Sunday, February 8, 2009

Adakah konsep derhaka masih relevan?

Pada zaman prapenjajahan dahulu, di negara kita belum ada konsep "raja berperlembagaan". Raja adalah pemerintah yang berkuasa mutlak berdasarkan nilai dan norma feudal. Berdasakan nilai dan norma feudal itu, menderhaka kepada raja memanglah merupakan satu kesalahan besar.

Akan tetapi, kini apa yang wujud di negara kita ialah "raja berperlembagaan", yang. kedudukan dan peranannya bukan lagi ditentukan oleh nilai dan norma feudal, tetapi oleh undang-undang "moden".

Kini, ketika ada rakyat biasa yang tidak mematuhi "perintah" raja dan ada yang mahu "menyaman" raja, konsep derhaka nampaknya ditimbulkan kembali.

Orang Melayu yang agaknya masih dibelenggu oleh nilai dan norma feudal, walaupun zaman telah berubah, kini dengan gegak gempita mewar-warkan bahawa "menderhaka kepada raja" adalah satu kesalahan besar yang tidak boleh diampunkan.

Maka disarankankanlah supaya orang yang berkenaan dikenakan tindakan yang keras, seperti ditahan di bawah ISA, disuruh keluar dari negara ini, dilucutkan gelaran datuk yang diberi kepadanya dan bermacam-macam lagi.

Akan tetapi, bagi saya konsep derhaka itu adalah satu konsep lama yang berasal dari zaman feudal dahulu, yang saya tidak pasti adakah masih relevan dengan undang-undang moden masa kin.

Betul dahulu, mengikut nilai dan norma feudal, menderhaka kepada raja adalah satu kesalahan besar dan hukumannya pun termasuk hukuman yang berat. Tapi bagimana pula mengikut undang-undang negara masa kini?

Sebagai satu kes yang sangat menarik, kini seorang peguam terkenal telah membuat kenyataan hendak menyaman seorang raja. Sebagai reaksinya, berpuluh-puluh badan dan pertubuhan Melayu telah membuat laporan polis, kerana menganggap tindakan peguam terkenal itu adalah "merderhaka" kepada raja.

Sekarang kita sedang memerhatikan, apakah pula tindakan pihak polis dan pihak yang berkuasa. Adakah apa yang dinamakan "merderhaka" itu satu kesalahan dari segi undang-undang (moden) dan orang yang melakukannya boleh diambil tindakan?

Kalau tidak ada apa-apa tindakan yang boleh diambil ke atas orang yang berkenaan, adalah jelas bahawa konsep derhaka itu sebenarnya adalah konsep lama yang berasal dari zaman feudal, yang mungkin telah ketinggalan zaman, dan sebenarnya tidak relevan lagi dalam konteks semasa.

Kalau diibaratkan sebagai senjata, konsep itu sebenarnya sudah tumpul, dan mungkin tidak dapat digunakan lagi untuk "menakutkan" orang yang berkenaan.

1 comment:

nia said...

bagi saya konsep derhaka pada konteks sekarang masih lagi relevan tetapi melihat kepada pemikiran yang rasional bagaimana konsep tersebut dalam memberikan keadilan selaras dengan kita sebagai rakyat mengangkat kedudukan raja di tahap yang tinggi dan raja itu sebagai wakil Allah di muka bumi ini.terima kasih,,