Friday, February 27, 2009

Perlukah penggunaan perkataan Allah jadi perbalahan?

Fakta sejarah menunjukkan perkataan "Allah" sudah pun digunakan oleh orang Kristian sebelum lahirnya Islam, oleh sebab agama Kristian memang "lahir" lebih dahulu daripada agama Islam.

Di kawasan Timur Tengah kini perkataan Allah sudah lama digunakan oleh orang-orang Kristian. Begitu juga di Indonesia.

Lagipun, kalau tidak salah ramai juga orang Arab di negara-negara Timur Tengah yang beragama Kristian. Oleh kerana Allah ialah perkataan Arab, tentu wajar-wajar saja jika orang Arab yang beragama Kristian menggunakan perkataan tersebut.

Bagaimanapun di Malaysia., entah bagaimana, beberapa tahun yang lalu Majlis Fatwa Kebangsaan telah mengeluarkan fatwa bahawa perkataan Allah hanya boleh digunakan oleh orang Islam (di Malaysia tentunya), dan tidak boleh digunakan oleh orang yang beragama lain.

Majlis Fatwa mungkin merasakan mereka ada alasan dan hujah yang kukuh untuk mengeluarkan fakwa tersebut. Akan tetapi, setelah beberapa tahun berlalu, nampaknya fatwa yang tidak realistik itu tidak dapat dipertahankan oleh pihak yang berkuasa (kerajaan)

KDN, melalui perintah bertarikh 21 Januari 2009 yang diwartakan pada 16 Februari 2009 . menyatakan (antara lain) perkataan Allah itu boleh gunakan dalam penerbitan yang berkaitan dengan agama Kristian, asalkan di muka hadapan penerbitan atau dokumen itu dinyatakan "Khusus Untuk Penganut Agama Kristian."

Sebagaimana biasa, akhbar Utusan Malaysia yang selalu memainkan peranan sebagai provokator akan meminta ulasan tokoh-tokoh agama Islam tentang hal itu, dan sebagaimana biasa juga salah seorang daripada mereka ialah Mufti Perak.

Maka Utusan Malaysia 28 Februari 2009 menyiarkan pendapat atau ulasan tiga orang tokoh, iaitu Zainul Rijal, Presiden Peguam Syarie Malaysia, Shabudin Yahaya Yang Dipetua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, dan Harussnai Mufti Perak.

Mereka bertiga memang ada hujah dan alasan mengapa mereka tidak bersetuju pihak kerajaan membenarkan penggunaan perkataan Allah dalam penerbitan yang berkaitan dengan agama Kristian.

Akan tetapi, saya rasa hujah dan alasan mereka lebih merupakan hujah dan alasan orang yang lemah dan penakut, yang selalu melihat bahaya dan ancaman (terhadap Islam) di mana-mana.

Hujah dan alasan mereka tidak menggambarkan bahawa Islam ialah agama yang benar dan "tinggi" sebagaimana yang selalu mereka dakwa.

Kalau mereka percaya Islam ialah agama yang benar dan tinggi, yang tidak sama dengan agama lain, adakah penggunaan perkataan Allah oleh orang Kristian harus dipersoalkan dan diperbalahkan?

Biarlah orang Kristian dengan agama mereka, dan biarlah orang Kristian menggunakan perkataan Allah sebagaimana kita menggunakannya. Apakah yang perlu kita takuti?

Thursday, February 26, 2009

Khir Toyo "Kepanasan"?

Khir Toyo "kepanasan"? Saya tidak tahu. Mungkin ia, mungkin tidak.

Akan tetapi, setelah hampir setahun Khir Toyo mengkritik, menghentam dan cuba membongkar "kesalahan" dan "penyelewengan" Khalid Ibrahim, kini giliran Khalid Ibrahim pula membongkar "kesalahan" dan "penyelewangan" Khir Toyo (lihat akhbar Sinar hari ini, 27 Februari 2009).

Saya tentu tidak pasti sama ada "penyelewengan" Khir Toyo yang dibongkar oleh Khalid Ibrahim itu ada asas atau tidak. Itu biarlah pihak yang berkuasa yang menyiasatnya dan menentukan kesahihannya.

Bagaimanapun, kita semua tahu, semasa Khir Toyo berkuasa sebagai MB Selangor dahulu dia seolah-olah seorang yang "kebal". Banyak laporan polis dibuat terhadapnya tentang apa yang dikatakan sebagai "rasuah" yang dilakukannya, tetapi semua laporan itu agaknya telah dibakulsampahkan oleh BPR.

Sekarang Khir Toyo hanya "ketua pembangkang"' bukan lagi seorang MB yang sangat berkuasa. Adakah SPRM akan melakukan penyiasatan terhadapnya? Kita barangkali kena tunggu dan lihat.

Bagaimanapun, ini agaknya satu ujian terhadap kredibiliti SPRM. Jika SPRM boleh bertindak pantas -- melakukan penyiasatan -- terhadap Khalid Ibrahim, mengapa tidak boleh melakukan penyiasatan yang pantas juga terhadap Khir Toyo?

Khir Toyo tentu tidak bersalah, jika tidak ada bukti dia bersalah. Jadi biarlah pihak yang berkuasa yang menentukan kesahihan "tuduhan"(?) terhadapnya.

Bagaimanapun, dalam hal ini, mungkin baik juga jika kita mengingatkan kembali satu "prinsip" umum dalam hidup bermasyarakat, iaitu " Jika kita suka mencari kesalahan orang, orang pun akan mencari kesalahan kita".

Saya kira prinsip umum itu telah berlaku kepada Khir Toyo.

Khir Toyo hanya manusia biasa; bukan maksum, dan bukan malaikat. Dia tentu tidak akan sunyi daripada melakukan kesilapan.

Mungkinkah dia akan sedar dan insaf selepas ini?

Wednesday, February 25, 2009

Menunggu tindakan Khalid

Sultan Selangor telah menyerahkan kepada Khalid Ibrahim, MB Selangor untuk menentukan kedudukan Elizabeth Wong. Pendirian yang baginda ambil saya rasa adalah tepat dan wajar.

Setakat ini kita tidak tahu apakah keputusan yang akan diambil oleh Khalid.

Akan tetapi, saya kira Khalid tentunya akan mengambil kira pendirian pengundi dan penduduk Bukit Lanjan yang mahu Elizabeth Wong dikekalkan.

Nampaknya bagi pengundi dan penduduk Bukit Lanjan, Elizabeth Wong tidak bersalah. Yang bersalah ialah orang yang mengambil dan menyebarkan gambarnya.

Khusus bagi pengundi bukan Melayu agaknya kehidupan peribadi Elizabeth Wong tidak perlu dijadikan isu.

Yang penting bagi mereka ialah prestasi Elizabeth Wong sebagai ADUN dan EXCO. Mereka nampaknya berpuas hati dengan prestasi Elizabeth Wong.

Sikap dan pendirian orang bukan Melayu agaknya berbeza dengan sikap dan pendirian orang Melayu (khasnya orang UMNO) yang nampaknya hendak membesar-besarkan soal dan isu moral.

Tapi dalam keadaan tertentu orang Melayu (khasnya orang UMNO) tak kisah pun dengan skandal pemimpin UMNO sendiri. Misalnya kes seorang pemimpin wanita UMNO yang dilantik semula sebagai senator, walaupun isu skandalnya sudah jadi pengetahuan unum.

Jadi orang yang membesar-besarkan isu moral ini pun mungkin sebahagiannya bersikap double standard, hipokrit dan munafik!

Sunday, February 22, 2009

Ibrahim tidak mengenang budi?

Ibrahim Ali ialah tokoh politik yang telah "dibuang" oleh UMNO. Ia pernah bertanding sebagai calon bebas, tetapi kalah.

Kerana keunikan politik Kelantan, pada tahun 2008, Ibrahim telah diberi peluang oleh PAS bertanding di Pasir Mas atas "tiket PAS", walaupun dia bukan ahli PAS.

Saya kira PAS bukan tidak ada calon yang layak untuk diletakkan di Pasir Mas. Oleh itu, tindakan PAS memberi peluang kepada Ibrahim bertanding di situ boleh dianggap sebagai satu "pengorbanan" juga, walaupun barangkali PAS ada motif tertentu.

Walaupun saya tidak pasti apa motif PAS memberi peluang Ibrahim bertanding di kawasan Parlimen Pasir Mas, akan tetapi saya kira PAS tentu mengharapkan Ibrahim akan memainkan peranan yang lebih menguntungkan PAS dan pembangkang selepas dia menang.

Harapan PAS tentu wajar-wajar saja. Jika kita telah berbudi, apatah lagi dalam politik, tentu kita mengharapkan orang akan membalas budi kita.

Akan tetapi, apakah yang telah dilakukan oleh Ibrahim? Setakat ini agaknya tidak ada atau kurang sekali peranan yang dimainkan oleh Ibrahim yang boleh dianggap sebagai "menguntungkan" PAS dan pembangkang.

Ibrahim berlagak sebagai hero yang banyak membelasah pemimpin pembangkang ketika berucap di Parlimen. Dalam politik, ini bukan sikap seorang "kawan" yang setia. Ini sikap seorang yang tidak setia, tidak mengenang budi dan hanya menguntungkan musuh!.

Oleh itu, saya kira memang wajar jika PAS meminta Ibrahim meletakkan jawatannya. PAS tidak melihat Irahim mengenang budi yang telah mereka berikan.

Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak akan meletakkan jawatannya, kecuali jika para pengundi di Pasir Mas meminta dia berbuat demikian. Ini pun agaknya wajar saja, kerana memang tidak ada mana-mana tokoh politik yang mahu kehilangan kerusi empuk itu dengan mudah. Lagi pun, jika Ibrahim meletakkan jawatannya, dia tidak boleh bertanding semula dalam tempoh yang agak lama.

Bagaimanapun, selapas ini PAS tentu akan terus mendesak supaya Ibrahim melepaskan jawatannya. Dan kita lihatlah apa keputusannya.

Namun, saya agak pasti Ibrahim telah melakukan kesilapan dalam sepak terajang politiknya, walaupun dia mungkin boleh bertahan dan tidak akan kehilangan jawatannya.

Pada masa yang sama kita lihat orang UMNO pun sudah pun tumpang memangkok dengan mendesak Ibrahim supaya tidak melepaskan jawatannya. Malah Pemuda UMNO Pasir Mas pun sudah meminta UMNO menerima Ibrahim semula sebagai ahli UMNO.

Ini agaknya bukti peranan Ibrahim setakat ini telah menguntungkan UMNO dan tidak menguntungkan PAS dan pembangkang.

Ibrahim barangkali tidak akan hilang jawatannya. Tapi malang sekali dia mungkin telah dan akan kehilangan penghormatan dari PAS dan para penyokongnya yang dahulu "menolongnya", yang jumlahnya tentu besar juga.

Friday, February 20, 2009

Pendapat seorang ulama politik

Menarik juga membaca komen Nik Aziz, Mursyidul Am PAS mengenai isu gambar bogel Elizabeth Wong.

Kata Nik Aziz, sebagaimana yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia 21 Feb 2009, "... tindakan Elizabeth berbogel dalaam rumahnya tidak salah kerana Islam membenarkan umatnya membuka aurat ketika seorang diri."

"Dia tidak salah, yang salah orang lain, dia hendak tidur telanjang di rumah dia, itu dia punya pasal."

"Islam beri kepada manusia buka aurat bila seorang diri di rumah. Masa kita tidak tidur pun boleh telanjang di rumah kita seorang diri, cuma malu pada malaikat saja."

Sebelum itu, Nik Aziz juga memberi pendapat, Elizabeth tidak perlu meletakkan jawatannya, kerana jika pilihan raya kecil diadakan berikutan dengan perletakan jawatan Elizabeth, ia akan menyusahkan rakyat dan melibatkan kos yang tinggi.

Tanpa mempersoalkan pendapat Nik Aziz itu betul atau salah, saya kira seorang ulama politik seperti Nik Aziz memang akan berkata begitu.

Dia tidak akan memberi pendapat seperti seorang ulama kerajaan atau ulama yang cenderung pada pemerintah atau parti pemerintah.

Pendapatnya tentu tidak akan sama dengan pendapat seorang Mufti, apatah lagi seorang Mufti yang kelihatan sentiasa komited menyokong pemerintah seperti Mufti Perak.

Sama ada pendapat Nik Aziz itu ada kredibiti atau tidak, terpulanglah kepada pembaca untuk menilainya.

Akan tetapi, seperti pada masa yang lalu, saya agak pasti pendapat beliau akan mendapat sokongan daripada ahli dan penyokong PAS, walaupun ada kalanya pendapat beliau agak mengarut.

Namun, saya kira itulah kelebihan seorang ulama politik yang masih mempunyai karisme dan mampu mempengaruhi pendapat umum.

Memang ada baiknya, tapi mungkin juga ada buruknya.

Monday, February 16, 2009

Risiko Mufti berpolitik

Perlukah Mufti Perak mengeluarkan "kenyataan"(?) bahawa "sesiapa yang tidak taat kepada pemerintah tetap dianggap menderhaka?" (Utusan Malaysia 17 Feb.2009).

Dalam keadaan biasa, kenyataan seperti itu mungkin dianggap wajar-wajar saja dan tidak ada sesiapa yang berminat untuk mempertikaikannya.

Akan tetapi, apa yang berlaku di Perak baharu-baharu ini bukanlah satu keadaan biasa. Banyak pihak yang menganggap bahawa apa yang berlaku di negeri itu ialah suatu "rampasan kuasa" yang dilakukan secara terancang oleh BN, yang mengambil alih pemerintahan Perak daripada PR.

Dalam peristiwa ini, walau apapun sebab dan alasannya, banyak pihak menganggap bahawa Sultan Perak telah berpihak kepada BN.

Oleh itu, apabila Mufti Perak mengeluarkan kenyataan yang demikian, maka pada hakikatnya dia juga dianggap menyokong BN -- bukan setakat menyokong Sultan Perak, kerana BN-lah yang menjadi parti pemerintah di Perak.

Dengan perkataan lain, sama ada beliau sedar atau tidak, beliau sebenarnya telah "berpolitik", iaitu menyokong BN yang berjaya merampas kuasa daripada PR.

Oleh kerana beliau telah berpihak dan berpolitik, maka risiko tentu ada, iaitu beliau akan dikecam dan dikritik oleh pihak yang tidak disokong oleh beliau (parti pembangkang, khasnya PAS).

Adalah menarik bahawa antara yang mengkritik beliau bukanlah calang-calang orang, iaitu Dr.Haron Din, Timbalan Mursyidul Am PAS, yang juga bekas Profesor Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Biarlah saya tidak ulas hujah siapa yang lebih bernas dan mantap antara hujah mufti dengan hujah mantan profesor itu. Tapi saya kira ilmu Islam seorang bekas profesor tentulah tidak kurang daripada ilmu Islam seorang mufti, dan dengan itu beliau ada kewibawaan untuk mempertikaikan pendapat atau kenyataan mufti berkenaan.

Dengan itu, dari kes ini kita boleh menarik kesimpulan, bahawa apabila seorang mufti berpihak dan berpolitik dalam konteks krisis politik di negeri berkenaan, beliau terpaksalah menanggung risiko -- dikritik dan dikecam -- sebagaimana yang dihadapinya.

Beliau tidak boleh berlindung di sebalik jubah muftinya supaya tidak dikritik, kerana dengan berpihak dan berpolitik beliau sendiri sudah mendedahkan dirinya kepada kririk dan kecaman.

Jika saya boleh memberi pandangan, beliau sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang kelihatan lebih bijak seperti yang dilakukan oleh bekas Mufti Perlis. Bekas Mufti Perlis juga ada mengeluarkan kenyataan, termasuk kenyataannya yang tersiar dalam Harakah yang terbaru, tetapi beliau kelihatan lebih neutral dan tidak memihak.

Mungkin sikap dan pendirian bekas Mufti Perlis itu akan lebih dihormati oleh banyak pihak, kalaupun bukan oleh semua pihak.

Saturday, February 14, 2009

Raja: antara institusi dan personaliti

Kita sudah menerima "institusi raja" sebagai warisan sejarah yang penting dan mulia, sebagai payung negara, sebagai tempat tumpuan taat setia semua rakyat dan sebagainya.

Oleh itu, apabila baru-baru ini ada seorang peguam terkenal bukan Melayu hendak "menyaman" seorang raja berkaitan dengan krisis politik di negeri tertentu, memang wajar saja jika orang Melayu di serata negeri berarak dan berdemonstrasi untuk "mempertahankan" institusi raja.

Dalam perkembangan terakhir, kita lihat ada seorang bekas menteri besar sanggup turun ke jalan untuk mengepalai suatu perarakan ke rumah peguam terkenal tersebut.

Mungkin untuk menunjukkan setiakawan dan solidariti sesama raja pula, Sultan Selangor telah mengeluarkan kenyataan akhbar yang baginda begitu murka atas apa yang telah dilakukan oleh orang-orang tertentu terhadap raja negeri berkenaan.

Walaupun dikatakan demonstrasi bukan budaya kita, tetapi dalam isu yang berkaitan dengan institusi raja ini nampaknya orang Melayu sanggup berarak dan berdemontrasi untuk mempertahankan institusi raja.

Malangnya dalam keghairahan orang Melayu hendak mempertahankan institusi raja ini , mereka seolah-olah terlupa, atau tidak dapat melihat, perbezaan antara "institusi raja" dengan "personaliti raja".

Institusi raja memang kita terima sebagai institusi yang agung dan mulia, dan setakat ini saya rasa memang tidak pernah kita persoalkan kewujudan kepentingannya.

Akan tetapi, yang jadi isu. yang kadang-kadang boleh mencemarkan institusi raja itu ialah personaliti raja-raja yang tertentu.

Jika pada masa tertentu, ada antara rakyat kita yang memperkatakan atau mempersoalkan "kelemahan" atau "keburukan" raja-raja tertentu, maka yang diperkatakan dan dipersoalkan itu sebenarnya ialah "personaliti raja" dan bukan "institusi raja".

Sementara institusi raja begitu agung dan mulia, seorang raja hanyalah manusia biasa yang tidak sunyi dari membuat kesilapan, kerana dia bukanlah orang yang maksum seperti Nabi.

Sebab itu, kita boleh bandingkan ada raja yang mesra rakyat, begitu prihatin terhadap masalah dan kesusahan rakyat, dan mungkin ada raja yang "biasa-biasa saja."

Hanya oleh kerana institusi raja itu begitu agung dan mulia, kelemahan dan keburukan seorang raja kadang-kadang tersembunyi dan terlindung dari pengetahuan umum, sehingga kita melihat kebesaran dan keagungannya saja. Ini mendorong kita melakukan kesilapan dengan tidak melihat perbezaan antara institusi raja dengan personaliti raja.

Dalam hubungan ini, tindakan kerajaan kita di bawah pimpinan Tun Mahathir menghapuskan "kekebalan" raja dari segi undang-undang beberapa tahun yang lalu saya kira adalah satu tindakan yang rasional dan wajar.

Tindakan ini seolah-olah mengiktiraf "pemisahan" antara institusi raja dengan personaliti raja.

Dengan itu, institusi raja memang wajar dikekalkan kerana fungsinya yang begitu penting bagi negara ini. Akan tetapi, seorang raja yang melakukan sesuatu "kesalahan" dari segi undang-undang tentulah tidak wajar dan tidak adil jika "dilepaskan" begitu saja.

Dan tentunya adalah tidak wajar pula, jika ketika timbul kontroversi yang berkaitan dengan institusi raja ini, ada pula pihak-pihak tertentu yang mahu kekebalan raja dipulihkan semula!

Dalam kes krisis politik di Perak, saya tidak tahu adakah sultan telah melakukan "kesilapan" atau tidak.Akan tetapi, jelaslah untuk mengatasi krisis politik yang begitu rumit, kebijaksanaan dan kearifan seorang sultan tetap ada batasannya.

Dalam kontroversi mengenai tindakan yang wajar dilakukan oleh baginda, saya rasa memang ada orang yang berpandangan bahawa krisis politik di negeri itu mungkin tidak berlaku dan berpanjangan, jika baginda mengambil tindakan yang lain, yang ditafsirkan sebagai lebih bijaksana.

Mengenai saman yang kononnya akan dilakukan oleh peguam terkenal berkenaan, saman itu tentulah terhadap personaliti raja, dan bukan terhadap institusi raja. Jadi saya kira biarlah undang-undang yang akan menentukan sama ada saman itu boleh dilakukan atau tidak.

Thursday, February 12, 2009

Mengapa "Untuk Ahli Sahaja"?

Sudah bertahun-tahun Harakah dan Suara Keadilan dijual secara terbuka di beberapa kedai surat khabar di bandar kecil tempat saya tinggal dan di beberapa kedai runcit di taman perumahan di sekitarnya.

Setakat yang saya tahu, pihak yang berkuasa hampir tidak pernah melakukan rampasan terhadap kedua-dua penerbitan itu. Jadi kadang-kadang saya, dan mungkin ramai pembaca yang lain juga, terlupa bahawa kedua penerbitan itu adalah "untuk ahli sahaja".

Jadi saya agak terkejut juga apabila baharu-baharu ini pihak yang berkuasa telah merampas penjualan kedua penerbitan itu di beberapa tempat di negara ini.

Dalam hal ini, kita boleh fahami pihak yang berkuasa bertindak demikian, kerana kedua penerbitan itu telah melanggar syarat yang ditetapkan, iaitu menjual penerbitan kepada orang ramai atau kepada mereka yang bukan ahli parti .

Bagaimanapun, saya kira pada masa ini syarat penjualan akhbar "untuk ahli sahaja" itu patut juga ditinjau kembali.

Mengapakah pihak yang berkuasa mengenakan syarat yang demikian? Adakah pihak yang berkuasa tidak mahu "maklumat" yang terdapat dalam akhbar itu tersebar kepada orang ramai? Adakah pihak yang berkuasa "takut" orang ramai akan terpengaruh oleh "propanda" kedua akhbar parti politik itu?

Kalau itulah alasannya, saya kira alasan itu tidaklah begitu kukuh.

Kedua akhbar itu sebenarnya masih boleh dibaca oleh orang ramai, dengan cara meminjam atau mendapatkannya daripada ahli PAS atai PKR yang memiliki akhbar itu, walaupun mereka tidak membelinya.

Kedua-dua akhbar itu juga ada mempunyai versi internet yang boleh dibaca oleh sesiapa saja.

Jadi syarat itu sebenarnya tidak berkesan dan tidak bererti apa-apa.

Pada masa yang sama syarat yang dikenakan itu seolah-olah mengandaikan orang ramai bodoh sangat, mudah dipengaruhi dan tidak boleh berfikir dengan matang untuk menilai kandungan kedua-dua penerbitan itu.

Mungkin andaian ini tidak betul, dan mungkin pihak yang berkuasa ada motif yang lain.

Tapi sampai bilakah pihak yang berkuasa hendak "mengongkong" pemikiran rakyat? Rakyat yang menyokong kerajaan kerana pemikiran mereka terkongkong mungkin akan berbalik menentang kerajaan jika pemikiran mereka sudah terbuka

Jadi saya fikir mengenakan syarat "untuk ahli sahaja" itu tidaklah begitu bermakna dan tidak begitu berfaedah. Lebih baiklah syarat itu dibuang sahaja.

Sunday, February 8, 2009

Adakah konsep derhaka masih relevan?

Pada zaman prapenjajahan dahulu, di negara kita belum ada konsep "raja berperlembagaan". Raja adalah pemerintah yang berkuasa mutlak berdasarkan nilai dan norma feudal. Berdasakan nilai dan norma feudal itu, menderhaka kepada raja memanglah merupakan satu kesalahan besar.

Akan tetapi, kini apa yang wujud di negara kita ialah "raja berperlembagaan", yang. kedudukan dan peranannya bukan lagi ditentukan oleh nilai dan norma feudal, tetapi oleh undang-undang "moden".

Kini, ketika ada rakyat biasa yang tidak mematuhi "perintah" raja dan ada yang mahu "menyaman" raja, konsep derhaka nampaknya ditimbulkan kembali.

Orang Melayu yang agaknya masih dibelenggu oleh nilai dan norma feudal, walaupun zaman telah berubah, kini dengan gegak gempita mewar-warkan bahawa "menderhaka kepada raja" adalah satu kesalahan besar yang tidak boleh diampunkan.

Maka disarankankanlah supaya orang yang berkenaan dikenakan tindakan yang keras, seperti ditahan di bawah ISA, disuruh keluar dari negara ini, dilucutkan gelaran datuk yang diberi kepadanya dan bermacam-macam lagi.

Akan tetapi, bagi saya konsep derhaka itu adalah satu konsep lama yang berasal dari zaman feudal dahulu, yang saya tidak pasti adakah masih relevan dengan undang-undang moden masa kin.

Betul dahulu, mengikut nilai dan norma feudal, menderhaka kepada raja adalah satu kesalahan besar dan hukumannya pun termasuk hukuman yang berat. Tapi bagimana pula mengikut undang-undang negara masa kini?

Sebagai satu kes yang sangat menarik, kini seorang peguam terkenal telah membuat kenyataan hendak menyaman seorang raja. Sebagai reaksinya, berpuluh-puluh badan dan pertubuhan Melayu telah membuat laporan polis, kerana menganggap tindakan peguam terkenal itu adalah "merderhaka" kepada raja.

Sekarang kita sedang memerhatikan, apakah pula tindakan pihak polis dan pihak yang berkuasa. Adakah apa yang dinamakan "merderhaka" itu satu kesalahan dari segi undang-undang (moden) dan orang yang melakukannya boleh diambil tindakan?

Kalau tidak ada apa-apa tindakan yang boleh diambil ke atas orang yang berkenaan, adalah jelas bahawa konsep derhaka itu sebenarnya adalah konsep lama yang berasal dari zaman feudal, yang mungkin telah ketinggalan zaman, dan sebenarnya tidak relevan lagi dalam konteks semasa.

Kalau diibaratkan sebagai senjata, konsep itu sebenarnya sudah tumpul, dan mungkin tidak dapat digunakan lagi untuk "menakutkan" orang yang berkenaan.

Wednesday, February 4, 2009

Takdir Allah atau permainan politik?

Semua orang tahu bahawa kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak bukanlah kerajaan yang kuat. Dengan majoriti yang kecil, ia sebenarnya sebuah kerajaan yang goyah, dan boleh ditumbangkan dengan sedikit "permainan politik" yang licik. Dan itulah sebenarnya yang berlaku.

Oleh itu, agak aneh dan mungkin sedikit lucu, apabila Zahid Hamidi mengatakan,

"Mereka harus terima kenyataan bahawa hanya kira-kira 10 bulan kerajaan mereka tumbang dan Allah telah takdirkan bahawa Barisan Nasional mengambil alih semula negeri Perak" *(Utusan Malaysia 5 Februari 2009).

Betulkah PR tumbang kerana takdir Allah?

Biasanya dalam hal politik seperti ini, Allah tidak "campur tangan secara langsung", dan sunatullahlah yang lebih banyak menentukan sesuatu perkara itu berlaku.

Mengikut sunatullah, siapa yang lebih pandai dan lebih licik (bermain politik) dialah yang akan menang. Jadi saya kira itulah yang telah berlaku.

Malangnya pernainan politik BN saya kira bukanlah permainan politik yang "bersih". Mungkin ada tawaran (wang, kemudahan atau apa saja) untuk memancing ADUN PKR memasuki BN.

Jadi politik kita kini agaknya sudah sampai ke satu peringkat di mana matlamat boleh menghalalkan segala cara.

Kita ketepikan semua nilai dan prinsip demi mengajar kepentingan dan kuasa. Kita agaknya terpaksa menerima kenyataan bahawa politik itu memang kotor, dan kita tidak dapat mengecualikan diri dari kekotoran itu.

Hanya kalau boleh kita bertanya, itukah cara yang betul dan wajar kita lakukan?