Sunday, February 22, 2009

Ibrahim tidak mengenang budi?

Ibrahim Ali ialah tokoh politik yang telah "dibuang" oleh UMNO. Ia pernah bertanding sebagai calon bebas, tetapi kalah.

Kerana keunikan politik Kelantan, pada tahun 2008, Ibrahim telah diberi peluang oleh PAS bertanding di Pasir Mas atas "tiket PAS", walaupun dia bukan ahli PAS.

Saya kira PAS bukan tidak ada calon yang layak untuk diletakkan di Pasir Mas. Oleh itu, tindakan PAS memberi peluang kepada Ibrahim bertanding di situ boleh dianggap sebagai satu "pengorbanan" juga, walaupun barangkali PAS ada motif tertentu.

Walaupun saya tidak pasti apa motif PAS memberi peluang Ibrahim bertanding di kawasan Parlimen Pasir Mas, akan tetapi saya kira PAS tentu mengharapkan Ibrahim akan memainkan peranan yang lebih menguntungkan PAS dan pembangkang selepas dia menang.

Harapan PAS tentu wajar-wajar saja. Jika kita telah berbudi, apatah lagi dalam politik, tentu kita mengharapkan orang akan membalas budi kita.

Akan tetapi, apakah yang telah dilakukan oleh Ibrahim? Setakat ini agaknya tidak ada atau kurang sekali peranan yang dimainkan oleh Ibrahim yang boleh dianggap sebagai "menguntungkan" PAS dan pembangkang.

Ibrahim berlagak sebagai hero yang banyak membelasah pemimpin pembangkang ketika berucap di Parlimen. Dalam politik, ini bukan sikap seorang "kawan" yang setia. Ini sikap seorang yang tidak setia, tidak mengenang budi dan hanya menguntungkan musuh!.

Oleh itu, saya kira memang wajar jika PAS meminta Ibrahim meletakkan jawatannya. PAS tidak melihat Irahim mengenang budi yang telah mereka berikan.

Ibrahim telah mengeluarkan kenyataan bahawa dia tidak akan meletakkan jawatannya, kecuali jika para pengundi di Pasir Mas meminta dia berbuat demikian. Ini pun agaknya wajar saja, kerana memang tidak ada mana-mana tokoh politik yang mahu kehilangan kerusi empuk itu dengan mudah. Lagi pun, jika Ibrahim meletakkan jawatannya, dia tidak boleh bertanding semula dalam tempoh yang agak lama.

Bagaimanapun, selapas ini PAS tentu akan terus mendesak supaya Ibrahim melepaskan jawatannya. Dan kita lihatlah apa keputusannya.

Namun, saya agak pasti Ibrahim telah melakukan kesilapan dalam sepak terajang politiknya, walaupun dia mungkin boleh bertahan dan tidak akan kehilangan jawatannya.

Pada masa yang sama kita lihat orang UMNO pun sudah pun tumpang memangkok dengan mendesak Ibrahim supaya tidak melepaskan jawatannya. Malah Pemuda UMNO Pasir Mas pun sudah meminta UMNO menerima Ibrahim semula sebagai ahli UMNO.

Ini agaknya bukti peranan Ibrahim setakat ini telah menguntungkan UMNO dan tidak menguntungkan PAS dan pembangkang.

Ibrahim barangkali tidak akan hilang jawatannya. Tapi malang sekali dia mungkin telah dan akan kehilangan penghormatan dari PAS dan para penyokongnya yang dahulu "menolongnya", yang jumlahnya tentu besar juga.

No comments: