Monday, February 16, 2009

Risiko Mufti berpolitik

Perlukah Mufti Perak mengeluarkan "kenyataan"(?) bahawa "sesiapa yang tidak taat kepada pemerintah tetap dianggap menderhaka?" (Utusan Malaysia 17 Feb.2009).

Dalam keadaan biasa, kenyataan seperti itu mungkin dianggap wajar-wajar saja dan tidak ada sesiapa yang berminat untuk mempertikaikannya.

Akan tetapi, apa yang berlaku di Perak baharu-baharu ini bukanlah satu keadaan biasa. Banyak pihak yang menganggap bahawa apa yang berlaku di negeri itu ialah suatu "rampasan kuasa" yang dilakukan secara terancang oleh BN, yang mengambil alih pemerintahan Perak daripada PR.

Dalam peristiwa ini, walau apapun sebab dan alasannya, banyak pihak menganggap bahawa Sultan Perak telah berpihak kepada BN.

Oleh itu, apabila Mufti Perak mengeluarkan kenyataan yang demikian, maka pada hakikatnya dia juga dianggap menyokong BN -- bukan setakat menyokong Sultan Perak, kerana BN-lah yang menjadi parti pemerintah di Perak.

Dengan perkataan lain, sama ada beliau sedar atau tidak, beliau sebenarnya telah "berpolitik", iaitu menyokong BN yang berjaya merampas kuasa daripada PR.

Oleh kerana beliau telah berpihak dan berpolitik, maka risiko tentu ada, iaitu beliau akan dikecam dan dikritik oleh pihak yang tidak disokong oleh beliau (parti pembangkang, khasnya PAS).

Adalah menarik bahawa antara yang mengkritik beliau bukanlah calang-calang orang, iaitu Dr.Haron Din, Timbalan Mursyidul Am PAS, yang juga bekas Profesor Pengajian Islam di Universiti Kebangsaan Malaysia.

Biarlah saya tidak ulas hujah siapa yang lebih bernas dan mantap antara hujah mufti dengan hujah mantan profesor itu. Tapi saya kira ilmu Islam seorang bekas profesor tentulah tidak kurang daripada ilmu Islam seorang mufti, dan dengan itu beliau ada kewibawaan untuk mempertikaikan pendapat atau kenyataan mufti berkenaan.

Dengan itu, dari kes ini kita boleh menarik kesimpulan, bahawa apabila seorang mufti berpihak dan berpolitik dalam konteks krisis politik di negeri berkenaan, beliau terpaksalah menanggung risiko -- dikritik dan dikecam -- sebagaimana yang dihadapinya.

Beliau tidak boleh berlindung di sebalik jubah muftinya supaya tidak dikritik, kerana dengan berpihak dan berpolitik beliau sendiri sudah mendedahkan dirinya kepada kririk dan kecaman.

Jika saya boleh memberi pandangan, beliau sepatutnya mengeluarkan kenyataan yang kelihatan lebih bijak seperti yang dilakukan oleh bekas Mufti Perlis. Bekas Mufti Perlis juga ada mengeluarkan kenyataan, termasuk kenyataannya yang tersiar dalam Harakah yang terbaru, tetapi beliau kelihatan lebih neutral dan tidak memihak.

Mungkin sikap dan pendirian bekas Mufti Perlis itu akan lebih dihormati oleh banyak pihak, kalaupun bukan oleh semua pihak.

No comments: