PAS memang mempunyai beberapa kelebihan.Ia bernama parti Islam, dipimpin oleh ulama dan pemimpinnya pula selalu menyatakan bahawa dasar parti itu ialah Islam dan matlamat perjuangannya adalah untuk menegakkan Islam (menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hukum Islam, termasuklah hukum hudud).
Oleh itu, dengan menggunakan logik yang simpel saja, Nik Aziz , yang kebetulan seorang pemimpin yang karismatik dalam parti itu dengan mudah boleh mengatakan bahawa sesiapa yang mengundi atau menyokong PAS akan mendapat pahala.
Akan tetapi, benarkah siapa yang mengundi PAS saja yang akan mendapat pahala? Bagaimana dengan orang yang mengundi parti lain, seperti UMNO/BN, PKR dan DAP?
Saya rasa dengan menggunakan logik yang simpel juga, kita dengan mudah akan dapat mengatakan bahawa sesiapa yang mengundi parti lain daripada PAS pun akan mendapat pahala. Sebabnya?
Parti- parti yang lain pun sebenarnya berjuang untuk membuat kebaikan, kebajikan dan keadilan yang selaras dengan nilai dan tuntutan Islam, walaupun tidak secara khusus mengatakan untuk "menegakkan Islam". Jadi perjuangan mereka juga adalah perjuangan yang dituntut oleh Islam, dan sesiapa yang mengundi parti-parti itu juga akan mendapat pahala.
Kalau tidak salah, satu masa dahulu, ulama-ulama di Indonesia ada mengeluarkan semacam fatwa bahawa menyertai pilihan raya dengan tujuan untuk memilih kerajaan yang baik, adil dan bertanggungjawab adalah satu kewajipan yang dianggap sebagai fardu kifayah.
Oleh yang demikian, jika kita bersetuju dengan fatwa ini, sesiapa yang mengundi dalam pilihan raya -- tidak semestinya mengundi PAS -- juga akan mendapat pahala, jika ia mengundi kerana Allah.Wallahualam.
1 comment:
sokong pas dapat pahala? siapa yang kata? toho benar weh..pakcik suka pas sebab ada tok guru nik aziz..kalu tok guru takdok pakcik tak tau nak jadi nga pas..tapi pakcik bukannya ahli pas, bukan ahli umno dan juga bukan ahli pkr..
Post a Comment