PAS tentu tidak bersetuju dengan dakwaan DSNajib bahawa parti itu menggunakan hukum hudud hanya sebagai slogan politik. Dan sebagai bersangka-baik kepada PAS, biarlah kita terima dakwaan para pemimpinnnya bahawa parti itu memang berhasrat untuk melaksanakan hukum hudud.
Akan tetapi, ada dua persoalan yang mungkin baik kita tanyakan kepada para pemimpin parti itu.
Pertama, adakah PAS mempunyai kekuatan sendiri untuk melaksanakannya? Saya anggap PAS mempunyai kekuatan sendiri jika ia dapat memerintah kerajaan Pusat secara bersendirian. Jika tidak mempunyai kekuatan seperti itu, bagaimanakah PAS hendak melaksanakannya?
Ini ialah kerana untuk melaksanakan hukum hudud, Perlembagaan Malaysia perlu diubah terlebih dahulu. Sekiranya perubahan Perlembagaan itu tidak dapat dilakukan, sampai bila pun tentu hukum hudud tidak dapat dilaksanakan.
Kedua, adakah realiti politik semasa memungkinkan hukum hudud itu dilaksanakan?
Saya telah nyatakan dalam posting terdahulu, bahawa realiti politik semasa memang tidak memungkinkan hukum hudud itu dilaksanakan di Malaysia pada masa ini, kerana di samping PAS tidak mempunyai kekuatan sendiri yang mencukupi, sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat (DAP dan PKR) juga tidak bersetuju hukum hudud itu dilaksanakan.
Mungkin PAS akan berusaha untuk memujuk atau mempengaruhi parti sekutunya dalam Pakatan Rakyat menerima hukum hudud, sekiranya Pakatan Rakyat dapat memerintah kerajaan Pusat.
Akan tetapi, semua ini adalah kemungkin yang masih jauh dan terlalu jauh.
DAP adalah parti Cina dan PKR pula adalah parti "berbilang bangsa". Saya tidak melihat kemungkinan orang bukan Melayu (Cina dan India) yang menjadi ahli kedua-dua parti ini boleh dipengaruhi oleh PAS untuk menerima hukum hudud.
Jadi ketika PAS tidak mempunyai kekuatan sendiri yang mencukupi, dan ketika realiti politik semasa tidak memungkinkan hukum hudud itu dilaksanakan, maka mungkin tidak salah jika dikatakan bahawa tindakan pemimpin PAS mewar-warkan hukum hudud itu pada masa ini hanyalah sebagai slogan politik sahaja.
2 comments:
salam
amat menyedihkan bila ramai penyokong fanatik PAS tidak menyedari hakikat ini!!
kuncinya Islam lebih utama dari melayu. jika Umno golongan fanatik melayu sampai bila-bila mereka tidak akan yakin dengan kuasa Allah yang membolak-balikkan hati manusia. cina,india dan melayu hanyalah kaum. kenapa terlalu negatif menilai bangsa lain sehingga terlupa Allah yang maha kuasa? fikir-fikirkanlah. orang melayu sendiri pun ramai yang tak setuju dengan hudud jangan disalahkan bangsa lain. cermin keimanan anda kepada tuhan.
Post a Comment