Tuesday, November 29, 2011

Mengalah sehingga kehilangan kuasa?

Mungkin benar salah satu faktor yang memungkinkan negara ini aman, dan dengan itu sentiasa bergerak maju ke hadapan, adalah kerana bangsa Melayu memilih "berkongsi kuasa" dengan bangsa lain untuk memerintah negara ini.

Bangsa Melayu dikatakan berpeluang memerintah tanpa berkongsi kuasa dengan bangsa lain ketika baru merdeka dahulu, sekiranya ia mahu berbuat demikian.

Namun, ketika itu pemimpin Melayu yang berpanjangan jauh dan bersikap rasional tidak mengambil langkah yang demikian.

Walaupun bangsa Melayu merupakan golongan majoriti, mereka tidak mengenepikan bangsa lain yang merupakan golongan minoriti.

Akan tetapi, ada satu fakta yang barangkali tidak harus kita lupakan bahawa dalam berkongsi kuasa itu bangsa Melayulah yang selalu mengalah dan banyak mengalah.

Banyak hak dan keistimewaan bangsa Melayu yang dikorbankan dari masa ke masa untuk memuaskan hati bangsa lain yang tidak pernah pula mahu mengalah.

Saya kira sikap dan tindakan mengalah bangsa Melayu ini juga merupakan satu faktor lagi, mungkin faktor yang lebih penting , yang menyebabkan negara ini sentiasa aman dan dilihat "bersatu padu".

Sikap mengalah bangsa Melayu ini berterusan sehingga kini. Kini bangsa Melayu terus mengalah dan memberi apa yang diminta oleh bangsa lain, kerana dalam berkongsi kuasa itu bangsa Melayu pula yang memerlukan undi dan sokongan bangsa lain.

Adakah bangsa Melayu akan terus mengalah dan terus mengalah sehingga kehilangan kuasa?

No comments: