Beberapa tahun yang lalu kerajaan PAS Kelantan telah menggubal rang undang-undang mengenai hukum hudud. Tapi undang-undang itu tidak dapat dilaksanakan kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia.
Maknanya hukum hudud PAS itu hanya dapat dilaksanakan sekiranya Perlembagaan Malaysia dipinda terlebih dahulu.
Untuk meminda Perlembagaan Malaysia, PAS mesti dapat memerintah kerajaan Pusat.
Tapi bolehkah PAS memerintah kerajaan Pusat secara bersendirian? Realiti politik semasa menunjukkan hal itu tidak mungkin.
Berdasarkan kekuatannya sendiri, PAS mungkin hanya dapat menawan "negeri Melayu" seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, tetapi agak mustahil untuk menawan negeri-negeri yang lain.
Untuk menawan dan memerintah kerajaan Pusat, PAS tidak ada pilihan lain, kecuali bersekutu dengan parti lain seperti sekarang.
Akan tetapi, salah satu sekutu PAS, iaitu DAP memang tidak bersetuju hukum hudud dilaksanakan di negara ini. Dan apabila Husam, Naib Presiden PAS menyatakan PAS tetap mahu melaksanakan hukum hudud, Lim Eng Guan, Setiausaha Agung DAP dengan cepat mengeluarkan kenyataan yang membayangkan ia tidak menyetujuinya.
Pendirian satu lagi sekutu PAS, iaitu PKR tidak begitu jelas. Akan tetapi, sebagai parti berbilang kaum, PKR tidak mungkin mengambil pendirian menyokong hukum hudud.
Jadi saya kira, pemimpin PAS memang sudah tahu bahawa mereka sebenarnya memang tidak ada kemampuan untuk memerintah kerajaan Pusat secara bersendirian, dan dengan itu memang tidak ada kemampuan untuk melaksanakan hukum hudud.
Oleh itu, jika ada pemimpin PAS yang menyatakan hukum hudud akan dilaksanakan jika Pakatan Rakyat memerintah kerajaan Pusat, ia hanyalah retorik sahaja, kerana parti yang menjadi sekutunya dalam pakatan itu memang tidak menyutujuinya.
Jadi setakat yang boleh dijangka, hukum hudud memang tidak mungkin dilaksanakan di negara ini, sama ada oleh PAS atau oleh Pakatan Rakyat, kerana realiti politik di negara ini memang tidak memungkinkan ia dilaksanakan.
1 comment:
siapa pernah menjagkakan BN hilang 2/3 kerusi parlimen, siapa pernah menjangkakan mahathir akan tidak sebulu dengan Pak Lah, siapa pula pernah menjangkakan Selangor,Perak, Pulau Pinang jatuh ke tangan pembangkang. kalau sekiranya anda terus dengan jangka-jangkaan anda maka anda terus akan ketinggalan kerana Kuasa tuhan melebihi jangkaan anda.. Islam bukan milik Melayu.. sebab itu ramai melayu juga yang berdolak dalih dalam isu hudud. jadilah hamba yang taat. dan pertingkatkanlah keimanan anda. " sesiapa yang bertakwa kepada Allah akan dijadikannya jalan keluar dan rezeki yang tidak terjangka olehnya" berjuanglah demi tuhan bukan demi bangsa dan jangka-jangkaan saudara
Post a Comment