Thursday, December 8, 2011

DAP belum layak bertanding di kawasan majoriti Melayu

Tidak ada salahnya DAP bertanding atau meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Melayu dalam pilihan raya umum yang akan datang.

Akan tetapi, syaratnya DAP haruslah ada penyokong dan kekuataannya sendiri di kawasan itu. Dengan perkataan lain, DAP haruslah sudah ada ahli dan penyokong Melayu yang ramai di kawasan itu.

Sekiranya tidak demikian, barangkali DAP hanya ingin menumpang kekuatan PAS atau bertanding di kawasan yang dianggap sebagai kubu PAS, dan dengan itu calon Melayu DAP berharap akan menang dengan sokongan ahli dan penyokong PAS.

Mana boleh begitu. PAS tentu tidak bersetuju atau sepatutnya tidak bersetuju sebagaimana pendirian Timbalan Pengerusi PAS Selangor.

Sekiranya majoriti ahli dan penyokong DAP masih lagi terdiri daripada kaum Cina, maka sepatutnya DAP bertanding di kawasan Cina saja. Dan memang belum sampai masanya DAP meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Melayu.

Lagi pun DAP pada hakikanya masih merupakan sebuah parti Cina. Hakikat ini tidak akan berubah selagi DAP masih memperjuangkan konsep Malaysian Malaysia yang pada hakikatnya sama dengan memperjuangkan kepentingan orang bukan Melahyu, khasnya kaum Cina.

DAP tidak akan berubah menjadi parti berbilang kaum semata-mata kerana meletakkan calon Melayu di kawasan majoriti Melayu.

DAP harus membuang konsep Malaysian Malaysia yang menjadi pegangannya terlebih dahulu, dan harus mendapatkan ahli dan penyokong yang ramai daripada orang Melayu terlebih dahulu, barulah layak bertanding di kawasan majoriti Melayu.

Tuesday, December 6, 2011

Mengapa UMNO ketandusan tokoh yang berkalibar di Selangor?

Pada tahun 1960-an dahulu, UMNO Sabak Bernam adalah salah sebuah bahagian UMNO yang terkuat di Selangor. Sejak tahun 1950-an ia dipimpin oleh seorang Dato' yang sangat berpengaruh, tetapi beliau hanya berkelulusan sekolah rendah.

Di daerah itu hanya ada dua atau tiga buah sekolah menengah, dan guru siswazah pula hanya ada dua tiga orang di setiap sekolah.

Tidak semua guru siswazah itu berminat menceburi bidang politik. Akan tetapi, di salah sebuah sekolah itu ada seorang guru siswazah yang popular, yang pandai bergaul, yang aktif dalam kerja-kerja sukarela, dan ingin menyertai UMNO. Dia juga dilihat sebagai seorang yang ada karisma, boleh menjadi pemimpin dan boleh menarik orang ramai turut menyokong UMNO.

Malangnya sebelum dia mengisi borang dan memohon menjadi ahli UMNO secara rasmi, dia telah dipanggil oleh Dato' yang berkenaan, yang tidak menggalakkan dia bergiat dalam politik dan lebih suka dia bergerak dalam kerja-kerja sukarela saja, di samping memberi tumpuan kepada tugasnya sebagai guru.

Jadi dia pun tidak jadi menjadi ahli UMNO . Tidak lama kemudian tanpa permintaannya sendiri, dan tanpa sebab-sebab yang jelas, dia pun ditukarkan ke daerah lain .

Ini adalah satu contoh bagaimana pemimpin lama UMNO di peringkat Bahagian menghalang orang dari golongan intelek menjadi ahli UMNO, kerana ingin mengekalkan kedudukannya, dan takut dicabar oleh orang yang lebih terpelajar dan berkebolehan.

Bagaimanakah keadaan sekarang? Kalau mengikut pandangan Tun Mahathir, hal ini masih berlaku, bukan saja di Selangor, tapi mungkin di negeri-negeri lain juga.

Apakah akibatnya? Kalau mengikut pandangan Tun Mahathir juga, hal ini menyebabkan UMNO di tempat berkenaan ketandusan pemimpin yang berkalibar dan berwibawa.

Beliau mengambil negeri Selangor sebagai contoh. Kurangnya kemasukan golongan intelek yang berkalibar ke dalam UMNO Selangor menyebabkan parti itu sukar mencari seorang pemimpin atau tokoh yang berkalibar untuk menjadi menteri besar!

Hal ini tentu agak pelik, kerana Selangor dianggap sebuah negeri maju dan ramai sekali dengan anak-anak Melayu yang terpelajar, yang menjadi usahawan, yang menjadi orang profesiaonal dan sebagainya.

Ini tidak bererti pada masa kebelakangan ini tidak ada golongan profesional seperti peguam, doktor dll yang memasuki UMNO dan dapat memegang jawatan penting pada peringkat Bahagian. Akan tetapi, sebahagianya ialah orang yang ada hubungan kekeluargaan dengan pemimpin yang sedia ada, dan mendapat sokongan daripada mereka.

Jika tidak, dan jika hanya berasaskan kebolehan semata-mata, mungkin tidaklah mudah untuk mereka naik ke atas, kalaupun tidak disekat awal-awal lagi.

Monday, December 5, 2011

Kes NFC: kesalahan orang UMNO?

Saya kira banyak orang awam yang mempunyai pandangan dan sudah membuat kesimpulan bahawa apa yang dilakukan oleh Perbadanan Feedlot Nasional (NFC) seperti membeli kondo dan sebagainya adalah satu penyelewengan.

Ini mungkin hanya persepsi dan mungkin tidak betul dari segi undang-undang.

Pihak yang berkuasa boleh mengatakan bahawa mereka telah melakukan penyiasatan dan tidak berlaku sebarang penyelewengan.

Pemimpin-pemimpin UMNO pula mungkin mengambil sikap melindungi menteri yang berkenaan atas dasar setiakawan.

Akan tetapi, orang awam tidak akan mudah mengubah persepsi mereka. Malah apabila pihak polis mengatakan tidak ada penyelewengan, ada pula yang menuduh bahawa pihak polis mungkin ingin melindungi menteri yang berkenaan.

Dalam hal ini, jelaslah isu atau kes NFC ini sudah merupakan satu beban kepada UMNO dan akan merugikan UMNO.

Ia akan merupakan satu isu besar yang boleh dan akan digunakan oleh pihak pembangkang dalam pilihan raya umum nanti.

Akan tetapi, ini berpunca dari kesilapan dan kesalahan orang UMNO sendiri. Jadi kalau orang UMNO masih meneruskan amalan seperti ini, kenalah menanggung akibatnya.

Tangan sudah mencencang, bahu kenalah memikulnya.