Thursday, February 26, 2009

Khir Toyo "Kepanasan"?

Khir Toyo "kepanasan"? Saya tidak tahu. Mungkin ia, mungkin tidak.

Akan tetapi, setelah hampir setahun Khir Toyo mengkritik, menghentam dan cuba membongkar "kesalahan" dan "penyelewengan" Khalid Ibrahim, kini giliran Khalid Ibrahim pula membongkar "kesalahan" dan "penyelewangan" Khir Toyo (lihat akhbar Sinar hari ini, 27 Februari 2009).

Saya tentu tidak pasti sama ada "penyelewengan" Khir Toyo yang dibongkar oleh Khalid Ibrahim itu ada asas atau tidak. Itu biarlah pihak yang berkuasa yang menyiasatnya dan menentukan kesahihannya.

Bagaimanapun, kita semua tahu, semasa Khir Toyo berkuasa sebagai MB Selangor dahulu dia seolah-olah seorang yang "kebal". Banyak laporan polis dibuat terhadapnya tentang apa yang dikatakan sebagai "rasuah" yang dilakukannya, tetapi semua laporan itu agaknya telah dibakulsampahkan oleh BPR.

Sekarang Khir Toyo hanya "ketua pembangkang"' bukan lagi seorang MB yang sangat berkuasa. Adakah SPRM akan melakukan penyiasatan terhadapnya? Kita barangkali kena tunggu dan lihat.

Bagaimanapun, ini agaknya satu ujian terhadap kredibiliti SPRM. Jika SPRM boleh bertindak pantas -- melakukan penyiasatan -- terhadap Khalid Ibrahim, mengapa tidak boleh melakukan penyiasatan yang pantas juga terhadap Khir Toyo?

Khir Toyo tentu tidak bersalah, jika tidak ada bukti dia bersalah. Jadi biarlah pihak yang berkuasa yang menentukan kesahihan "tuduhan"(?) terhadapnya.

Bagaimanapun, dalam hal ini, mungkin baik juga jika kita mengingatkan kembali satu "prinsip" umum dalam hidup bermasyarakat, iaitu " Jika kita suka mencari kesalahan orang, orang pun akan mencari kesalahan kita".

Saya kira prinsip umum itu telah berlaku kepada Khir Toyo.

Khir Toyo hanya manusia biasa; bukan maksum, dan bukan malaikat. Dia tentu tidak akan sunyi daripada melakukan kesilapan.

Mungkinkah dia akan sedar dan insaf selepas ini?

No comments: