Monday, August 24, 2009

Bila pula nak tangkap perempuan yang tidak menutup aurat?

Negeri Selangor yang diperintah oleh Pakatan Rakyat (PR) agaknya mahu mendahului negeri Kelantan yang diperintah oleh PAS apabila memberi kuasa kepada 4 orang pegawai masjid untuk menangkap orang yang minum arak di khalayak ramai, orang yang menjual arak dan menyimpan arak.

Pegawai masjid yang seolah-olah diberi peranan sebagai "polis syariah" ini agaknya lebih berkuasa daripada polis biasa, kerana mereka boleh melakukan tindakan tanpa waran.

Walaupun tindakan "polis syariah" ini dikatakan berdasarkan Enakmen Jenayah Syariah, tetapi dalam sebuah negeri yang bukan negara Islam dan tidak mengamalkan hukum Islam, tindakan berasaskan Enakmen Jenayah Syariah ini tentulah kelihatan janggal dan kelihatan sebagai anakronisme.

Dalam keghairahan untuk melaksanakan Enakmen Jenayah Syariah ini mungkin nanti ada pula tuntutan daripada golongan pejuang Islam untuk melaksanakan perkara berikut:

a) Menangkap perempuan yang tidak menutup aurat
b) Menangkap perempuan yang keluar rumah tanpa muhrim.
c) Menangkap perempuan yang keluar rumah seorang diri pada waktu malam
d) Menangkap pasangan bukan suami isteri (katakanlah kawan sepejabat) yang makan berdua-dua di kedai makan
e) Menangkap perempuan yang memandu kereta dan sebagainya.

Perkara di atas, kalau tidak silap memang berlaku di Arab Saudi, dan di Afghanistan pada zaman pemerintahan Taliban.

Saya tidak tahu adakah umat Islam di Selangor mahu begitu.

Sunday, August 23, 2009

Pengundi hantu di Permatang Pasir?

Mengikut ingatan saya, parti pembangkang, khasnya PAS memang sering membangkitkan isu pengundi hantu di kawasan tertentu sejak tahun 1990-an lagi, khasnya menjelang pilihan raya, termasuk pilihan raya kecil.

Antara bukti yang agak meyakinkan tentang kewujudan pengundi hantu ini ialah:

a) Kewujudan nama dalam senarai pengundi yang tidak dikenali oleh penduduk tempatan. Kalau mereka anak penduduk tempatan yang tinggal di luar kawasan, sama ada belajar atau bekerja, sekurang-kurangnya sebahagian daripada mereka tentu dikenali. Tapi kalau tidak dikenali, siapa mereka?

b) Terdapat rumah atau kedai yang menjadi alamat puluhan (atau ratusan(?) pengundi yang dikatakan tinggal di tempat itu, tetapi tidak dikenali juga oleh penduduk tempatan. Jadi siapakah mereka?

Bagaimanapun isu yang dibangkitkan oleh parti pembangkang itu biasanya tidak pernah mendapat respons yang positif daripada SPRM. SPRM dengan mudah saja menepis isu itu dengan mengatakan pengundi itu ialah pengundi luar yang hanya balik ke kawasan pada hari mengundi, ataupun tidak memberi respons sama sekali (atau respons mereka tidak disiarkan oleh surat khabar). Dan isu itu biasanya hilang begitu saja selepas pilihan raya berlangsung.

Menjelang pilihan raya kecil Permatang Pasir yang akan berlangsung pada 25 Ogos ini isu pengundi hantu nampaknya timbul lagi. Tapi yang menariknya, pada kali ini yang menimbulkan isu pengundi hantu ini ialah komponen parti kerajaan sendiri-- Pemuda UMNO dan Puteri UMNO.

Setakat ini belum terdengar respons atau komen daripada SPRM dan tokoh politik dari parti pemerintah. Ini agak menghairankan sedikit.

Adakah pengundi hantu ini benar-benar wujud atau semata-mata tuduhan dan andaian saja? SPRM tentu patut menjalankan penyiasatan dan mengambil tindakan yang sewajarnya untuk menjaga dan memelihara integeriti badan tersebut.

Friday, August 21, 2009

Pendapat "lucu" pun disiarkan oleh media arus perdana

Di bawah tajuk "Khalid perlu letak jawatan Menteri Besar", Utusan Malaysia hari ini, 22 Ogos 2009, menyiarkan kenyataan dua orang tokoh "besar" tanah air: Osman Bakar, Ketua Umum Badan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) dan Mohamad Raimi Ab.Rahi, Setiausaha Agung ABIM, mengenai isu pembinaan kuil di Seksyen 23, Shah Alam.

Kenyataan mereka bukan saja terasa tidak logik, malah terasa lucu.

Osman Bakar mengatakan, sebagai Menteri Besar yang beragama Islam, Khalid tidak berhak menyandang jawatan itu jika tidak dapat menghormati kaum majoriti di negara ini termasuk Yang di-Pertuan Agong.

Adakah menyetujui pembinaan kuil itu bermakna tidak menghormati Yang di-Pertuan Agung? Entahlah, saya pun tidak faham dengan "logik" pemikiran beliau.

Mohamad Raimi pula berkata, Khalid sepatutnya meminta pandangan Sultan Selangor selaku ketua agama Islam bagi menyelesaikan masalah ini.

Mengapa sampai begitu? Adakah sultan pun hendak dikaitkan dalam isu kecil yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan mudah oleh kerajaan negeri?

Masalah ini sebenarnya bukanlah isu yang besar sangat, dan boleh diselesaikan dengan mudah, kalau tidak diprovok dan diapi-apikan oleh akhbar arus perdana, seperti Utusan Malaysia yang suka memainkan isu agama dan perkauman, mungkin untuk melariskan jualan akhbar tersebut.

Sebenarnya di Seksyen 19 Shah Alam, di kawasan majoriti Melayu, sudah lama ada kuil Hindu yang dibina sebelum wujudnya Shah Alam (Kuil itulah yang hendak dipindahkan ke Seksyen 23). Selama kira-kira 26 tahun orang Melayu di kawasan itu boleh menerima kewujudan kuil Hindu itu tanpa membuat apa-apa bantahan yang bererti. Walaupun pada mulanya mereka mungkin tidak suka, tetapi jika tidak diprovok dan diapi-apikan oleh mana-mana pihak, mereka boleh bertoleransi dan menerima kewujudan kuil tersebut.

Jadi apakah masalahnya jika kuil di Seksyen 19 itu dipindahkan ke Seksyen 23, di kawasan perindustrian yang kebetulan lebih jauh dari rumah penduduk di bandingkan dengan kedudukannya sekarang di Seksyen 19?

Soal Seksyen 23 kawasan majoriti Melayu saya kira tidak boleh dijadikan alasan untuk menolak pemindahan kuil itu, kerana orang India di kawasan itu mempunyai hak mempunyai rumah ibadat sendiri, walaupun mereka merupakan golongan minoriti.

Saya kira hak golongan minoriti ini dijamin oleh Perlembagaan dan patut dihormati oleh tokoh-tokoh Melayu dan Islam yang selalu melaung-laungkan bahawa kita mesti menghormati Perlembagaan.

Sayangnya pendapat yang agak lucu daripada tokoh Melayu dan tokoh Islam inilah yang disiarkan oleh surat khabar yang agaknya suka memainkan peranan sebagai provokator.

Monday, August 17, 2009

Bantahan berasaskan sentimen saja?

Saya tinggal di sebuah taman perumahan, kira-kira 2 km dari sebuah bandar kecil. Di pusat bandar itu terdapat sebuah masjid dan sebuah gereja yang agak besar. Kira-kira 1 km di pinggir bandar itu (jadi kira-kira 1 km dari rumah saya) ada sebuah kuil Hindu dan 2 buah tokong Cina yang agak besar juga. Di pinggir taman tempat saya tinggal pula ( hanya kira-kira 500 meter dari rumah saya), ada sebuah gereja yang sederhana.

Di taman-taman perumahan yang berjiran dengan tempat tinggal saya pula terdapat surau, yang kebanyakannya digunakan sebagai tempat sembahyang Jumaat setiap minggu.

Jadi dalam lingkungan 2-4 hingga km di sekitar tempat saya tinggal, terdapat hampir semua rumah ibadat: masjid, surau, gereja, kuil Hindu dan tokong Cina.

Selama tinggal di taman perumahan ini, lebih 20 tahun, saya tidak merasa tergganggu untuk mengamalkan agama saya, walaupun tinggal berhampiran dengan gereja, kuil Hindu dan tokong Cina, kerana penganut agama lain pun tidak mengganggu saya.

Saya, anak-anak saya dan keluarga saya tidak pernah merasa terpengaruh dengan agama mereka, kerana mereka juga tidak pernah mempengaruhi kami untuk menganut agama mereka.

Jadi berdasarkan latarbelakang dan kedudukan saya ini, saya cuba memahami mengapakah orang Melayu yang tinggal di Seksyen 23 Shah Alam membantah keras apabila sebuah kuil Hindu hendak didirikan di kawasan mereka.

Nampaknya, sebagaimana yang dilaporkan oleh Utusan Malaysia, 17 Ogos 2009, alasan bantahan mereka yang agak jelas hanya 2 saja:

a) Kawasan itu ialah kawasan majoriti Melayu (70 peratus) dan orang India di situ hanya golongan minoriti (17 peratus).
b) Tapak bakal kuil itu hampir dengan surau (kira-kira 50 meter) dan dengan taman permainan kanak-kanak ( kira 10 meter).

Jika itu saja alasan mereka, saya tidak nampak mereka mempunyai alasan yang kuat untuk membantah pembinaan kuil itu.

Meskipun orang India merupakan golongan minoriti, sebagai penduduk kawasan itu mereka juga tentunya berhak mempunyai rumah ibadat di tempat itu. Adakah wajar kita cuba menafikan hak mereka?

Tentang dekat dengan surau dan taman permainan kanak-kanak pula, saya tidak melihat itu merupakan masalah, kerana orang Islam beribadat di surau, dan orang Hindu beribadat di kuil.

Kalau surau dan kuil itu wujud berhampiran, dan penganut Islam dan Hindu di situ boleh menjalankan ibadat masing-masing dalam keadaan yang tenang dan damai, bukankah itu perkara yang baik dalam sebuah masyarakat plural seperti Malaysia?

Mengapa pembinaan kuil itu seolah-olah dianggap sebagai satu gangguan?

Dalam hal ini bantahan orang Melayu di Sekseyn 23 Shah Alam itu agaknya lebih berdasarkan sentimen saja, dan bukan berasaskan alasan yang rasional dan wajar.

Saturday, August 15, 2009

Membesarkan"isu palsu"?

Kenyataan Nik Aziz bahawa "DAP boleh menghina Islam" (?) mungkin akan hilang sebagai angin lalu saja, jika ia tidak disiarkan oleh akhbar arus perdana dan tidak direspons oleh Timbalan PM dan tokoh-tokoh UMNO dan NGO yang lain.

Nik Aziz memang sering mengeluarkan kenyataan yang aneh dan boleh mengelirukan seperti itu, dan mungkin lebih baik jika kenyatan beliau tidak diberi publisiti langsung.

Akan tetapi dengan menyiarkannya dalam akhbar arus perdana dan direspons pula oleh banyak tokoh besar dan pemimpin negara, ia hanya akan menjadikan Nik Aziz lebih popular dan kelihatan "lebih besar" daripada yang sepatutnya.

Memang tentu tidak semua dan tentunya banyak juga orang yang tidak bersetuju dengan Nik Aziz. Akan tetapi dengan membesar-besarkan isu tersebut, tentu banyak pula, khasnya pengikut PAS yang fanatik, yang akan menyokong Nik Aziz.

Jadi bagi UMNO dan juga bagi orang Melayu, saya kira tidak ada apa-apa untungnya kita memberi publisiti yang begitu luas kepada kenyataan Nik Aziz yang aneh dan boleh mengelirukan itu.

Saya tidak tahulah jika akhbar arus perdana menyiarkan kenyatan Nik Aziz dan respons terhadapnya dengan tujuan untuk melariskan jualan akhbar. Jika itu rasionalnya, saya tak mahu komen, walaupun dari segi politik saya kira memang tidak menguntungkan.

Berkait dengan tujuan untuk melahirkan jualan akhbar ini, mungkin begitu juga mengapa akhbar arus perdana, seperti Utusan Malaysia terlampau membesar-besarkan isu pemimpin DAP menghina agama Islam.

Jika saya boleh memberi pendapat, isu pemimpin DAP menghina Islam itu saya kira bukanlah berasas sangat dan mungkin merupakan isu kecil dan remeh saja , kalau pun tidak mahu dianggap sebagai "isu palsu".

Tapi untuk melariskan jualan akhbar agaknya ia ditiup dan dibesar-besarkan sehingga hampir tidak terbatas, dan sehingga tokoh agama seperti Mufti Perak pun tidak sedar ia hanya isu remeh dan isu palsu.

Dengan membesar-besarkan isu itu, jualan akhbar mungkin laku dan meningkat. Tapi apakah untungnya bagi masyarakat dan negara?

Thursday, August 13, 2009

Kenyataan Nik Aziz ialah kenyataan politik

Nik Aziz ialah ulama politik. Oleh itu kenyataan beliau selalunya memang tidak terlepas daripada politik dan bermotifkan politik, walaupun yang beliau perkatakan ialah isu agama.

Sebelum ini beliau pernah mengeluarkan kenyataan yang aneh-aneh, seperti Tuhan pun mencarut, kita boleh berkawan dengan syaitan, dan sebagainya.

Jadi janganlah merasa aneh, jika pada kali ini, beliau dikatakan "tidak membantah" tindakan segelintir pemimpin DAP menghina Islam, kerana parti itu bukan parti Islam dan kefahaman mereka terhadap Islam mungkin tidak mendalam (Utusan Malaysia, 13 Ogos 2009).

Beliau dilaporkan berkata, "DAP kalau hina Islam pasal dia bukan Islam.Yang orang Islam tolak Islam itu lebih menghina Islam."

Siapa pula yang dimaksudkan beliau , orang Islam yang menolak Islam? Tentulah orang UMNO.

Jadi dalam apa keadaan pun, beliau selalu menyalahkan orang UMNO, walaupun istilah "menolak Islam" itu tentunya memerlukan penjelasan daripada beliau.

Kenyataan beliau yang bermotifkan politik itu mungkin tidak perlu diberi perhatian sangat.

Tuesday, August 11, 2009

Isu arak di Selangor: tak payahlah jadi orang munafik

Di bawah pemerintahan BN selama lebih setengah abad, arak telah dijual secara terbuka, sama ada di kawasan majoriti Melayu atau bukan Melayu. Hampir tidak ada bantahan tentang hal tersebut, khasnya daripada orang UMNO.

Di Kelantan yang diperintah oleh PAS, sebuah parti Islam pula, penjualan arak tidak diharamkan, walaupun Kelantan dan ibu negerinya Kota Baharu ialah negeri Melayu dan bandar Melayu. Hanya barangkali arak tidak boleh dijual di negeri itu secara terbuka.

Bagi saya, penjualan arak yang telah berlaku sekian lama, sama ada di kawasan majoriti Melayu atau bukan Melayu, sudah menjadi hal yang biasa, dan kerana itu tidak perlu dipermasalahkan.

Dalam sebuah negara berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia, kita anggaplah hal itu sebagai perkara yang sewajarnya saja.

Ia tidak perlu dikaitkan dengan perundangan Islam yang kebetulan belum dilaksanakan. Dan Malaysia pun bukan "negara Islam". Jadi saya kira tidak timbul ia menghina Islam atau tidak. Itu bukan isu.

Lagipun, kebanyakan pembeli dan peminum arak di negara kita saya kira ialah orang bukan Islam. Tidak perlulah kita sekat dan susahkan mereka untuk mendapatkannya.

Bagi kita orang Islam, yang perlu diutamakan adalah mendidik umat Islam supaya tidak membeli dan meminum arak. Orang-orang Islam yang mendapat pendidikan yang baik, dijangka tidak akan tertarik untuk membeli arak, walaupun arak dijual di depan mata mereka.

Jadi, dalam hubungan ini, saya tidak melihat kewajarannya kita mempersoalkan keputusan kerajaan Selangor membenarkan penjualan arak di Selangor, termasuk di Shah Alam yang dianggap sebagai kawasan majoriti Melayu.

Bagi saya, orang-orang UMNO yang selama ini tidak pernah bersuara tentang penjualan arak, tetapi tiba-tiba sekarang bertempik mempersoalkan dasar kerajaan Selangor itu mungkin boleh dianggap sebagai orang-orang yang munafik.

Mereka jelas bertindak untuk kepentingan politik dan mungkin untuk mendapat sedikit keuntungan politik.

Memang mereka boleh mendakwa bahawa mereka ikut memperjuangkan Islam. Tapi saya ragu jika itu hanya dakwaan orang-orang munafik.

Friday, August 7, 2009

Mengapa mesti bergaduh pasal penjualan arak?

Kalau mengikut sentimen ke Melayuan, saya memang setuju arak tidak dijual di kawasan majoriti Melayu/Islam. Tapi dalam sebuah masyarakat berbilang bangsa dan agama seperti Malaysia, saya rasa dasar ini tidak realistik.

Dalam sebuah "bandar Melayu" seperti Shah Alam, golongan bukan Islam mungkin merupakan golongan minoriti. Tapi dari segi bilangan, jumlah mereka mungkin besar --- seratus, dua ratus atau lebih.

Adakah mereka perlu pergi ke Kuala Lumpur untuk membeli arak, sekiranya arak tidak boleh dijual di Shah Alam?

Dalam hal ini, saya kira wajarlah kita, orang Islam bersikap terbuka. Arak sepatutnya boleh dijual di kawasan majoriti Melayu/Islam sekiranya ada permintaan daripada golongan bukan Islam, walaupun mereka hanya golongan minoriti.

Apa salahnya begitu?

Jadi dalam hal ini saya menyokong dasar kerajaan negeri Selangor yang membolehkan arak dijual di kawasan penduduk majoriti Islam, sekiranya di situ ada permintaan dari golongan bukan Islam.

Tidak ada untungnya orang Melayu/Islam sensitif sangat dalam hal ini. Sekiranya kita mampu bersikap rasional dan terbuka, saya kira itu lebih baik daripada kita bersikap "keras" tidak tentu pasal.

Marilah kita orang Islam dan bukan Islam hidup berbaik-baik. Tidak ada untungnya kita bergaduh tentang penjualan arak.

Islam pun saya kira tidak mengajar begitu.

Sunday, August 2, 2009

Kenyataan Najib sudah terlambat?

Saya harap Najib tidak disalah lapor, apabila beliau dikatakan berkata, " Kalau hendak berkumpul, kita boleh sediakan tempat tertentu mereka boleh berkumpul ..." (Utusan Malaysia, 3 Ogos 2009).

Beliau memberi reaksi dan kenyataan demikian mengenai perhimpuan anti-ISA yang berlangsung di Kuala Lumpur pada 1 Ogos 2009.

Reaksi dan kenyataan beliau itu membayangkan ada semacam keterbukaan dan sikap liberal di pihak beliau, walaupun agaknya "tidak banyak" dan belumlah begitu jelas.

Malangnya, beliau mengemukakan kenyataan itu selepas perhimpunan yang dikatakan sebagai "demonstrasi jalanan" itu berlangsung.

Alangkah baiknya jika beliau mengemukakan pendapat atau kenyataan yang demikian awal-awal lagi, iaitu sebelum perhimpunan itu berlangsung.

Jika beliau mengemukakan kenyataan lebih awal, dan "merestui" perhimpunan itu, pihak polis mungkin tidak perlu bersusah payah mengadakan sekatan jalan raya dan menembak dengan air dan gas pemedih mata yang boleh ditafsirkan sebagai tindakan keganasan.

Malangnya sekarang semua sudah terlambat. Perhimpunan sudah berlangsung dan pihak polis pun sudah menunjukkan kekerasannya.

Semuanya kita boleh lihat dan dunia pun boleh lihat.

Tapi yang kurang kelihatan agaknya ialah kebijaksanaan di pihak yang berkuasa untuk menangani isu dan masalah tersebut.