Saturday, February 14, 2009

Raja: antara institusi dan personaliti

Kita sudah menerima "institusi raja" sebagai warisan sejarah yang penting dan mulia, sebagai payung negara, sebagai tempat tumpuan taat setia semua rakyat dan sebagainya.

Oleh itu, apabila baru-baru ini ada seorang peguam terkenal bukan Melayu hendak "menyaman" seorang raja berkaitan dengan krisis politik di negeri tertentu, memang wajar saja jika orang Melayu di serata negeri berarak dan berdemonstrasi untuk "mempertahankan" institusi raja.

Dalam perkembangan terakhir, kita lihat ada seorang bekas menteri besar sanggup turun ke jalan untuk mengepalai suatu perarakan ke rumah peguam terkenal tersebut.

Mungkin untuk menunjukkan setiakawan dan solidariti sesama raja pula, Sultan Selangor telah mengeluarkan kenyataan akhbar yang baginda begitu murka atas apa yang telah dilakukan oleh orang-orang tertentu terhadap raja negeri berkenaan.

Walaupun dikatakan demonstrasi bukan budaya kita, tetapi dalam isu yang berkaitan dengan institusi raja ini nampaknya orang Melayu sanggup berarak dan berdemontrasi untuk mempertahankan institusi raja.

Malangnya dalam keghairahan orang Melayu hendak mempertahankan institusi raja ini , mereka seolah-olah terlupa, atau tidak dapat melihat, perbezaan antara "institusi raja" dengan "personaliti raja".

Institusi raja memang kita terima sebagai institusi yang agung dan mulia, dan setakat ini saya rasa memang tidak pernah kita persoalkan kewujudan kepentingannya.

Akan tetapi, yang jadi isu. yang kadang-kadang boleh mencemarkan institusi raja itu ialah personaliti raja-raja yang tertentu.

Jika pada masa tertentu, ada antara rakyat kita yang memperkatakan atau mempersoalkan "kelemahan" atau "keburukan" raja-raja tertentu, maka yang diperkatakan dan dipersoalkan itu sebenarnya ialah "personaliti raja" dan bukan "institusi raja".

Sementara institusi raja begitu agung dan mulia, seorang raja hanyalah manusia biasa yang tidak sunyi dari membuat kesilapan, kerana dia bukanlah orang yang maksum seperti Nabi.

Sebab itu, kita boleh bandingkan ada raja yang mesra rakyat, begitu prihatin terhadap masalah dan kesusahan rakyat, dan mungkin ada raja yang "biasa-biasa saja."

Hanya oleh kerana institusi raja itu begitu agung dan mulia, kelemahan dan keburukan seorang raja kadang-kadang tersembunyi dan terlindung dari pengetahuan umum, sehingga kita melihat kebesaran dan keagungannya saja. Ini mendorong kita melakukan kesilapan dengan tidak melihat perbezaan antara institusi raja dengan personaliti raja.

Dalam hubungan ini, tindakan kerajaan kita di bawah pimpinan Tun Mahathir menghapuskan "kekebalan" raja dari segi undang-undang beberapa tahun yang lalu saya kira adalah satu tindakan yang rasional dan wajar.

Tindakan ini seolah-olah mengiktiraf "pemisahan" antara institusi raja dengan personaliti raja.

Dengan itu, institusi raja memang wajar dikekalkan kerana fungsinya yang begitu penting bagi negara ini. Akan tetapi, seorang raja yang melakukan sesuatu "kesalahan" dari segi undang-undang tentulah tidak wajar dan tidak adil jika "dilepaskan" begitu saja.

Dan tentunya adalah tidak wajar pula, jika ketika timbul kontroversi yang berkaitan dengan institusi raja ini, ada pula pihak-pihak tertentu yang mahu kekebalan raja dipulihkan semula!

Dalam kes krisis politik di Perak, saya tidak tahu adakah sultan telah melakukan "kesilapan" atau tidak.Akan tetapi, jelaslah untuk mengatasi krisis politik yang begitu rumit, kebijaksanaan dan kearifan seorang sultan tetap ada batasannya.

Dalam kontroversi mengenai tindakan yang wajar dilakukan oleh baginda, saya rasa memang ada orang yang berpandangan bahawa krisis politik di negeri itu mungkin tidak berlaku dan berpanjangan, jika baginda mengambil tindakan yang lain, yang ditafsirkan sebagai lebih bijaksana.

Mengenai saman yang kononnya akan dilakukan oleh peguam terkenal berkenaan, saman itu tentulah terhadap personaliti raja, dan bukan terhadap institusi raja. Jadi saya kira biarlah undang-undang yang akan menentukan sama ada saman itu boleh dilakukan atau tidak.

2 comments:

Unknown said...

ye! sangat stuju. pandangan yg bijak. bukan mcm beruk2 luar sane yg dok terpekik mcm xde pale hotak.

kembara putih said...

Patut Tun tambah tuntutan supaya anak2 sultan tidak boleh terlibat dalam perniagaan, supaya keputusan sultan kelak tidak dianggap rakyat 'demi kerana sesuatu'. Sultan juga tidak diklasifikasikan rakyat sebagai 'pihak yang berkepentingan'