Saya ingin merujuk tulisan Anak Melayu Ditindas, Bayan Lepas, Pulau Pinang, dalam ruangan Forum Utusan Malaysia, 27 Januari 2009, yang tajuknya seperti di atas.
Saya tidak tahu adakah apa yang diceritakan oleh penulis merupakan pengalaman peribadi beliau saja, ataupun merupakan pengalaman ramai orang Melayu di Pulau Pinang.
Bagaimanapun, kalau saya tidak salah, hal itu memang sudah beberapa kali ditimbulkan oleh penulis lain sebelum ini. Jadi hal itu saya kira memang merupakan perkara yang umum, dan memang melibatkan ramai orang Melayu, bukan saja di Pulau Pinang, tetapi di tempat-tempat lain juga.
Namun, orang Melayu sebagai bangsa yang "penyabar" agaknya memang tidak mahu bising-bising dan tidak mahu menjadikan hal itu sebagai satu isu, walaupun isu perkauman dan diskriminasi ke atas orang Melayu itu sudah lama berlaku.
Parti politik Melayu dan NGO Melayu juga boleh dikatakan tidak pernah menimbulkan hal tersebut, walaupun saya kira mereka bukan tidak tahu tentang hal itu.
Adakah mereka menganggap syarikat-syarikat swasta itu "memang boleh" atau berhak menjalankan dasar seperti itu? Saya tidak tahu.
Bagaimanapun, sikap parti politik Melayu dan NGO Melayu itu seolah-olah membayangkan kita memang tidak mampu berbuat apa-apa untuk menangani hal tersebut.
Hal ini memang mengecewakan, tapi tentunya berkaitan dengan kedudukan bangsa Melayu yang lemah dari segi ekonomi. Orang Melayu bukan saja tidak banyak mempunyai syarikat besar, tapi orang Melayu juga tidak ramai yang memegang jawatan tinggi dalam syarikat antarabangsa yang terdapat di negara ini.
Dalam keadaan demikian, dalam sebuah masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia, dasar yang tidak adil bagi kaum yang lemah seperti orang Melayu, memang sukar untuk ditolak.
Apa yang mungkin boleh disarankan oleh sesetengah pihak ialah supaya orang Melayu masuk sekolah Cina dan belajar bahasa Cina. Dengan itu, mereka akan dapat memenuhi dasar syarikat yang memilih orang yang berpengetahuan bahasa Cina untuk mendapatkan pekerjaan di syarikat itu
Akan tetapi, saranan ini bukanlah saranan yang praktikal. Tentu tidak semua orang Melayu akan masuk belajar di sekolah Cina, dan saranan ini tidak selaras juga dengan dasar pendidikan kita yang mahu mengutamakan sekolah aliran kebangsaan.
Jadi agaknya memang tidak ada jalan mudah untuk mengatasi hal ini, selagi orang Melayu lemah dari segi ekonomi dan selagi orang Melayu tidak menguasai syarikat tempatan dan syarikat antarabangsa yang terdapat di negara ini.
Orang Melayu mungkin akan terus didiskriminasikan, dan agaknya mereka terus tidak mampu berbuat apa-apa.
Adakah pemimpin Melayu, khasnya pemimpin parti politik Melayu dan NGO Melayu, pernah memikirkan hal ini dan cuba mencari jalan yang lebih berkesan untuk mengatasinya? Saya tidak tahu.
No comments:
Post a Comment