Tuesday, December 6, 2011

Mengapa UMNO ketandusan tokoh yang berkalibar di Selangor?

Pada tahun 1960-an dahulu, UMNO Sabak Bernam adalah salah sebuah bahagian UMNO yang terkuat di Selangor. Sejak tahun 1950-an ia dipimpin oleh seorang Dato' yang sangat berpengaruh, tetapi beliau hanya berkelulusan sekolah rendah.

Di daerah itu hanya ada dua atau tiga buah sekolah menengah, dan guru siswazah pula hanya ada dua tiga orang di setiap sekolah.

Tidak semua guru siswazah itu berminat menceburi bidang politik. Akan tetapi, di salah sebuah sekolah itu ada seorang guru siswazah yang popular, yang pandai bergaul, yang aktif dalam kerja-kerja sukarela, dan ingin menyertai UMNO. Dia juga dilihat sebagai seorang yang ada karisma, boleh menjadi pemimpin dan boleh menarik orang ramai turut menyokong UMNO.

Malangnya sebelum dia mengisi borang dan memohon menjadi ahli UMNO secara rasmi, dia telah dipanggil oleh Dato' yang berkenaan, yang tidak menggalakkan dia bergiat dalam politik dan lebih suka dia bergerak dalam kerja-kerja sukarela saja, di samping memberi tumpuan kepada tugasnya sebagai guru.

Jadi dia pun tidak jadi menjadi ahli UMNO . Tidak lama kemudian tanpa permintaannya sendiri, dan tanpa sebab-sebab yang jelas, dia pun ditukarkan ke daerah lain .

Ini adalah satu contoh bagaimana pemimpin lama UMNO di peringkat Bahagian menghalang orang dari golongan intelek menjadi ahli UMNO, kerana ingin mengekalkan kedudukannya, dan takut dicabar oleh orang yang lebih terpelajar dan berkebolehan.

Bagaimanakah keadaan sekarang? Kalau mengikut pandangan Tun Mahathir, hal ini masih berlaku, bukan saja di Selangor, tapi mungkin di negeri-negeri lain juga.

Apakah akibatnya? Kalau mengikut pandangan Tun Mahathir juga, hal ini menyebabkan UMNO di tempat berkenaan ketandusan pemimpin yang berkalibar dan berwibawa.

Beliau mengambil negeri Selangor sebagai contoh. Kurangnya kemasukan golongan intelek yang berkalibar ke dalam UMNO Selangor menyebabkan parti itu sukar mencari seorang pemimpin atau tokoh yang berkalibar untuk menjadi menteri besar!

Hal ini tentu agak pelik, kerana Selangor dianggap sebuah negeri maju dan ramai sekali dengan anak-anak Melayu yang terpelajar, yang menjadi usahawan, yang menjadi orang profesiaonal dan sebagainya.

Ini tidak bererti pada masa kebelakangan ini tidak ada golongan profesional seperti peguam, doktor dll yang memasuki UMNO dan dapat memegang jawatan penting pada peringkat Bahagian. Akan tetapi, sebahagianya ialah orang yang ada hubungan kekeluargaan dengan pemimpin yang sedia ada, dan mendapat sokongan daripada mereka.

Jika tidak, dan jika hanya berasaskan kebolehan semata-mata, mungkin tidaklah mudah untuk mereka naik ke atas, kalaupun tidak disekat awal-awal lagi.

No comments: