Saya telah katakan sebelum ini, PAS tidak ada kemampuan atau kekuatan untuk melaksanakan hukum hudud secara sendirian, kerana pelaksanaan hukum hudud memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu.
PAS pula hanya akan dapat meminda Perlembagaan Persekutuan sekiranya ia dapat memerintah kerajaan Pusat. Bolehkah PAS memerintah kerajaan PAS kerajaan Pusat secara bersendirian? Ini kemungkinan yang sangat jauh dan barangkali tidak terfikirkan oleh sesiapa.
Setakat yang boleh diduga, PAS berkemungkinan memerintah kerajaan Pusat jika ia terus bersekutu dengan DAP dan PKR. Walaupun dasar dan ideologi ketiga-tiga parti itu berbeza, bukanlah satu perkara yang mustahil jika mereka akan terus bekerjasama demi berkongsi kuasa dan mengekalkan kuasa.
Bagaimanapun, buat masa ini sudah jelas DAP tidak mahu menerima hukum hudud. PKR pula, walaupun setakat ini masih tidak mahu "bersuara", tetapi diyakini tidak mampu menyokong pendirian PAS demi menjaga survival politiknya.
Jadi apabila Husam, Naib Presiden PAS menyatakan PAS akan tetap melaksanakan hukum hudud apabila Pakatan Rakyat berjaya memerintah kerajaan Pusat, mungkin ada juga kewajarannya jika pemimpin UMNO menyatakan, kenyataan Husam itu hanya gimik politik dan secara langsung atau tidak langsung bertujuan untuk menarik pengaundi Melayu dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu tidak lama lagi.
Bagaimanapun, malang sekali, pemimpin UMNO yang seolah-olah mempersendakan hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud itu mungkin terlupa bahawa tanggungjawab melaksanakan hukum hudud adalah tanggungjwab semua orang Islam, dan bukan tanggungjawab orang PAS saja.
Sebagai parti Melayu (dan pernah juga mendakwa sebagai "parti Islam") UMNO juga sebenarnya bertanggungjawab untuk melaksanakan hukum hudud.
UMNO juga secara bersendirian memang tidak mampu untuk mengubah Perlembagaan dan melaksanakan hukum hudud, dan setakat ini rasanya tidak pernah menyatakan hasrat untuk melaksanakan hukum hudud.
Akan tetapi, ini tidak bermakna UMNO terkecuali daripada bertanggungjawab untuk melaksanakan hukum hudud, kerana majoriti ahlinya adalah orang Islam, dan pemimpin utamanya semua orang Islam.
Adakah pemimpin UMNO lupa, terlupa atau buat-buat lupa?
1 comment:
Akhbar Utusan Malaysia selalu mengatakan bahawa PAS tidak konsisten dan telah goyah, apabila sekutu mereka dalam Pakatan Rakyat (khasnya DAP) menentang pelaksanaan hukum hudud.
Ini saya fikir tidak benar. PAS mengambil sikap dan pendirian yang realistik dan pragmatik, kerana hukum hudud memang tidak dapat dilaksanakan tanpa persetujuan majoriti orang bukan Melayu.
Yang tidak ada pendirian dan tidak berani menyatakan pendirian ialah UMNO. Pernahkah UMNO menyatakan hendak melaksanakan hukum hudud?
Post a Comment