Monday, April 27, 2009

Perpaduan PAS-UMO: lupakan saja

Dalam konteks semasa, idea "perpaduan PAS-UMNO" agaknya bukanlah idea yang terlalu penting dan menarik.

Mungkin ramai juga orang Melayu yang mahu PAS dan UMNO membentuk kerajaan perpaduan demi memperkuatkan kembali politik Melayu. Tapi kemahuan itu agaknya tidaklah begitu tinggi.

Yang lebih penting lagi, di kalangan pucuk pimpinan PAS dan UMNO hasrat untuk membentuk kerajaan perpaduan itu rasanya memang tidak kelihatan.

Malah sebaliknya, yang lebih ketara dan sering diulang oleh mereka di masa yang lalu ialah pemimpin PAS mahu orang Melayu bersatu di bawah PAS, dan pemimpin UMNO pula mahu orang Melayu bersatu di bawah UMNO.

Jadi mereka mahu parti masing-masing saja menjadi parti tunggal yang mewakili orang Melayu.

Hanya kerana ditimbulkan oleh akhbar tertentu, misalnya Siasah dan kemudiannya Utusan Malaysia, dan oleh tokoh politik tertentu, seperti Mukhriz Mahathir baru-baru ini , isu kerajaan perpaduan ini timbul kembali sebagai isu baru dan seolah-olah menjadi isu publik.

Dan mungkin kerana kepandaian akhbar Siasah memancing pendapat Haji Hadi, Haji Hadi seolah-olah bersetuju dengan idea kerajaan perpaduan tersebut.

Akan tetapi, mungkin kerana ramai ahli PAS yang tidak bersetuju, Haji Hadi kini dikatakan sudah berdolak dalik tentang isu kerajaan perpaduan itu.

Haji Hadi memberi alasan perubahan pucuk pimpinan UMNO sebagai sebab beliau menunda perbincangan dengan pemimpin UMNO dan perlu menilai pucuk pimpinan UMNO yang baru.

Rencana Pengarang Utusan Malaysia hari ini, 27 April 2009 menganggap pembatalan perpaduan PAS-UMNO adalah merugikan negara.

Perenggan akhir rencana pengarang itu menyatakan, "Apa yang kita harap pembatalan itu bukan sesuatu yang bersifat kekal. Ingatlah perpaduan Melayu sangat penting, bukan hanya untuk orang Melayu tetapi seluruh rakyat".

Akan tetapi, tanpa menafikan pentingnya perpaduan orang Melayu, atau secara lebih khusus perpaduan PAS dan UMNO, saya kira buat masa ini idea perpaduan itu memang sukar dilaksanakan.

Pada masa ini saya tidak melihat wujudnya keadaan dan syarat-syarat yang penting dan perlu yang boleh mendorong kepada kewujudan kerajaan perpaduan PAS dan UMNO.

Buat masa ini PAS masih selesa bersama PKR dan DAP, dan UMNO pula masih selesa bersama MCA, Gerakan, MIC dan parti komponen BN yang lain. Jadi tidak ada faktor penting yang memerlukan PAS dan UMNO meninggalkan rakan masing-masing dan membentuk kerajaan campuran.

Selain itu, dari segi masa, agaknya pembentukan kerajaan campuran memang tidak sesuai dan agak mustahil boleh berlaku pada masa ini atau masa terdekat .

Setelah pihak UMNO/BN berjuang mati-matian untuk merampas Kelantan daripada PAS dalam pilihan raya umum 2008, dan setelah BN merampas kerajaan Perak daripada PR baru-baru-baru ini, saya tidak fikir pemimpin dan ahli PAS berminat untuk membentuk kerajaan campuran dengan UMNO.

Dalam konteks persaingan dan konflik antara dua parti Melayu itu, orang-orang PAS tentu tidak melihat UMNO sebagai rakan yang jujur dan ikhlas dan boleh dipercayai. Apatah lagi mereka merasa mereka telah dikhianati oleh UMNO pada masa yang lalu.

Jadi buat masa ini, atau untuk sementara ini, idea kerajaan campuran itu saya kira tidak mungkin dilaksanakan, dan baiklah dilupakan saja.

Wednesday, April 15, 2009

Konsep Satu Malaysia hanya impian?

Sebelum PRU 2008, Anwar Ibrahim ada memperkenalkan konsep "politik baru" yang pada dasarnya menekankan politik multi-etnik dan menolak politik perkauman.

Konsep politik baru itu bagus dan merupakan satu impian yang wajar diperjuangkan. Akan tetapi, ia berhadapan dengan realiti politik perkauman yang begitu kuat, dan akhirnya ia "hilang" begitu saja.

Suara Keadilan, suara rasmi PKR tidak berkempen mempopularkannya dan Anwar pun kini agaknya tidak menyebutnya lagi.

Bersempena dengan pelantikannya sebagai PM Malaysia yang baru, Najib secara tiba-tiba memperkenalkan konsep "Satu Malaysia" yang seolah-olah merupakan satu konsep yang baru, tapi tanpa penjelasan yang sepatutnya.

Oleh kerana ia dilontarkan oleh PM yang baru, tentu saja ia menarik perhatian ramai. Maka banyaklah pihak yang memberi tanggapan mengikut tafsiran masing-masing.

Golongan bukan Melayu, termasuk golongan pembangkang, menafsirkan konsep Satu Malaysia itu sebagai sama dengan konsep Malaysian Malaysia yang sudah lama diperjuangkan oleh DAP. Mungkin mereka gembira dengan konsep Satu Malaysia yang kelihatan mirip dengan konsep Malaysian Malaysia itu.

Golongan Melayu pula, seperti yang diwakili oleh akhbar Utusan Malaysia dan beberapa orang pemimpin NGO Melayu tidak bersetuju konsep itu disamakan dengan konsep Malaysian Malaysia, kerana bagi mereka konsep itu tidak boleh lari dari berpegang kepada Perlembagaan Malaysia dan kontrak sosial.

Nampaknya setiap pihak mahu menafsirkan konsep itu mengikut kepentingan masing-masing.

Kecelaruan ini memerlukan Najib memberi penjelasan tentang konsep itu.

Sebagaimana yang dilaporkan di muka depan Utusan Malaysia hari ini, 16 April 2009, mengikut Najib konsep Satu Malaysia itu,

a) Tidak sama dengan konsep Malaysian Malaysia
b) Di bawah konsep itu bererti bahawa kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Dan kita mengambil tindakan berdasarkan semua kumpulan etnik dalam negara kita.
c) Tidak mengenepikan dasar afirmatif, dasar untuk menolong kaum bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan bumipuera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan.
d) Mahu kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama.

Saya rasa tidak ada apa-apa idea baru yang terkandung dalam konsep tersebut atau mendasari konsep tersebut. Ia hanya idea lama yang cuba diucapkan dalam bentuk yang baru.

Bagaimanapun, apabila Najib mengatakan bahawa di bawah konsep itu kita mahu berdiri, berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia, jelaslah ia masih merupakan impian saja, sebagaimana juga konsep Politik Baru yang diperkenalkan oleh Anwar Ibrahim.

Kita sudah terlalu lama berfikir dan bertindak mengikut faham dan aliran perkauman. Parti politik kita yang utama, seperti UMNO, MCA dan MIC juga masih berasaskan satu kaum. Begitu juga sistem persekolahan kita masih terbahagi kepada tiga aliran dan tiga bahasa pengantar mengikut kaum.

Jadi kita barangkali hanya boleh berubah untuk berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia, pada masa hadapan yang masih jauh, jika perubahan besar dilakukan terlebih dahulu terhadap sistem politik dan sistem pendidikan kita. Itulah realiti besar yang menghalang kita menjadi bangsa Malaysia.

Jika tidak, konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib mungkin akan terus tinggal sebagai impian saja , dan bolehlah digunakan sebagai slogan ketika ia masih hangat untuk diperkatakan!

Tuesday, April 14, 2009

Tak adakah sesiapa yang membela konsep Islam Hadhari?

Konsep Islam Hadhari ialah projek Abdullah Badawi untuk melawan konsep "masyarakat madani" yang ditonjolkan oleh Anwar Ibrahim dan konsep "penerapan nilai-nilai Islam" yang diperkenalkan oleh Mahathir.

Agaknya berpuluh (?) juta ringgit telah dihabiskan untuk mengadakan pelbagai seminar dan kursus untuk mempopularkan konsep tersebut.

Meskipun bekas Mufti Perlis, Dr.Asri tidak menyenanginya, tapi kalau tidak silap Mufti Perak, Harussani pernah memuji kebaikan prinsip-prinsip yang terkandung dalam konsep tersebut.

Pemimpin PAS memang menentang konsep tersebut. Malah Haji Hadi telah menulis sebuah buku secara khusus untuk menentang konsep tersebut.

Tapi dalam satu kenyataannya baru-baru ini, Abdullah Badawi masih mempetahankan konsep tersebut dengan mengatakan ia adalah satu konsep yang baik. Katanya banyak negara Islam, termasuk Indonesia menerimanya. Hanya di Malaysia ia telah dipolitikkan, dan dengan itu tidak diterima oleh rakyat secara menyeluruh.

Baru-baru ini, Nik Aziz telah menghentam konsep tersebut dengan mengatakan, konsep tersebut adalah karut , malah tidak pernah wujud apa yang dikatakan Islam Hadhari.

Kata beliau seterusnya, "Tak payah nak kaji semula konsep Islam Hadhari. Semua itu adalah mengarut. Ia adalah satu strategi orang Eropah hendak hapuskan Islam".

"Tak ada Islam Hadhari, yang ada Islam syamil," kata beliau seterusnya.

Orang PAS tentu menyokong pendapat Nik Aziz, walaupun pendapat Nik Aziz itu sebenarnya masih boleh diperdebatkan.

Tapi bagaimana sikap dan pendirian orang UMNO atau birokrat Islam di jabatan dan organisasi tertentu yang dahulunya mempromosikan konsep tersebut?

Tak adakah sesiapa yang hendak "membela" konsep tersebut?

Adakah konsep tersebut akan tenggelam dan hilang seperti konsep "masyarakat madani" dan "penerapan nilai-nilai Islam" dengan terkeluarnya tokoh yang menjadi penganjurnya dari gelanggang kuasa?

Monday, April 13, 2009

UMNO Selangor mahu diterajui Najib?

Walaupun agaknya bukan berita penting, tapi ada satu laporan dalam Utusan Malaysia hari ini, 13 April 2009, yang patut juga diberi ulasan.

Mengikut laporan itu, berdasarkan sumber yang diberi oleh Ab.Rahman Palil, Ketua Penerangan UMNO Selangor, majoriti UMNO Bahagian di Selangor dikatakan mahu Najib menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri bagi menggantikan Muhammad Muhd.Taib yang tewas dalam pemilihan baru-baru ini.

Saya tidak mahu mengulas wajar atau tidak Najib menjadi Pengerusi UMNO Selangor.

Tapi yang saya sedih ialah UMNO Selangor seolah-olah tidak mempunyai tokoh lagi atau sudah kehabisan tokoh untuk memegang jawatan itu.

Benarkah demikian? Jika benar, apakah sebabnya?

Kalau kita melihat kebelakang dan meninjau senjarah UMNO Selangor secara sepintas lalu, Selangor memang jarang-jarang melahirkan tokoh yang hebat, selain Dato' Harun yang pernah menjadi MB negeri itu dan menjadi Ketua Pemuda UMNO pada satu masa dahulu.

Dari masa ke masa memang pernah muncul menteri dan timbalan menteri dari kalangan pemimpin UMNO Selangor . Akan tetapi, mereka umumnya merupakan tokoh yang berkebolehan sederhana saja.

Pada satu masa dahulu pernah muncul seorang Setiausaha Agung UMNO dari kalangan pemimpin UMNO Selangor, iaitu Mustafa Jabar, yang sebelumnya menjadi Ketua UMNO bahagian Sabak Bernam lebih daripada 20 tahun.

Tapi selepas itu, kecuali seorang dua agaknya tidak ada pemimpin UMNO dari Selangor yang boleh dianggap sebagai tokoh nasional.

Mereka umumnya hanya layak menjadi Ketua Bahagian saja, walaupun banyak juga yang memegang jawatan itu hingga puluhan tahun.

Apakah sebabnya UMNO Selangor kurang sekali melahirkan tokoh besar yang berkalibar?

Antara sebabnya saya kira tidak lain dari sikap dan tindakan tokoh lama, khanya Ketua Bahagian yang menyekat golongan intelek dan terpelajar dari memasuki parti itu dan mencantas mereka sebelum mereka mendapat kedudukan yang agak mantap.

Mustafa Jabar misalnya memang berkarisme dan agaknya layak menjadi Ketua Bahagian dalam masa yang begitu lama. Tapi semua orang tahu, dia akan mencantas jika ada guru siswazah yang berwibawa dari daerah Sabak Bernam, yang boleh mencabar kedudukannya dalam parti itu.

Ketika Khir Toyo jadi MB Selangor, Selangor mempunyai Timbalan MB yang terdiri dari bekas pensyarah UKM yang berkelulusan Ph.D. Tapi dia tidak diberi peluang memainkan peranan yang sewajarnya, malah boleh dikatakan diketepikan oleh Khir Toyo. Akhirnya dia meninggalkan UMNO dan menyertai PKR.

Dalam pilihan raya 2004 ada beberapa orang dari golongan intelek yang diberi peluang bertanding dalam pilihan raya dan menang. Tapi dalam pilihan raya 2008 mereka digugurkan kerana sebab-sebab yang tidak jelas, selain kerana politiking yang dimainkan oleh Khir Yoyo.

Tidak lama dahulu, ada berita yang menyatakan bahawa Dr.Fadilah Kamsah hendak masuk UMNO, tetapi tidak diluluskan atau disekat awal-awal lagi.

Jadi begitulah sebahagian cerita sekat menyekat dan cantas mencantas dalam UMNO Selangor.

Dan sekarang kita lihatlah hasilnya: UMNO Selangor sudah kekeringan atau kehabisan tokoh untuk menjadi Pengerusi UMNO negeri itu.

Sungguh kasihan dan memalukan!

Wednesday, April 8, 2009

Badan bebas kaji punca kekalahan

Saya rasa cadangan Muhyidin supaya BN menubuhkan badan bebas untuk mengkaji kekalahan BN dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau pada 7 April 2009 ialah cadangan yang baik juga.

Pada masa yang lalu BN sendiri dikatakan pernah mengadakan "bedah siasat" apabila ia mengalami kekalahan yang buruk dalam sesuatu pilihan raya kecil. Tapi hasil bedah siasat itu biasanya tidak pernah diumumkan, dan kita pun tidak tahu apakah hasil dan perkara yang boleh diambil sebagai pedoman dari bedah siasat itu.

Bagaimanapun, untuk menubuhkan apa yang dikatakan "badan bebas" itu agaknya tidaklah begitu mudah. Sebabnya ialah kebanyakan para penyelidik dan pengkaji politik di negara kita pada masa ini pada umumnya "sudah berpihak" dan tidak lagi berpendirian bebas.

Kalau kita hendak pilih dari kalangan para pensyarah atau penyelidik di universiti misalnya, sukar sekali untuk mencari siapakah yang boleh dikatakan berpendirian "bebas".

Beberapa orang Prof atau Prof Madya yang sering ditampilkan sebagai pengulas dalam acara TV dan akhbar arus perdana jelas sekali ialah orang-orang yang cenderung menyokong BN dan mengampu BN.

Pendapat mereka selalunya bias dan tidak objektif, walaupun mereka dikatakan ialah pensyarah kanan atau Prof yang banyak pengalaman, dan ada yang berkepala botak.

Sebaliknya beberapa orang ahli akademik yang pendapatnya sering diminta oleh akhbar alternatif (Harakahmisalnya) ialah orang-orang yang cenderung menyokong parti pembangkang.

Jadi siapakah yang wajar dipilih untuk menganggotai badan bebas itu?

Dalam hal ini saya cenderung menyarankan supaya BN memilih orang-orang yang berpendirian kritis terhadap kerajaan daripada orang yang selalu mengambil sikap mengampu kerajaan.

Orang-orang yang berpendirian kritis itu mungkin dapat melahirkan dapatan kajian yang lebih tepat, benar dan realistik, walaupun tidak semestinya menyenangkan hati pemimpin BN.

Sebaliknya hasil kajian atau dapatan kajian para pengampu kerajaan pula mungkin menyenangkan hati pihak yang berkuasa, tapi tidak semestinya mendedahkan hal yang tepat, benar dan realistik.

Jadi kalau pihak BN mahukan hasil kajian yang "berguna", penting sekali mereka memilih orang-orang yang berpendirian bebas dan kritis, dan bukan dari kalangan para pengampu yang hanya hendak menyenangkan hati pihak yang berkuasa.

Tuesday, April 7, 2009

Friday, April 3, 2009

Tindakan Najib yang dialu-alukan

Saya kira sebagai PM Malaysia yang baru, Najib telah diberi nasihat yang betul dan telah mengambil tindakan yang betul apabila membebaskan 13 orang tahanan ISA dan menarik balik penggantungan dua akhbar pembangkang -- Harakah dan Suara Keadilan -- pada hari pertama beliau menjadi PM.

Saya teringat ketika baru mengambil alih pemerintahan dahulu, Dr.Mahathir juga membebaskan ramai tahanan ISA sebagai tindakan beliau yang terawal.

Walaupun kita tidak tahu bagaimana dasar dan tindakan Najib selepas ini, tapi tindakannya membebaskan tahanan ISA danmenarik balik penggantungan akhbar pembangkang itu adalah melambangkan dasar beliau yang liberal dan terbuka dan menggambarkan keperibadian seorang yang percaya diri.

Hanya saya berharap dasar seperti itu akan berkekalan. Tidaklah wajar beliau mengikut langkah Dr.Mahathir yang agak liberal dan terbuka pada masa beliau mengambil alih pemerintahan, tapi bersikap autoritarian pada akhir pemerintahan beliau.

Khusus mengenai penggantungan akhbar pembangkang, saya pernah tegaskan sebelum ini, bahawa dasar yang mahu mengongkong pembacaan dan pemikiran rakyat itu tidak semestinya akan menguntungkan UMNO dan kerajaan.

Saya rasa hanya menteri yang kurang bijaksana dan patut diganti saja yang mengambil tindakan tergesa-gesa seperti itu.

Rakyat yang kini boleh berfikir secara kritis dan terbuka tidak akan menyokong sebuah parti dan kerajaan yang tidak ada keyakinan diri dan mahu mengongkong pemikiran rakyat.

Lagipun kini maklumat boleh diperolehi di mana-mana -- dari pelbagai media baru seperti blog dan internet. Jadi tindakan menggantung akhbar pembangkang itu mungkin tidaklah banyak gunanya.

Tindakan Shahrir wajar dicontohi

Di negara kita belum menjadi tradisi bahawa seorang menteri akan meletakkan jawatannya apabila dia tidak lagi memegang jawatan penting dalam parti politik yang disertainya. Malah pada masa yang lalu ada menteri dari UMNO yang terus memegang jawatan itu, setelah dia tidak terpilih sebagai seorang ahli majlis tertinggi (MT).

Oleh itu, tindakan Shahrir Samad meletakkan jawatannya setelah tidak terpilih sebagai seorang ahli MT yang ditandinginya dalam perhimpunan agungUMNO baru-baru ini memang wajar diberi perhatian.

Mengikut Shahir, sikap para perwakilan UMNO yang tidak memilihnya sebagai salah seorang ahli MT itu adalah merupakan isyarat bahawa mereka tidak mahu dia terus menjadi menteri, mungkin kerana perkhidmatannya yang tidak begitu cemerlang.

Saya kira sikap Shahrir itu wajar dihargai dan dicontohi. Apatah lagi dia adalah seorang orang lama, yang telah lama menjadi menteri. Beliau wajar memberi peluang dan laluan kepada tokoh yang lebih muda untuk mengisi jawatan tersebut.

Dalam hubungan ini, saya tertarik untuk mengetahui bagaimanakah sikap tokoh UMNO yang lain, yang juga gagal untuk memenangi jawatan yang mereka tandingi dalam perhimpunan agung UMNO tempoh hari, iaitu Syed Hamid, Rais Yatim dan Azalina Othman? Adakah mereka juga akan turut melepaskan jawatan menteri?

Setakat ini tidak kelihatan mereka akan berbuat demikian. Hal ini boleh difahami, kerana tindakan melepaskan jawatan itu belum menjadi tradisi, dan dengan melepaskan jawatan bererti mereka juga akan kehilangan kedudukan tinggi dan kemewahan hidup.

Bagaimanapun, sekiranya mereka bukan orang yang mementingkan diri dan sedikit sebanyak merupakan orang-orang yang berprinsip, mungkin wajar sekali jika mereka mengikut jejak langkah Shahrir.

Para perwakilan UMNO sudah memberi isyarat bahawa mereka tidak dikehendaki lagi untuk memegang jawatan itu, kerana pelbagai sebab, seperti kerana sudah terlalu lama, di samping prestasi mereka yang barangkali tidaklah begitu cemerlang. Malah ada juga antara mereka yang membuat banyak kesilapan yang ketara pada masa yang akhir-akhir ini.

Jadi saya kira mereka mungkin akan lebih dihormati dan terus dihormati, sekiranya sanggup meletakkan jawatan menteri dengan kemahuan sendiri seperti Shahrir.

Thursday, April 2, 2009