Friday, March 6, 2009

Sabaruddin merestui politik wang dalam UMNO?

Lama tidak ada berita tentang Sabaruddin Chik, veteran UMNO, yang dahulunya pernah menjadi Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan. Oleh itu, menarik juga apabila ada berita atau laporan tentang beliau dalam Utusan Malaysia, 7 Mac 2009.

Mengikut laporan itu, beliau menasihatkan(?) SPRM supaya tidak membazir masa dan tenaga kerja dengan memberi tumpuan kepada Perhimpunan Agung UMNO bagi menangani gejala politik wang. Sebaliknya, beliau menyarankan supaya SPRM menggunakan kepakaran yang ada terhadap projek-projek besar melibatkan kepentingan negara.

Meminjam kata-kata beliau, "Memandangkan SPRM kini sudah menjadi sebuah badan yang besar, sepatutnya ia menumpukan kepada kes-kes lebih besar melibatkan ratusan ribu ringgit kerana itu lebih berbaloi."

Saya kira banyak pihak boleh menyetujui dan menyokong saranan Sabaruddin supaya SPRM memberi tumpuan kepada kes yang lebih besar, yang tentunya melibatkan ikan jerung. Sebelum ini BPR memang diperlekehkan kerana hanya mampu bertindak terhadap ikan bilis.

Akan tetapi, wajarkah SPRM tidak mencampuri kes rasuah politik dalam UMNO dan menyerahkan kepada Lembaga Disiplin UMNO sendiri untuk menyelesaikannya?

Dalam hal ini, amat malang sekali Sabaruddin seolah-olah menganggap remeh dan malah boleh dianggap "merestui" politik wang dalam UMNO.

Kata beliau, "Amalan ini telah wujud sejak tahun 1990-an tapi ketika itu ramai di kalangan ahli UMNO tidak mempunyai pekerjaan, sekurang-kruangnya dapat juga mereka duit poket.

"Sekarang ini duit diberi untuk beli undi tapi jumlahnya cuma sekitar RM400 hingga RM500 saja", kata beliau seterusnya.

Betulkah begitu?

Saya kira jumlahnya sama ada besar atau kecil tidak penting. Yang penting politik wang itu adalah rasuah dan rasuah patut dibanteras, bukan direstui.

Lagipun tak kan jumlahnya kekal antara RM400 hingga RM500 dari tahun ke tahun. Makin lama tentu jumlahnya makin besar sehingga mencapai ribuan ringgit.

Sebelum ini sudah terbukti bahawa Lembaga Disiplin UMNO sebenarnya tidak mampu mengurangkan, apalagi menghapuskan rasuah politik dalam UMNO, kerana pelbagai faktor , termasuk barangkali "halangan" dan " kekangan" daripada pemimpin atasan UMNO sendiri.

Oleh itu, saya berpendapat penglibatan SPRM dalam menangani politik wang dalam UMNO bukan saja wajar, malah patut dialu-alukan.

1 comment:

Unknown said...

Sabarudin Chik ni dulu SU Agong UMNO. Not worth commenting on party has been.Saja-saja nak buat statement untuk keluar paper.Cari publisiti murahan ke?