Wednesday, November 30, 2011

Orang muda juga ingin jadi calon

Memang sudah sepatutnya UMNO/BN meletakkan calon yang boleh menang di se suatu kawasan dalam pilihan raya yang akan datang.

Akan tetapi, calon yang boleh menang itu sepatutnya bukan bekas wakil rakyat yang sudah terlalu lama jadi ADUN atau MP -- yang sudah empat penggal atau lebih memegang jawatan di sesuatu kawasan.

Wakil rakyat lama itu mungkin masih ada yang popular dan ada harapan menang jika dicalonkan sekali lagi.

Akan tetapi, saya kira inilah satu faktor yang menyebabkan orang muda tidak boleh bersabar, dan tidak akan memberi kerjasama jika wakil rakyat yang sudah terlalu lama itu dicalonkan semula.

Dalam hal ini, parti memang perlu diutamakan sebagaimana yang diminta oleh pucuk pimpinan, dan setiap ahli UMNO perlu menyokong siapa saja yang diletakkan oleh parti sebagai calon.

Akan tetapi, keperluan orang muda perlu juga diberi perhatian.Tak kan orang muda perlu menongkat langit, baru ada peluang jadi calon!

Tuesday, November 29, 2011

Mengalah sehingga kehilangan kuasa?

Mungkin benar salah satu faktor yang memungkinkan negara ini aman, dan dengan itu sentiasa bergerak maju ke hadapan, adalah kerana bangsa Melayu memilih "berkongsi kuasa" dengan bangsa lain untuk memerintah negara ini.

Bangsa Melayu dikatakan berpeluang memerintah tanpa berkongsi kuasa dengan bangsa lain ketika baru merdeka dahulu, sekiranya ia mahu berbuat demikian.

Namun, ketika itu pemimpin Melayu yang berpanjangan jauh dan bersikap rasional tidak mengambil langkah yang demikian.

Walaupun bangsa Melayu merupakan golongan majoriti, mereka tidak mengenepikan bangsa lain yang merupakan golongan minoriti.

Akan tetapi, ada satu fakta yang barangkali tidak harus kita lupakan bahawa dalam berkongsi kuasa itu bangsa Melayulah yang selalu mengalah dan banyak mengalah.

Banyak hak dan keistimewaan bangsa Melayu yang dikorbankan dari masa ke masa untuk memuaskan hati bangsa lain yang tidak pernah pula mahu mengalah.

Saya kira sikap dan tindakan mengalah bangsa Melayu ini juga merupakan satu faktor lagi, mungkin faktor yang lebih penting , yang menyebabkan negara ini sentiasa aman dan dilihat "bersatu padu".

Sikap mengalah bangsa Melayu ini berterusan sehingga kini. Kini bangsa Melayu terus mengalah dan memberi apa yang diminta oleh bangsa lain, kerana dalam berkongsi kuasa itu bangsa Melayu pula yang memerlukan undi dan sokongan bangsa lain.

Adakah bangsa Melayu akan terus mengalah dan terus mengalah sehingga kehilangan kuasa?

Friday, November 18, 2011

Harussani dan Perpaduan Melayu

Saya tertarik dengan kenyataan Harussani bahawa beliau masih tetap memperjuangkan perpaduan Melayu, khasnya kerjasama antara UMNO dengan PAS.

Saya ingin mempercayai orang Melayu akan bersatu juga pada satu masa nanti, tapi bukan sekarang atau dalam jangka masa terdekat.

Sekarang orang Melayu tidak akan bersatu, kerana syarat atau keadaan yang perlu dan cukup, yang boleh mendorong mereka bersatu tidak ada atau tidak cukup kuat.

Akan tetapi, saya juga tidak melihat kemungkinan orang Melayu akan bersatu dengan bangsa lain, walaupun seratus atau dua ratus tahun lagi.

Sudah lebih setengah abad orang Melayu berkongsi kuasa memerintah negara ini bersama orang Cina dan India melalui Perikatan/BN. Akan tetapi, perpaduan yang tulin atau perpaduan yang sebenar tidak wujud. Yang wujud sekarang hanyalah perpaduan palsu.

Gabungan PAS dengan PKR dan DAP yang dikatakan "politik baru" melalui Pakatan Rakyat juga saya kira tidak akan membawa kepada perpaduan rakyat Malaysia, kecuali perpaduan palsu juga.

Sebenarnya kewujudan bangsa Melayu, Cina dan India yang menganut agama yang berbeza adalah sesuatu yang bersifat semula jadi. Setiap bangsa mahu mengekalkan identiti masing-masing dan mahu memperjuangkan kepentingan masing-masing. Tidak terlihat kemungkinan mereka akan menjadi satu bangsa yang boleh disebut bangsa Melaysia, kecuali dalam Perlembagaan atau di atas kertas sahaja.

Walaupun sekarang Najib cuba memperkenalkan konsep "Satu Malaysia", tapi saya tidak yakin ia akan menjadi realiti, dan pada akhirnya akan tinggal sebagai slogan sahaja.

Mungkin apabila persaingan dan konflik perkauman sudah sampai ke kemuncaknya, dan perpecahan sudah tidak dapat dibendung lagi, orang Melayu akan kembali menjadi bangsa yang bersatu dan memisahkan diri daripada bangsa lain, walaupun terpaksa hidup bersama di negara ini.

Saturday, November 5, 2011

Berdemonstrasi kerana orang Melayu lemah?

Nampaknya kini apabila timbul sesuatu isu, walaupun ada yang kelihatan remeh dan tidak penting, yang sibuk berdemonstrasi dan membuat laporan polis ialah orang Melayu, khasnya NGO Melayu yang pro-UMNO.

Mengapa begitu?

Adakah kerana orang Melayu kini telah merasa begitu tercabar dan terdesak oleh tindak-tanduk orang bukan Melayu, yang mereka dakwa hendak mencabar kedaulatan raja-raja Melayu, hendak memurtadkan orang Melayu, hendak meminda Perlembagaan Negara dan lain-lain lagi?

Jika benar demikian, bolehkah diandaikan, bahawa mereka mengadakan demonstrasi dan membuat laporan polis itu adalah untuk menunjukkan mereka masih kuat dan berkuasa, walaupun mereka sedar orang Melahyu kini sebenarnya telah lemah, khasnya yang membimbangkan orang Melayu, dari segi politik?

Sekiranya andaian ini benar, maka tindakan orang Melayu berdemonstrasi dan membuat laporan polis itu nampaknya hanyalah perbuatan yang menipu diri sendiri.

Mereka tidak boleh menafikan kelemahan orang Melayu dan tidak boleh juga mengembalikan kekuatan orang Melayu dengan cara tersebut.

Pada hakikatnya tindakan mereka berdemonstrasi dan membuat laporan polis yang tidak habis-habis itu hanya menunjukkan kelemahan orang Melayu, dan pada akhirnya mungkin akan diketawakan orang saja.