Tuesday, December 30, 2008

Nampak kuman, tak nampak gajah?

Saya tidaklah bersetuju dengan semua pendapat Nik Aziz, kerana kadang-kadang pendapatnya ada yang agak pelik. Akan tetapi, saya tertarik dengan pendapatnya mengenai papan tanda tulisan Cina dan perkara lain yang berkaitan dengannya.

Kata Nik Aziz, "Hairannya mengapa penerbitan akhbar berbahasa Cina dibenarkan, rancangan televisyen juga ada berbahasa Cina, sebaliknya tulisan Cina pada papan tanda jalan tidak dibenarkan" (Harakah, 29 Disember 2008 - 1 Januari 2009).

Saya ingin menambah, bukan saja surat khabar dan TV dalam bahasa Cina dibenarkan di negara ini, malah di negara ini sudah lama ada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina yang bahasa pengantarnya ialah bahasa Cina.

Jadi, kalau kita tidak bersetuju ada papan tanda menggunakan bahasa Cina, tapi kita boleh menerima sekolah Cina dan TV saluran Cina sebagai saluran rasmi, maka ini bermakna kita nampak kuman di seberang laut, tapi tak nampak gajah di depan mata.

Kalau kita katakan bahasa lain selain daripada bahasa Malaysia tidak boleh digunakan untuk tujuan rasmi, bagaimana dengan penggunaan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan pada saluran TV?

Saya tidak tahu adakah selama ini kita telah terlepas pandang tentang hal ini, kerana penggunaan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah dan pada saluran TV itu sudah merupakan perkara biasa dan sudah kita terima sebagai perkara yang sewajarnya.

Tapi kalau betul demikian, tidaklah bermakna apa-apa kita membantah penggunaan bahasa Cina pada papan tanda jalan.Itu hanya perkara kecil. Dalam perkara yang lebih besar -- dalam kes bahasa pengantar di sekolah jenis kebangsaan Cina dan bahasa yang digunakan di TV kerajaan ini -- kita sudah pun boleh menerimanya sebagai perkara biasa dan sebagai perkara yang sewajarnya saja.

Thursday, December 25, 2008

Hukum hudud: apa tanggungjawab orang UMNO?

Saya telah katakan sebelum ini, PAS tidak ada kemampuan atau kekuatan untuk melaksanakan hukum hudud secara sendirian, kerana pelaksanaan hukum hudud memerlukan pindaan Perlembagaan Persekutuan terlebih dahulu.

PAS pula hanya akan dapat meminda Perlembagaan Persekutuan sekiranya ia dapat memerintah kerajaan Pusat. Bolehkah PAS memerintah kerajaan PAS kerajaan Pusat secara bersendirian? Ini kemungkinan yang sangat jauh dan barangkali tidak terfikirkan oleh sesiapa.

Setakat yang boleh diduga, PAS berkemungkinan memerintah kerajaan Pusat jika ia terus bersekutu dengan DAP dan PKR. Walaupun dasar dan ideologi ketiga-tiga parti itu berbeza, bukanlah satu perkara yang mustahil jika mereka akan terus bekerjasama demi berkongsi kuasa dan mengekalkan kuasa.

Bagaimanapun, buat masa ini sudah jelas DAP tidak mahu menerima hukum hudud. PKR pula, walaupun setakat ini masih tidak mahu "bersuara", tetapi diyakini tidak mampu menyokong pendirian PAS demi menjaga survival politiknya.

Jadi apabila Husam, Naib Presiden PAS menyatakan PAS akan tetap melaksanakan hukum hudud apabila Pakatan Rakyat berjaya memerintah kerajaan Pusat, mungkin ada juga kewajarannya jika pemimpin UMNO menyatakan, kenyataan Husam itu hanya gimik politik dan secara langsung atau tidak langsung bertujuan untuk menarik pengaundi Melayu dalam pilihan raya kecil Kuala Terengganu tidak lama lagi.

Bagaimanapun, malang sekali, pemimpin UMNO yang seolah-olah mempersendakan hasrat PAS untuk melaksanakan hukum hudud itu mungkin terlupa bahawa tanggungjawab melaksanakan hukum hudud adalah tanggungjwab semua orang Islam, dan bukan tanggungjawab orang PAS saja.

Sebagai parti Melayu (dan pernah juga mendakwa sebagai "parti Islam") UMNO juga sebenarnya bertanggungjawab untuk melaksanakan hukum hudud.

UMNO juga secara bersendirian memang tidak mampu untuk mengubah Perlembagaan dan melaksanakan hukum hudud, dan setakat ini rasanya tidak pernah menyatakan hasrat untuk melaksanakan hukum hudud.

Akan tetapi, ini tidak bermakna UMNO terkecuali daripada bertanggungjawab untuk melaksanakan hukum hudud, kerana majoriti ahlinya adalah orang Islam, dan pemimpin utamanya semua orang Islam.

Adakah pemimpin UMNO lupa, terlupa atau buat-buat lupa?

Tuesday, December 23, 2008

Hukum hudud: isu yang bukan isu?

Menarik juga melihat perkembangan terakhir mengenai isu hukum hudud.

Setelah Husam membuat pengakuan bahawa Pakatan Rakyat akan tetap melaksanakan hukum hudud jika Pakatan Rakyat memerintah kerajaan Pusat, banyaklah tokoh politik (khasnya tokoh UMNO), penulis blog dan penulis akhbar yang memberi komen. Pemimpin DAP, sebagaimana yang boleh dijangka, telah menentang pula pelaksanaan hukum hudud itu dengan lantang.

Isu hudud itu menjadi besar kerana ia dibesar-besarkan oleh akhbar tertentu.

Akan tetapi, semua orang tahu PAS tidak mungkin memerintah kerajaan Pusat secara bersendirian dan dengan itu tidak akan dapat melaksanakan hukum hudud secara bersendirian.

Pada masa yang sama semua orang juga tahu bahawa DAP, sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat memang tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud (termasuklah tidak bersetuju dengan pelaksanaan hukum Islam dan penubuhan negara Islam).

Sesetengah pemimpin PAS berpendirian, pemimpin DAP tidak faham Islam dan kebaikan hukum Islam. Sebab itulah mereka menentang pelaksanaan hukum Islam. Sekiranya mereka faham Islam dan kebaikan hukum Islam, pemimpin PAS percaya, tentu DAP akan menerima pelaksanaan hukum Islam.

Akan tetapi entah bila pemimpin DAP akan faham Islam dan kebaikan hukum Islam, kita pun tidak tahu. Harapan dan keyakinan pemimpin PAS tentang perkara itu pun mungkin tidak berjejak di bumi nyata.

Dan dengan itu, entah bila hukum hudud itu akan dapat dilaksanakan.

Jadi pada pendapat saya, apa yang dikatakan isu hukum hudud itu bukanlah satu isu yang sebenar. Ia hanya isu palsu yang dibuat-buat, dan sengaja dibesar-besarkan.

Isu yang sebenarnya ialah, setakat yang boleh dijangka dan dengan tidak bermaksud untuk menolak ketentuan Allah, hukum hudud itu. memang tidak mungkin dilaksanakan di negara ini sampai bila-bila, kerana realitik politik di negara ini memang tidak memungkinkan ia dilaksanakan. Wallahualam.

Monday, December 22, 2008

Hukum hudud hanya sebagai slogan politik?

PAS tentu tidak bersetuju dengan dakwaan DSNajib bahawa parti itu menggunakan hukum hudud hanya sebagai slogan politik. Dan sebagai bersangka-baik kepada PAS, biarlah kita terima dakwaan para pemimpinnnya bahawa parti itu memang berhasrat untuk melaksanakan hukum hudud.

Akan tetapi, ada dua persoalan yang mungkin baik kita tanyakan kepada para pemimpin parti itu.

Pertama, adakah PAS mempunyai kekuatan sendiri untuk melaksanakannya? Saya anggap PAS mempunyai kekuatan sendiri jika ia dapat memerintah kerajaan Pusat secara bersendirian. Jika tidak mempunyai kekuatan seperti itu, bagaimanakah PAS hendak melaksanakannya?

Ini ialah kerana untuk melaksanakan hukum hudud, Perlembagaan Malaysia perlu diubah terlebih dahulu. Sekiranya perubahan Perlembagaan itu tidak dapat dilakukan, sampai bila pun tentu hukum hudud tidak dapat dilaksanakan.

Kedua, adakah realiti politik semasa memungkinkan hukum hudud itu dilaksanakan?

Saya telah nyatakan dalam posting terdahulu, bahawa realiti politik semasa memang tidak memungkinkan hukum hudud itu dilaksanakan di Malaysia pada masa ini, kerana di samping PAS tidak mempunyai kekuatan sendiri yang mencukupi, sekutu PAS dalam Pakatan Rakyat (DAP dan PKR) juga tidak bersetuju hukum hudud itu dilaksanakan.

Mungkin PAS akan berusaha untuk memujuk atau mempengaruhi parti sekutunya dalam Pakatan Rakyat menerima hukum hudud, sekiranya Pakatan Rakyat dapat memerintah kerajaan Pusat.

Akan tetapi, semua ini adalah kemungkin yang masih jauh dan terlalu jauh.

DAP adalah parti Cina dan PKR pula adalah parti "berbilang bangsa". Saya tidak melihat kemungkinan orang bukan Melayu (Cina dan India) yang menjadi ahli kedua-dua parti ini boleh dipengaruhi oleh PAS untuk menerima hukum hudud.

Jadi ketika PAS tidak mempunyai kekuatan sendiri yang mencukupi, dan ketika realiti politik semasa tidak memungkinkan hukum hudud itu dilaksanakan, maka mungkin tidak salah jika dikatakan bahawa tindakan pemimpin PAS mewar-warkan hukum hudud itu pada masa ini hanyalah sebagai slogan politik sahaja.

Realiti politik tidak memungkinkan hukum hudud dilaksanakan

Beberapa tahun yang lalu kerajaan PAS Kelantan telah menggubal rang undang-undang mengenai hukum hudud. Tapi undang-undang itu tidak dapat dilaksanakan kerana ia bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia.

Maknanya hukum hudud PAS itu hanya dapat dilaksanakan sekiranya Perlembagaan Malaysia dipinda terlebih dahulu.

Untuk meminda Perlembagaan Malaysia, PAS mesti dapat memerintah kerajaan Pusat.
Tapi bolehkah PAS memerintah kerajaan Pusat secara bersendirian? Realiti politik semasa menunjukkan hal itu tidak mungkin.

Berdasarkan kekuatannya sendiri, PAS mungkin hanya dapat menawan "negeri Melayu" seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, tetapi agak mustahil untuk menawan negeri-negeri yang lain.

Untuk menawan dan memerintah kerajaan Pusat, PAS tidak ada pilihan lain, kecuali bersekutu dengan parti lain seperti sekarang.

Akan tetapi, salah satu sekutu PAS, iaitu DAP memang tidak bersetuju hukum hudud dilaksanakan di negara ini. Dan apabila Husam, Naib Presiden PAS menyatakan PAS tetap mahu melaksanakan hukum hudud, Lim Eng Guan, Setiausaha Agung DAP dengan cepat mengeluarkan kenyataan yang membayangkan ia tidak menyetujuinya.

Pendirian satu lagi sekutu PAS, iaitu PKR tidak begitu jelas. Akan tetapi, sebagai parti berbilang kaum, PKR tidak mungkin mengambil pendirian menyokong hukum hudud.

Jadi saya kira, pemimpin PAS memang sudah tahu bahawa mereka sebenarnya memang tidak ada kemampuan untuk memerintah kerajaan Pusat secara bersendirian, dan dengan itu memang tidak ada kemampuan untuk melaksanakan hukum hudud.

Oleh itu, jika ada pemimpin PAS yang menyatakan hukum hudud akan dilaksanakan jika Pakatan Rakyat memerintah kerajaan Pusat, ia hanyalah retorik sahaja, kerana parti yang menjadi sekutunya dalam pakatan itu memang tidak menyutujuinya.

Jadi setakat yang boleh dijangka, hukum hudud memang tidak mungkin dilaksanakan di negara ini, sama ada oleh PAS atau oleh Pakatan Rakyat, kerana realiti politik di negara ini memang tidak memungkinkan ia dilaksanakan.