Thursday, February 12, 2009

Mengapa "Untuk Ahli Sahaja"?

Sudah bertahun-tahun Harakah dan Suara Keadilan dijual secara terbuka di beberapa kedai surat khabar di bandar kecil tempat saya tinggal dan di beberapa kedai runcit di taman perumahan di sekitarnya.

Setakat yang saya tahu, pihak yang berkuasa hampir tidak pernah melakukan rampasan terhadap kedua-dua penerbitan itu. Jadi kadang-kadang saya, dan mungkin ramai pembaca yang lain juga, terlupa bahawa kedua penerbitan itu adalah "untuk ahli sahaja".

Jadi saya agak terkejut juga apabila baharu-baharu ini pihak yang berkuasa telah merampas penjualan kedua penerbitan itu di beberapa tempat di negara ini.

Dalam hal ini, kita boleh fahami pihak yang berkuasa bertindak demikian, kerana kedua penerbitan itu telah melanggar syarat yang ditetapkan, iaitu menjual penerbitan kepada orang ramai atau kepada mereka yang bukan ahli parti .

Bagaimanapun, saya kira pada masa ini syarat penjualan akhbar "untuk ahli sahaja" itu patut juga ditinjau kembali.

Mengapakah pihak yang berkuasa mengenakan syarat yang demikian? Adakah pihak yang berkuasa tidak mahu "maklumat" yang terdapat dalam akhbar itu tersebar kepada orang ramai? Adakah pihak yang berkuasa "takut" orang ramai akan terpengaruh oleh "propanda" kedua akhbar parti politik itu?

Kalau itulah alasannya, saya kira alasan itu tidaklah begitu kukuh.

Kedua akhbar itu sebenarnya masih boleh dibaca oleh orang ramai, dengan cara meminjam atau mendapatkannya daripada ahli PAS atai PKR yang memiliki akhbar itu, walaupun mereka tidak membelinya.

Kedua-dua akhbar itu juga ada mempunyai versi internet yang boleh dibaca oleh sesiapa saja.

Jadi syarat itu sebenarnya tidak berkesan dan tidak bererti apa-apa.

Pada masa yang sama syarat yang dikenakan itu seolah-olah mengandaikan orang ramai bodoh sangat, mudah dipengaruhi dan tidak boleh berfikir dengan matang untuk menilai kandungan kedua-dua penerbitan itu.

Mungkin andaian ini tidak betul, dan mungkin pihak yang berkuasa ada motif yang lain.

Tapi sampai bilakah pihak yang berkuasa hendak "mengongkong" pemikiran rakyat? Rakyat yang menyokong kerajaan kerana pemikiran mereka terkongkong mungkin akan berbalik menentang kerajaan jika pemikiran mereka sudah terbuka

Jadi saya fikir mengenakan syarat "untuk ahli sahaja" itu tidaklah begitu bermakna dan tidak begitu berfaedah. Lebih baiklah syarat itu dibuang sahaja.

3 comments:

.@blogger.com said...

Salam,
Pada hemat saya,semua bentuk penerbitan harus mendapat keizinan dari kementerian dan kementeria harus berusaha membenarkan penerbitan, tetapi kemudiannya memantau agar tiada yang menyalahi apa-apa peruntukan dari akta pencetakan. Sekitanya berlaku, maka ambillah tindakan keras dan jangan ada tolak ansur. Masyarakat malaysia telah berubah pemikirannya. Mereka telah memahami undang-undang dan sentiasa cuba permainkannya, jadi kerajaan mesti tegas dan keras.

Jemput ke blog saya> BERANIKAN HATI http://braveheart-blogger.blogspot.com

Al-Yasar said...

Salam
Sdr. @blogger.com

Terima kasih atas komen saudara.

bahazain said...

Assalamualaikum,

1. Sepatutnya penerbitan apa pun tidak harus meminta izin atau lesen penerbitan kerana ada pelbagai undang-undang (hasutan, defamation, sedition, akta percetakan dan penerbitan, hakcipta etc.etc) yang boleh menindak terhadap salah laku. Inilah beza antara Malaysia dan Indonesia yg selepas reformasi kebebasan akhbar di sana berbeza dengan kita spt langit dengan bumi.

2. Tentang komen sdr dlm blog saya menegnai PPSMI. Memang ada kekeliruan di kalangan tentang sikap patriotik/pragmatik itu.Justeru kedua-dua sikap itulah kerajaan patut bijaksana mencari pengisiannya melalui penguasaan bahasa Inggeris dengan mempertingkatkan metode pengajaran dan pembelajarannya, tetapi tidak dengan cara mengorbankan fungsi Bahasa Melayu melalui sains dan matematik. PPSMI adalah contoh kekeliruan pendidikan yg luar biasa
bagi mencapai tujuan yang dirancangkan.