Akhbar arus perdana, seperti Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia memang gemar menyiarkan kenyataan Karpal Singh, Penasihat DAP berkaitan dengan PAS (khasnya berkaitan dengan penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud yang mahu dilaksanakan oleh PAS).
Misalnya tidak lama dulu, dua tiga kali, pernah tersiar kenyataan Karpal Singh yang menyatakan PAS perlu melangkah mayatnya terlebih dahulu jika hendak menubuhkan negara Islam.
Dalam perkembangan terbaru, disiarkan pula penentangan Karpal Singh terhadap hukum hudud yang PAS mahu ia dilaksanakan, sekiranya Pakatan Rakyat dapat memerintah kerajaan Pusat.
Penyiaran berita seperti itu tentu ada tujuan tertentu, khasnya untuk menunjukkan pertentangan atau konflik antara PAS dengan DAP.
Maka dengan itu, dikatakanlah bahawa Pakatan Rakyat yang terwujud dari kerjasama PAS dengan DAP (dan PKR) itu, dan kini memerintah di lima negeri, adalah pakatan yang rapoh dan bila-bila masa saja akan hancur berkecai.
Bagaimanapun saya ingin melihat isu ini dari sudut lain.
PAS memang faham DAP tidak bersetuju ia menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hukum Islam (termasuk hudud). Dan juga, setakat ini, PAS memang tidak mampu mempengaruhi DAP supaya mengubah sikap dan pendiriannya itu.
Jadi PAS tidak dapat tidak tentu akan mengambil sikap yang lebih pragmatis, iaitu tidak akan membesar-besarkan isu hukum hudud itu, kecuali jika ia "dijolok" oleh akhbar arus perdana dan orang-orang UMNO.
Dengan berbuat demikian, kerjasama antara PAS dan DAP akan dapat diteruskan, dan dengan itu kuasa pemerintahan mereka di lima negeri itu juga akan dapat dikekalkan.
Akhbar arus perdana dan orang UMNO mungkin boleh membesar-besarkan pertentangan dan konflik antara PAS dan DAP mengenai isu hukum hudud itu.
Akan tetapi, bagi PAS dan DAP saya kira pengekalan kuasa mereka di lima negeri itu adalah lebih penting dipertahankan, dan dengan itu isu hukum hudud itu sebenarnya akan "tenggelam" juga tidak lama lagi.
Akhbar arus perdana dan orang UMNO saya kira tidak akan mendapat keuntungan apa-apa dengan menimhulkan dan membesar-besarkan isu hukum hudud itu, kerana rakyat tahu UMNO dan kerajaan BN memang tidak menunjukkan minat untuk melaksanakan hukum tersebut.
Rakyat juga tahu bahawa tujuan akhbar arus perdana dan orang UMNO menimbulkan dan membesar-besarkan isu hukum hudud itu hanyalah untuk melaga-lagakan PAS dengan DAP. Jika betul demikian, apakah kewajarannya rakyat bersimpati dan menyokong UMNO yang jelas tidak berminat dengan pelaksanaan hukum hudud itu?
No comments:
Post a Comment