semakin meningkat, polarisasi ras semakin meningkat, orang bukan Melayu mengungkit perkara yang telah diputuskan dalam kontrak sosial, orang bukan Melayu menghina raja-raja Melayu, orang bukan Melayu hendak merampas kuasa politik orang Melayu dan sebagainya.

Apa yang dipaparkan oleh akhbar itu sebahagiannya mungkin ada benarnya Akan tetapi, besar juga kemungkinannya sebahagian daripada isu yang dibesar-besarkan itu bukan isu real dan berasas, tapi isu remeh dan terpencil yang dibesar-besarkan oleh orang politik dan parti-parti politik tertentu dengan tujuan tertentu.

Dengan perkataan lain, isu perkauman yang menggerunkan itu timbul terutamanya kerana permainan orang politik dan parti politik saja, iaitu orang politik dan tokoh politik yang memang mengamalkan politik perkauman, dan mahu mengekalkan pengaruh dan kedudukan mereka dalam politik dengan bergantung kepada isu-isu perkauman.

Rakyat biasa seperti saya sebenarnya boleh hidup bersama dalam keadaan aman dan harmoni. Masalah perkauman itu bukan masalah kami, tapi masalah orang politik dan parti politik.

Jadi alangkah bagusnya jika kehidupan rakyat yang aman damai dan harmoni ini tidak dikocakkan oleh isu-isu perkauman (dan agama) yang sebahagiannya mungkin tidak perlu ditimbulkan, dan sebahagiannya mungkin merupakan isu tidak real yang sengaja diada-adakan.